Tuesday, January 1, 2008

Mengawal kesan kenaikan harga minyak

Oleh Norfatimah Ahmad

Rombakan sistem subsidi menerusi konsep pengagihan lebih adil langkah bijak

KERAJAAN sudah berjanji tidak menaikkan harga minyak pada 2007 dan janji itu sudah tertunai dengan tiada sebarang kenaikan berlaku sepanjang 2007 yang melabuhkan tirainya semalam. Hari ini, kita sudah melangkah ke tahun baru 2008, bermakna jaminan kerajaan itu juga, sekali gus terbatal.

Apakah harga minyak pada tahun ini akan dinaikkan? Bayangan awal sudah diluahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, apabila menyatakan bahawa negara ini akan bankrap jika kerajaan menurunkan harga minyak yang kini melambung naik di pasaran dunia.

Tetapi kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya berbuat demikian. Kerajaan mungkin merombak sistem pengagihan subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya.

Ia bermakna, walaupun harga minyak dinaikkan nanti, kerana desakan tekanan harga minyak pada peringkat antarabangsa yang tiada tanda harganya akan menurun, kerajaan akan berusaha untuk terus memberi subsidi, tetapi untuk golongan yang memerlukan saja, supaya rakyat biasa tidak berasa bebanan yang terlalu berat.

Baru-baru ini Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) menjangka kerajaan akan menaikkan harga minyak pada kadar tidak terlalu membebankan pengguna iaitu antara 30 sen hingga 40 sen seliter, berbanding desas-desus melebihi 50 sen seliter.

Hujah Mier, jika harga minyak kekal pada tahap sekarang atau meningkat lagi pada masa depan, kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan untuk menaikkan harga bahan api itu, bagi mengurangkan beban menerusi subsidi yang perlu ditanggung.

Jelas di sini, jika kerajaan tidak menaikkan harga minyak, jurang bajet defisit menjadi semakin besar memandangkan kerajaan kini menanggung subsidi berjumlah RM35 bilion sehingga Mac 2007.

Malah, Pengarah Eksekutif Mier, Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareen turut menegaskan ketika ini harga runcit petrol di Malaysia adalah kedua terendah di dunia dan beliau yakin kerajaan amat bertimbang rasa dalam membuat keputusan menaikkan harga minyak.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga minyak ialah pada 28 Februari 2006 iaitu sebanyak 30 sen seliter bagi harga runcit petrol dan diesel serta 30 sen sekilogram bagi gas petroleum cecair (LPG).

Harga runcit petrol premium RON97 semasa di Semenanjung adalah RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

Harga minyak meningkat ke paras rekod, hampir mencecah harga AS$100 setong.

Persoalannya di sini, apakah kata-kata orang kuat Mier itu adalah petanda akan berlaku kenaikan harga bahan api itu tahun ini.

Tiupan angin yang membawa perkhabaran akan berlaku kenaikan harga minyak juga makin ketara apabila baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka menegaskan kerajaan sukar mengekalkan subsidi ekoran harga minyak dunia yang terus meningkat.

Bagaimanapun, Mier meredakan kegusaran rakyat apabila berpendapat kerajaan dijangka tidak memindahkan sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak kepada rakyat jika memutuskan untuk menaikkan harga bahan api itu bagi mengurangkan beban subsidi yang ditanggungnya, andai harga minyak global kekal pada tahap sekarang atau meningkat lagi pada masa depan.

Di persimpangan ini - sama ada kenaikan harga minyak akan berlaku atau tidak, persoalan ini masih menjadi tanda tanya dan tentunya kerajaan mengambil kira pelbagai faktor seperti politik dengan semakin dekatnya pilihan raya umum dan kedudukan ekonomi negara sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Kenaikan harga minyak tentu mempengaruhi kos pengangkutan dan pengeluaran, seterusnya barang lain. Cuma persoalannya sejauh mana kesan negatif berikutan kenaikan harga minyak itu dapat dikawal.

Sekiranya usaha untuk menambahkan pengeluaran minyak tidak dilakukan dengan segera, harga minyak mungkin meningkat ke paras tidak munasabah dan menyebabkan krisis ekonomi lebih serius dalam tempoh beberapa tahun mulai sekarang.

Bahang dan kesan kenaikan harga minyak ini bukan saja dirasai negara membangun, malah negara maju seperti Britain. Jika berlaku krisis bahan api ini, perkhidmatan hospital dan sekolah pasti terjejas serta mengganggu bekalan makanan dan kehidupan masyarakat.

Bayangkan apabila stesen minyak terpaksa ditutup kerana kekurangan bekalan minyak. Akibatnya berlaku kesesakan teruk di stesen minyak kerana orang ramai berebut dan beratur untuk mengisi minyak kenderaan masing-masing.

Hal ini, bukan mustahil kerana beberapa tahun lalu masalah kekurangan diesel di negara kita menyebabkan hal ini berlaku. Kekurangan minyak juga menyebabkan sampah gagal dikutip dan beberapa perkhidmatan berasaskan penggunaan minyak juga mengalami gangguan serius.

Tentunya kita mengharapkan keadaan yang digarap di atas tidak melanda negara ini, lebih-lebih lagi dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat Rancangan Malaysia kesembilan dengan Misi Nasional yang begitu lengkap dan padat bagi manfaat rakyat di bandar dan desa tanpa mengira agama, bangsa serta kedudukan.

Walau apa juga yang diperkatakan, kebimbangan dan amaran disuarakan beberapa pihak sebelum ini bahawa krisis ekonomi lebih besar akan berlaku berikutan kenaikan harga minyak perlu diberikan perhatian sewajarnya Pertubuhan Negara Pengeluar dan Pengeksport Minyak (Opec).

Harga minyak seharusnya dikawal bagi mengelak mana-mana pihak melakukan spekulasi dan memanipulasi bahan itu sehingga harganya melambung pada tahap tertinggi kerana memang tidak boleh disangkal - minyak adalah sumber utama yang menggerakkan sektor perindustrian, pengangkutan, penjanaan elektrik dan perkhidmatan lain.

Berasaskan kesedaran bahawa minyak penting untuk 'menghidupkan' rakyat dan negara, Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil langkah dan membuat sebarang keputusan dengan mengamalkan pendekatan berpijak di bumi nyata.

Baru-baru ini, dengan penuh yakin pemimpin BN menempelak sikap pembangkang yang hanya gemar menabur janji tetapi tidak pernah menepati janji pada rakyat.

Kelmarin, Najib dengan nada sinis ditujukan kepada pembangkang, mengingatkan rakyat Sabah bahawa pelbagai janji manis ditaburkan pihak pembangkang hanya sekadar memperbodohkan rakyat.

"Mereka datang ke Sabah menabur janji, kononnya jika berkuasa, harga minyak turun. Semua ini tidak masuk akal. Harga minyak naik di seluruh dunia, tetapi kita pertahankan harga minyak di negara ini dan paling rendah berbanding negara lain," katanya ketika mengadakan lawatan ke negeri itu.

Malah, kata Timbalan Perdana Menteri, Malaysia bukan negara Arab yang kaya dengan minyak dan pengeluaran negara hanya kira-kira 700,000 tong setahun.

Memang selama ini pun, keprihatinan kerajaan BN untuk membela nasib dan kebajikan rakyat tidak dinafikan dan berdasarkan tanggungjawab itu juga isu harga minyak turut disentuh pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Misalnya, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ketika membahaskan usul Ekonomi dan Pendidikan mencadangkan kerajaan merombak sistem subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya.

Malah, Khairy menegaskan sistem subsidi yang diamalkan sekarang bukan saja tidak adil kepada golongan miskin, malah satu pembaziran kerana turut dinikmati golongan kaya.

Dan jika diteliti peri pentingnya isu ini untuk menjamin kemenangan lebih selesa BN pada pilihan raya umum akan datang, tentunya janji melaksanakan penstrukturan semula sistem subsidi menerusi konsep pengagihan lebih adil yang mensasarkan rakyat berpendapatan rendah sebagai penerima utama bantuan itu akan diusahakan hingga berjaya.

Pemahaman kontrak sosial pertingkat perpaduan

Oleh Wan Emril Nizam Wan Embong

CADANGAN supaya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memperkasa mata pelajaran sejarah sebagai usaha mengukuhkan semangat perpaduan kaum dilihat antara langkah yang boleh dilaksanakan ke arah menjadikan sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah rendah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Cadangan itu dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) seperti diutarakan Timbalan Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad,

Usaha memperkasa subjek sejarah penting bagi meningkatkan semangat patriotisme dan pengetahuan mengenai sejarah negara di kalangan pelajar supaya mereka menghargai keamanan dikecapi kini.

Subjek perlembagaan perlu dijadikan antara instrumen penting dalam pendidikan tinggi nasional sebagai lanjutan kepada pengajian sejarah pada peringkat sekolah.

Subjek perlembagaan adalah antara komponen pengajian dalam kursus undang-undang atau kenegaraan yang wajar diperincikan merangkumi aspek kepentingan dan susur galur Perlembagaan Persekutuan.

Ia sebagai suratcara yang mengandungi semua undang-undang tertinggi yang difikirkan mustahak bagi menubuhkan sebuah negara moden, mengawal perjalanan keseluruhan sistem kerajaan bagi sesebuah negara yang mengandungi prinsip dan undang-undang bagi mengatur serta mengawasi pentadbiran kerajaan.

Pengajian terhadap keperluan memahami kandungan kontrak sosial dilihat sesuatu yang penting demi kebaikan umum pada masa ini memandangkan negara berhadapan pelbagai cabaran dan tuntutan yang memerlukan masyarakat khususnya generasi pasca merdeka menjiwainya.

Kontrak sosial adalah satu perjanjian antara kaum Melayu dengan bukan Melayu di Malaysia. Ia diwujudkan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai seperti dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan Malaysia dan kini menjadi sebahagian Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan Malaysia adalah peringatan undang-undang untuk semua demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan. Selain itu, ia juga satu dokumen undang-undang asas yang menerangkan dan memperuntukkan kuasa dimiliki anggota negara ini.

Ia adalah dokumen berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang digubal dan dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid. Tujuannya untuk mengendalikan pentadbiran kerajaan yang memerintah dengan licin dan adil.

Antara kontrak sosial yang disebut dalam perlembagaan adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan raja dan sultan Melayu serta taraf kerakyatan.

Setiap warga negara Malaysia harus menyedari bahawa perlembagaan kita adalah hasil daripada sikap bertolak ansur setiap kaum. Ia adalah persetujuan yang luhur dan murni, hasil pertimbangan rumit terhadap pelbagai kepentingan yang bertentangan.

Prinsip kerakyatan secara 'jus soli' diperkenalkan ketika rancangan Malayan Union diperkenalkan di Tanah Melayu iaitu kaum Cina dan India yang dilahirkan di Tanah Melayu adalah warga negaranya.

Tetapi dengan ada perlembagaan, kerakyatan jus soli diperketatkan. Antara syarat itu ialah penduduk bukan Melayu mesti tinggal di Persekutuan Tanah Melayu tidak kurang daripada 10 tahun. Kedua-dua ibu bapanya adalah warga negara.

Mereka hendaklah mengaku taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tanah tempat tumpah darahnya. Selain itu, bermula 1958, mereka juga perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

Selain itu, kedudukan Raja sebagai ketua negeri dan ketua agama Islam diiktiraf. Prinsip 'Kesetiaan kepada Raja' dimasukkan dalam Rukun Negara, iaitu idealogi nasional yang mengukuhkan lagi kedudukan raja di Malaysia.

Di samping itu, satu pindaan ditubuhkan iaitu Akta Hasutan 1948. Ia bertujuan melarang soalan mengenai hak, taraf kedudukan, hak istimewa, kedaulatan raja yang dilindungi oleh perlembagaan ke atas bahasa kebangsaan, kewarganegaraan, hak istimewa orang Melayu dan kuasa pemerintahan raja.

Kedudukan hak istimewa orang Melayu bukan sesuatu yang baru. Perkara ini adalah perkara utama yang diperjuangkan orang Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Perkara itu termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.

Ia bertujuan menjaga hak orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan mempertingkat kemajuan orang Melayu yang ketinggalan dalam semua bidang kehidupan supaya setaraf dengan kaum bukan Melayu yang lebih maju.

Ia dapat mendekatkan jurang perbezaan antara kaum terutama kaum Cina dengan kaum Melayu yang terpisah sejak kedatangan British di Tanah Melayu. Menurut perlembagaan juga, ada satu perkara yang disebutkan iaitu hak asasi. Setiap warga negara yang sah, akan mendapat jaminan dan perlindungan daripada kerajaan.

Dalam perlembagaan mengenai hak asasi, ada dua jenis iaitu hak ramai dan hak individu. Contoh, dalam Perkara 10, disebut memberi hak bebas bercakap adalah hak individu manakala dalam Perkara 10(2), disebut, Parlimen diberi kuasa mengawal hak itu iaitu hak ramai.

Rasionalnya, hak bebas bercakap itu mungkin akan menjejaskan keselamatan orang ramai. Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Suhakam) ditubuhkan. Badan itu bertujuan mempromosikan dan memberikan perlindungan hak asasi manusia di negara ini.

Satu akta yang membolehkan penahanan seseorang tanpa bicara diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang dikenali sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri. Penahanan seseorang tanpa bicara boleh dilaksanakan jika ia adalah langkah terbaik untuk kesejahteraan dan keselamatan Malaysia.

Kesalahan seperti menggugat keselamatan dan ketenteraman negara dengan mempersoalkan kontrak sosial boleh ditahan mengikut akta ini seperti apa yang berlaku kepada pemimpin Hindraf baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika memberi ucaptama pada perasmian Sidang Kemuncak Media Asia, di Hotel Nikko, Kuala Lumpur pada 2004, menyedarkan bahawa kontrak sosial adalah teras perpaduan rakyat Malaysia selama ini.

Beliau juga berkata, aspek paling penting dalam kontrak sosial ialah persetujuan oleh rakyat pribumi memberikan kerakyatan kepada kaum Cina dan India. Ia mengubah negara yang asalnya dimiliki penduduk pribumi kepada negara bagi orang Cina dan India.

Kaum Cina dan India kini berkongsi kuasa politik dengan kaum Melayu, dan menganggotai Kabinet Pusat dan majlis eksekutif negeri. Sebagai balasan atau quid pro quo, kaum pendatang ini bersetuju mengenai hak istimewa ekonomi bagi penduduk pribumi dengan mengambil kira kedudukan mereka yang tidak begitu baik.

Hal ini membentuk asas moral, undang-undang, ekonomi dan politik bagi pengagihan polisi keadilan di negara ini. Inilah dasar yang kadangkala dikritik kononnya sebagai diskriminasi oleh mereka yang jahil mengenai persetujuan dicapai oleh semua pihak dan persekitaran yang mendorong kewujudannya.

Kaum utama ini turut diberi hak pendidikan dalam bahasa ibunda mereka, tetapi bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah kebangsaan, kaum Cina dan India diberi kebenaran untuk mengadakan pendidikan rendah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

Hanya segelintir negara di dunia ini yang mengizinkan kebebasan seumpama itu. Begitu juga, kebebasan beragama, semua kaum bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing, bagaimanapun Islam diberi status sebagai agama rasmi negara.

Penulis ialah pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah

Tamu Selasa: UiTM lahir produk berkualiti

Bersama Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah

Melayu makin berjaya sama ada di bumi sendiri, peringkat global

SEBAGAI sebuah institusi pengajian tinggi unik yang hanya dibuka kepada kaum Bumiputera, apakah keistimewaan UiTM, dalam keadaan sekarang ini?

Pengalaman saya selama memegang tampuk pimpinan sebuah institusi yang hanya dikhaskan untuk pelajar Bumiputera enam tahun lalu, memberi satu pengalaman istimewa dan mengagumkan. Walaupun pergaulan pelajar hanya berkisar sesama kaum dan agama, pemikiran serta kesungguhan mereka untuk bersaing begitu memberangsangkan. Masing-masing bersaing untuk terus maju dan persaingan yang sihat itu dapat dilihat menerusi pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum yang diiktiraf pada peringkat universiti dan antarabangsa. Mungkin ada yang mengatakan pemikiran pelajar lebih terbuka jika mereka mempunyai rakan daripada pelbagai kaum dan keturunan. Ini tidak dinafikan ada kebenarannya. Namun, saya secara peribadi mengatakan yang terhad itu tidak menghalang mereka untuk membina pemikiran yang lebih kreatif dan mempunyai daya tahan yang tinggi. Prestasi UiTM dengan graduannya diterima warga korporat sudah cukup membuktikan orang Melayu itu sendiri mampu berada pada satu tahap yang cemerlang jika mereka dibimbing dan dipupuk dengan semangat serta motivasi berterusan. Bermula dengan sebuah kampus kecil di Jalan Othman Petaling Jaya dengan jumlah pelajar seramai 80 orang, kini UiTM terus mara dengan jumlah pelajar seramai 116,000 di 20 kampus seluruh negara.

Sejak beroperasi 51 tahun iaitu hampir sebaya dengan usia kemerdekaan negara, adakah kejayaan yang ditempa mencerminkan kejayaan orang Melayu secara holistik?

Dari segi akademik dan tahap kejayaan profesional, UiTM kini boleh berbangga kerana ramai pemegang jawatan tertinggi agensi kerajaan mahupun swasta disandang graduan UiTM. Masing-masing adalah produk institusi Melayu. Lahirnya sebahagian besar teknokrat Melayu hari ini adalah hasil daripada kesungguhan pemimpin institusi ini sendiri yang juga diadakan serta digerakkan cendikiawan Melayu. Stigma umum yang mengatakan orang Melayu tidak boleh maju kini sudah tidak relevan. Sebagai contoh, ramai anak Melayu lulusan Institut Teknologi Mara (ITM) sebelum dinaikkan taraf kepada UiTM lapan tahun lalu, dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Pengetahuan, kemahiran serta pengalaman kini mampu membawa mereka ke satu dunia yang lebih sengit saingannya dengan memegang jawatan utama sebagai ahli akademik sama ada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta yang diasaskan bukan Melayu. Kejayaan yang dicipta UiTM ini membuktikan orang Melayu tidak bodoh, tidak malas bahkan kita hebat bukan saja pada peringkat negara, malah peringkat dunia. Terbukti hari ini, alumni UiTM adalah peneraju utama sektor awam dan swasta. Sistem pendidikan yang diterapkan di UiTM menunjukkan sekumpulan Melayu daripada generasi sebelum ini berjaya membawa orang Melayu generasi muda ke tahap yang terbaik. Terbukti, Melayu kini sama handal dan mampu duduk sebaris bangsa lain. Kejayaan ini sebagai penanda aras pencapaian bangsa Melayu, ia sekali gus memecahkan sempadan psikologi sebelum ini yang menganggap orang Melayu tidak berdaya saing.

Adakah faktor penjajah menyebabkan Melayu terkebelakang berbanding bangsa lain di negara ini?

Sepanjang menjadi pelajar, pendidik dan menerajui institusi Melayu, saya dapat rasakan Melayu tidak mahu terus hidup miskin, dihina dan diperlekehkan. Sebagai warga pribumi, maruah mereka mesti dipelihara dan kemurnian bangsa dijaga. Tidak dinafikan faktor sejarah turut dikaitkan dengan kemunduran Melayu. Bagaimanapun, kemiskinan itu bukanlah untuk diwarisi sebaliknya perlu ditebus dengan kejayaan untuk dibekalkan kepada generasi akan datang. Pendekatan pecah dan perintah British menjadi punca utama Melayu terus tinggal di kampung. British membawa masuk imigran untuk pekerja dan kakitangan pengurusan dalam menjana ekonomi Malaya ketika itu termasuk Singapura. Imgiran di bandar diberikan pelbagai kemudahan serta infrastruktur dan sistem pendidikan terbaik. Hasilnya sudah semestinya masyarakat bandar. Siapa mereka kalau bukan kaum imigran tadi. Dalam masa kaum imigran mengecapi kejayaan, Melayu masih terus di kampung bekerja sebagai nelayan pantai dan petani kecil. Jika diberi jawatan sekalipun hanya sebagai pembantu pejabat dan paling tinggi kerani. Bagi saya yang lepas biarkan ia berlalu, usah dikenang. Kini tiba masanya Melayu bangkit dan bangun mendapatkan semula hak mereka sebagai bangsa bermaruah di bumi sendiri. Pelbagai sokongan diberikan bermula dengan biasiswa kecil persekolahan hinggalah kepada kuota membeli hartanah di bandar semua sudah tersedia.

Adakah Datuk Seri setuju kejayaan Melayu masa kini adalah hasil bantuan serta subsidi kerajaan?

Kerajaan sesuatu bangsa di Malaysia khususnya Melayu tidak boleh dikaitkan dengan subsidi mahupun bantuan kerajaan semata-mata, sebaliknya ia perlu dinilai dalam pelbagai sudut dan perspektif. Jika kita berbincang mengenai subsidi, semua bangsa di negara ini menikmati subsidi. Sebagai contoh, harga minyak petrol, sebahagian daripadanya adalah atas subsidi kerajaan, begitu juga dengan kadar faedah pengurusan tabung pendidikan tinggi juga subsidi kerajaan. Kejayaan bangsa lain ketika zaman penjajah turut dibantu kerajaan British ketika itu. British menyediakan kemudahan pendidikan terbaik kepada anak imigran dengan guru dibawa terus dari United Kingdom. Tanpa disedari, mereka sejak awal lagi sudah menikmati subsidi. Tidak salah jika orang Melayu dibantu kerana sebagai warga pribumi mereka berhak mendapat bantuan itu, kerajaan membantu Melayu tanpa menjejaskan hak bukan Melayu, hatta penganggur di negara maju sekali pun mendapat subsidi dalam bentuk elaun bulanan.

Kejayaan UiTM membawa sama perspektif positif kepada imej orang Melayu, adakah ia turut diiktiraf pada peringkat antarabangsa?

Setakat ini prestasi yang dipegang UiTM begitu membanggakan sama ada dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa. Contohnya, sejak kerajaan membuka kuota lima peratus kepada IPTA untuk mengambil pelajar antarabangsa, UiTM mendapat permohonan yang begitu banyak terutama daripada lepasan sekolah dari negara sekitar nusantara dan Asia Barat. Malah, laporan Unit Pengambilan Universiti melaporkan jumlah permohonan kemasukan ke UiTM meningkat dari semasa ke semasa. Bila permohonan meningkat pastinya kualiti pengambilan pelajar tidak boleh dipertikai. Pemohon ini adalah daripada generasi kedua graduan, ibu bapa yang terdiri daripada graduan UiTM lebih selesa menjadikan UiTM sebagai pilihan utama berbanding universiti lain. Begitu juga pengiktirafan daripada industri pendidikan swasta, pihak pengurusan UiTM perlu meneliti setiap permohonan sebelum meluluskan sebarang program usaha sama walaupun membabitkan institusi ternama. Antara pengiktirafan yang diberikan pada peringkat antarabangsa ialah UiTM menjadi IPTA pertama mendapat mandat syarikat automotif terkemuka dunia Daimlerchrysler AG di Stuggart, Jerman. Pengiktirafan itu diterjemahkan dengan menyediakan tujuh tempat setahun kepada pelajar cemerlang Fakulti Kejuruteraan Mekanikal mengikuti latihan amali selain di loji di Jerman serta mengikuti kursus bahasa Jerman sebelum berlepas.

Pengarah pertama ITM, Tan Sri Arshad Ayob ada mengatakan antara langkah awal mengubah minda masyarakat Melayu untuk lebih berdaya saing, selain memberikan motivasi ialah dengan mendisiplinkan perutnya kerana beliau yakin jika orang mampu diatur, ia memberi impak kepada keseluruhan individu berkenaan?

Ketika awal penubuhannya, pelbagai usaha dibuat bagi membentuk masyarakat Melayu yang lebih berdisiplin dan tekun. Antara usahanya ialah dengan menukar menu makanan. Orang Melayu memang bergantung penuh dengan nasi. Ironinya di sini tindakan itu rasional kerana pengambilan nasi berlebihan menyebabkan pelajar mudah mengantuk dan bila badan lesu, mereka malas ke kelas terutama pada sebelah petang. Amalan ditukar, satu reformasi dilakukan. Nasi digantikan roti sandwic pada waktu makan tengah hari. Saya antara salah seorang pelajar yang merasakan zaman berkenaan. Pada awalnya memang perit, sebab setiap hari makan nasi bila kena roti lapar sentiasa. Bagaimanapun, lama kelamaan sudah menjadi biasa. Ada pengajarannya, setiap orang itu boleh menukar minda dan persepsinya sendiri. Mereka boleh berubah jika sedia berhadapan dengan segala dugaan dan rintangan.