Saturday, January 5, 2008

Perspektif: Akta belia jana pemimpin pelapis

Oleh Saifuddin Abdullah

Mengehadkan umur, tempoh jawatan ketua tangani fenomena kelesuan

BAGI gerakan belia negara, kehadiran 2008 menandakan bermulanya penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, Isnin lalu.

Namun, hakikat bahawa ia tidak dikuatkuasakan serta-merta sebaik saja diluluskan Parlimen, Julai lalu membayangkan ada rintangan, kalaupun bukan tentangan, daripada pihak tertentu, seolah-olah proses penggubalannya tidak sunyi dengan kontroversi.

Idea mewujudkan akta belia muncul sejak timbulnya isu kelesuan pertubuhan belia di negara ini, iaitu pada pertengahan dekad 90-an. Ia adalah satu cadangan untuk mengatasi kelesuan itu. Andaian mereka yang mencadangkan akta ini ialah bahawa perundangan dan peraturan boleh atau diperlukan untuk menangani masalah yang dihadapi pertubuhan belia lesu.

Mereka yang mencadangkan supaya diadakan akta ini terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama; menganggap perundangan dan peraturan adalah perkara terpenting bagi memperkasa pertubuhan belia. Mereka percaya kepada pendekatan legalistik.

Kumpulan kedua pula tidak percaya kepada pendekatan legalistik. Tetapi mereka turut menerima keperluan akta ini kerana semua usaha lain yang dicuba gagal atau menemui jalan buntu. Lantas, akta adalah pilihan terakhir.

Ketika idea pembentukan akta belia ini mula-mula diutarakan dulu, Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju kerana percaya sekiranya semua pertubuhan belia benar-benar menghayati Dasar Pembangunan Belia Negara dan melaksanakan cadangan yang dihasilkan melalui kajian MBM pada 1997/98, yang kemudian diterbitkan sebagai buku Memperkasa Persatuan Belia (2000), maka akta ini tidak diperlukan sama sekali.

Sehingga pertengahan 2002, MBM tidak membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung akta belia kerana merasakan ia belum diperlukan. MBM percaya bahawa apa juga isu yang timbul dalam pertubuhan belia masih boleh ditangani tanpa perlu mempunyai akta ini. Di samping itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sehingga itu belum memikirkan perkara ini dengan serius.

Dalam MBM, orang pertama dan secara konsisten menyuarakan keperluan akta belia ialah Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (4B Malaysia), Datuk Noh Omar pada pertengahan 90-an. Pada masa itu, beliau ialah Ahli Dewan Rakyat dan juga Penolong Setiausaha Agung 4B Malaysia.

Beliau menyuarakannya dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi MBM dan beberapa forum lain. Lebih penting lagi, beliau menyuarakannya di dalam Dewan Rakyat dan orang pertama mencadangkan akta ini di dewan yang mulia itu.

Di pihak KBS pula, sebelum Pilihan Raya Umum 1999, iaitu dalam satu pertemuan di antara Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan pemimpin pertubuhan belia seluruh negara di Kuala Lumpur, ketika mendengar cadangan berhubung akta itu, beliau menyatakan yang KBS akan mengkaji keperluannya.

Selepas itu, pada 2003, Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri KBS dengan Exco Belia dan Sukan Negeri di Genting Highlands, mengumumkan bahawa KBS akan menggubal akta belia, menjadikannya Menteri KBS yang pertama menyatakan dengan jelas bahawa akta belia akan digubal atas keperluan tertentu.

Di bawah Azalina pula, KBS bekerja keras bersama-sama MBM untuk menggubalnya, mempersetujuinya pada Majlis Perundingan Belia Negara dan seterusnya ia diluluskan oleh Parlimen dan kini mula dikuatkuasakan.

Adakah kita memerlukan akta ini? Jawabnya, ya, tetapi ia adalah sebagai langkah dan pilihan terakhir, iaitu selepas pelbagai jalan lain dicuba gagal untuk mengaktifkan semula semua pertubuhan belia.

Sebenarnya, akta ini adalah satu tamparan kepada pemimpin sesetengah pertubuhan belia yang tidak serius mengatasi masalah yang timbul sehingga menyebabkan berlaku fenomena kelesuan pertubuhan belia, lalu akta ini diadakan.

Adakah akta ini memerlukan segala bab dan seksyen yang diluluskan ini? Jawabnya, tidak. Sebahagian daripada peruntukannya tidak diperlukan kerana ia sudah sedia wujud dan beroperasi. Contohnya, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia yang ditubuhkan pada 2005, iaitu tanpa akta ini.

Contoh kedua, ialah Majlis Perundingan Belia Negara ditubuhkan pada 1972 atas buah fikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), tanpa menyebut akta itu diwujudkan

Ini menyebabkan timbulnya pendapat menyatakan bahawa akta ini diperlukan hanyalah untuk memenuhi dua tujuan saja. Pertama; mengehadkan umur pemimpin dan ahli pertubuhan belia, iaitu tidak melebihi 40 tahun dan kedua mengehadkan tempoh pemimpin utamanya memegang jawatan.

Dalam hal ini, MBM dan beberapa badan gabungannya, seperti Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) dan Persahabatan Buddhist Malaysia sejak lama dulu melalui perlembagaan masing-masing, mengehadkan umur pemimpinnya supaya tidak melebihi 40 tahun.

Di samping itu, badan gabungan MBM seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula, walaupun tidak mencatatkannya dalam perlembagaan, barisan kepemimpinannya sentiasa bukan saja tidak melebihi usia 40 tahun, bahkan tidak pun melewati usia 30 tahun.

Apa yang menjadi masalah ialah ada pertubuhan belia, sama ada badan gabungan MBM ataupun tidak, yang mempunyai pemimpin jauh melebihi umur 40 tahun dan ada yang memegang jawatan sejak 70-an lagi! Ironisnya, mereka ini dahulunya memperjuangkan Dasar Belia Negara yang mendefinisikan belia sebagai berusia 15 hingga 40 tahun! Pertubuhan inilah yang kini berhadapan dengan masalah kekurangan pemimpin pelapis berwibawa.

Menurut pendapat itu lagi, tujuan kedua akta ini ialah memindahkan kuasa pendaftaran pertubuhan belia daripada Pendaftar Pertubuhan iaitu di bawah Akta Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia di KBS iaitu di bawah akta belia ini.

Sekiranya untuk tujuan pertama iaitu mengehadkan umur pemimpin dan ahli pertubuhan belia serta mengehadkan tempoh pemimpin utamanya memegang jawatan utama, maka kita tidak memerlukan akta ini. Kita cuma perlu meminda seksyen tertentu dalam Akta Pertubuhan saja.

Ini pernah berlaku sebelum ini. Apabila ada parti politik mendapati ada masalah besar kerana ahlinya boleh menyaman parti di mahkamah, maka dibuat pindaan terhadap Akta Pertubuhan. Kini, Akta Pertubuhan mempunyai bab khusus yang diguna pakai terhadap parti politik saja bagi menyelesaikan masalah itu.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah dalam pertubuhan belia, kita sebenarnya boleh meminda Akta Pertubuhan dengan tidak perlu mempunyai akta belia ini. Lantas, akhirnya, akta belia ini hanyalah diperlukan untuk menukar kuasa pendaftaran pertubuhan belia, iaitu daripada Pendaftar Pertubuhan kepada KBS.

Tidak semua menerima akta belia ini dengan hati terbuka dan berjiwa besar. Polemik mengenainya masih berterusan. Namun, apa yang lebih penting ialah menggembleng seluruh idea, tenaga dan sumber yang ada bagi memperkasa pertubuhan belia. Dalam hal ini, potensi utama akta ini ialah menjana pemimpin pelapis.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

Friday, January 4, 2008

Kejutan Obama menanti Hillary

Oleh Razak Rashid Ghows

PERLUMBAAN ke Rumah Putih bermula hari ini apabila warga Iowa keluar untuk memilih calon Presiden mereka daripada barisan bakal calon Demokrat dan Republikan.

Bagi parti Demokrat, kedua-dua bakal calon utamanya, Hillary Clinton dan Barack Obama dikatakan menghadapi persaingan sengit dan mendapat tumpuan dengan masing-masing berikrar melakukan terbaik sebagai mana lazimnya dalam semua pilihan raya lain.

Bekas wanita pertama itu sering menonjolkan pengalaman yang pernah dilaluinya selaku wanita pertama dalam kempennya dan menyatakan kesediaan untuk terus memimpin sebaik saja diberikan kuasa.

Proses demokrasi empat tahun sekali itu juga diceriakan Obama, calon kulit hitam yang mendapat sokongan selebriti seperti Oprah Winfrey. Obama yang juga seorang senator kulit hitam kelima di negara berkenaan menjanjikan perubahan dan kelainan daripada zaman Bush dan Clinton, jika beliau dipilih partinya untuk menjadi calon Demokrat menentang calon Republikan.

Sehingga kelmarin, menurut tinjauan pendapat sebuah akhbar di Iowa, Des Moines Register, Obama mendahului dengan 32 peratus sebagai pilihan utama anggota Demokrat yang berhasrat menyertai kaukus di Iowa malam ini bagi menyatakan sokongan kepada calon pilihan mereka.

Yang menariknya, kawasan di mana kaukus itu dijalankan mempunyai 94 peratus pengundi kulit putih, sekali gus menunjukkan betapa calon kulit hitam diberikan perhatian serius buat kali pertama. Obama dikatakan mendapat peratusan tertinggi menerusi sokongan pengundi muda dan mereka yang mengundi kali pertama.

Pilihan raya Amerika Syarikat diadakan setiap empat tahun sekali selepas setiap negeri memberi undi popular kepada calon yang dipilih oleh parti masing-masing. Ia juga diadakan serentak dengan sebahagian pilihan raya Senat, Kongres dan negeri serta pilihan raya Gabenor.

Hillary pula berada di belakang Obama dengan 25 peratus sokongan dan calon ketiga tertinggi bagi Demokrat, John Edwards, 24 peratus, menurut tinjauan akhbar itu yang dipertikaikan kesahihannya oleh setengah pihak.

Sementara itu bagi Republikan, bakal calonnya terdiri daripada bekas Gabenor Arkansas, Mike Huckabee mendahului dengan 32 peratus, bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney, kedua terbesar dengan 26 peratus dan seorang Senator dari Arizona, John McCain, 13 peratus.

Bekas Gabenor New York, Rudy Giuliani yang bertanggungjawab menguruskan kota New York ketika menara berkembar WTC dilanggar pesawat pada 2001 lalu turut menawarkan diri sebagai calon.

Apapun, keputusan di Iowa adalah sukar untuk diramalkan, apatah lagi dalam keadaan di mana sebahagian besar pengundi masih belum membuat keputusan. Dalam pada itu ada sebahagian lagi pengundi yang masih belum menentukan siapa di kalangan calon itu yang menjadi pilihan utama mereka.

Ketiga-tiga bakal calon Demokrat itu bagaimanapun berjaya menarik perhatian ramai pada kempen yang dianjurkan, dengan Hillary membawa bersama suaminya, Bill Clinton dan anak mereka, Chelsea.

Namun rata-rata ucapan Obama didapati lebih menarik minat pengundi kerana beliau berjanji akan melakukan perubahan dalam arena politik di negara berkenaan, satu kelainan daripada apa yang pernah mereka dengar sebelum ini di kalangan calon kulit putih.

Tumpuan diberikan kepada Obama dan Hillary kerana hakikatnya ini kali pertama seorang bukan kulit putih mungkin akan terpilih sebagai calon, manakala Hillary, selain seorang wanita, adalah juga isteri kepada bekas presiden.

Di sinilah letaknya ujian di kalangan kaukus dan pengundi pada peringkat awal di Iowa dan kemudiannya New Hampshire dalam memilih calon yang bakal mewakili mereka dalam pilihan raya presiden sebuah negara kuasa besar itu.

Soalnya siapa pun menjadi presiden sudah tentu menjadi pemerhatian dunia kerana dasar Amerika Syarikat yang tidak adil terhadap orang Islam terutama di Iraq, Afghanistan dan Asia Barat pada zaman pemerintahan George W Bush.

Ramai yang masih belum dapat melupakan peristiwa di mana tentera Iraq diseksa oleh askar Amerika di Penjara Gharib dan penahanan puak tertentu yang dianggap sebagai pengganas tanpa perbicaraan yang adil di Kem Guantanamao.

Di kalangan orang kulit putih yang tidak beragama Islam, pendirian Bush itu menyebabkan timbul perasaan kebencian atau ketakutan terhadap orang Islam atau apa yang digelar sebagai ‘Islamophobia’.

Dalam kempen menjelang kaukus hari ini, isu mengenai penempatan tentera Amerika di Iraq turut dibangkitkan dan ada di antara bakal calon berkenaan mahu supaya tentera negara itu ditarik balik dari Iraq.

Melihat kepada perkembangan dunia masa kini dan peranan Amerika yang tidak disenangi negara Islam dan negara kecil yang lain, ada kemungkinan sokongan akan beralih kepada bakal calon yang dapat memberi kelainan dalam pendekatannya berbanding pemimpin terdahulu.

Sekiranya perkara ini menjadi pertimbangan, maka harapan Obama untuk mengatasi Hillary sebagai calon Demokrat akan menjadi lebih cerah pada peringkat awal pencalonan di Iowa dan seterusnya.

Apakah pada Februari 2009 kelak seorang calon wanita atau calon kulit hitam dari parti Demokrat ataupun calon lain dari Republikan yang menduduki kerusi nombor satu di Rumah Putih akan ditentukan melalui pelbagai peringkat proses pemilihan sepanjang tahun ini sehingga November depan bermula daripada sekarang di Iowa.

Barat ‘pilih bulu’ tegur kepincangan demokrasi

DEMOKRASI tidak pernah dianggap sempurna. Namun 2007 yang baru berlalu menunjukkan ia lebih tidak sempurna daripada apa yang dijangkakan. Tahun lalu atas nama demokrasi, dunia menyaksikan pembunuhan Benazir Bhutto di Pakistan, dakwaan sabotaj pilihan raya di Kenya, pembunuhan berterusan di Iraq dan rampasan kuasa di Thailand.

Pada masa sama, negara Barat yang demokrasinya juga kurang sempurna, terus mahu memainkan peranan sebagai ‘penjaga’ demokrasi, menegur siapa yang mereka anggap tergelincir daripada landasan demokrasi. Kuasa Barat ini memainkan peranan berkenaan seolah-olah negara membangun masih berstatus jajahan.

Sebagai contoh, apabila negara kita sendiri bertindak menahan beberapa orang pencetus demonstrasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ada kuasa Barat yang menegur. Bagaimanapun yang peliknya si penegur ini sendiri menahan orang tanpa bicara. Bukan sekadar itu, tahanan berkenaan turut dilucutkan hak habeas corpus - hak mempertikaikan penahanan mereka di mahkamah.

Sekurang-kurangnya di negara kita, tahanan ISA tetap mempunyai hak demikian. Bagaimana sekali pun ditunjukkan kepincangan mereka, kuasa Barat ini tetap mahu memainkan peranan sebagai penjaga demokrasi. Minggu ini saja Kenya ditegur dengan dakwaan peti undi dicabul dalam pemilihan negara itu yang berakhir dengan kemenangan presiden sedia ada dan disusuli dengan rusuhan.

Apabila ada saja rusuhan, pengeboman, ahli politik dan wartawan dipenjarakan, rampasan kuasa, Barat akan tampil menegur. Kalau sebelum ini, satu atau dua ibu kota negara Barat yang kerap memainkan peranan penegur ini, kini muncul pula beberapa lagi ‘jaga baru’. Pesanan yang mereka sering sampaikan adalah hak demokratik rakyat harus dihormati dan pilihan raya harus diadakan secara bebas, adil dan selamat.

Sebenarnya, tidak ada salah terhadap teguran ini. Jika diambil secara positif teguran boleh membawa perubahan kepada persekitaran yang tidak adil, malah kadang kala bertindak sebagai benteng kepada perlakuan kejam ke atas rakyat yang ditindas. Memang benar kita tidak boleh melihat saja apabila jiran kita atau sesiapa saja ditindas. Sekurang-kurangnya kita menegur mereka yang bertindak zalim, jika tidak mampu berbuat lebih daripada itu.

Namun, masalahnya adalah jika teguran itu tidak ikhlas atau teguran itu dibuat oleh pihak yang dirinya tidak sempurna. Apa yang dapat dilihat sekarang ialah kuasa Barat ini ‘memilih bulu’ untuk menegur. Israel sebagai contoh, jarang sekali ditegur oleh mana-mana kuasa Barat, walaupun demokrasi diamalkan Tel Aviv jauh sekali daripada nilai demokrasi Barat.

Pembunuhan, pengusiran dan ketidakadilan yang dilakukan Tel Aviv semuanya dianggap ‘perlu’ oleh Barat demi melindungi ‘hak’ Israel untuk wujud. Iran sebaliknya, menjadi negara belasahan Barat. Segala dilakukannya semuanya dianggap ancaman kepada keselamatan dunia. Program nuklearnya terus diperangi tanpa mengambil kira hak Teheran untuk membangunkan kuasa nuklear bagi tujuan aman.

Kini semuanya terbongkar, segala tuduhan Barat terhadap niat nuklear Iran tidak benar dan dilakukan tanpa usul periksa yang mendalam. Teheran terbukti tidak lagi terbabit dalam pembangunan senjata nuklear. Walaupun, nasi belum jadi bubur, hampir Iran menjadi medan ujian senjata kuasa barat, seperti negara jiran, Iraq yang kini dikatakan diceroboh atas nama demokrasi, selepas terbukti tuduhan melulu Washington bahawa Baghdad memiliki senjata pemusnah besar tersasar. Selain ‘pilih bulu’, Barat juga bertindak seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Di sesetengah negara Barat sendiri hak demokrasi rakyatnya dan orang lain dipijak atas nama memerangi keganasan. Apakah status demokrasi masih boleh diberi kepada negara Barat? Apakah ciri demokrasi seperti kebebasan bersuara, kebebasan diri, pilihan raya yang adil dan bebas serta keluhuran undang-undang (seperti due process) masih wujud di Barat?

Seperti banyak negara di dunia membangun, negara Barat juga kini cenderung memberi keutamaan kepada soal keselamatan dan kemakmuran. Berikutan itu, apakah negara Barat ini yang demokrasinya sudah jatuh sama statusnya dengan negara ketiga, masih layak menegur negara membangun? Sama ada layak atau tidak layak, oleh kerana mereka memiliki kuasa senjata dan ekonomi, negara Barat akan terus menegur atau dalam kes Israel tidak menegur.

Tahun baru membawa harapan baru. Menjelang akhir tahun, kita akan tahu siapa yang bakal menghuni Rumah Putih di Washington. Doa 2008, janganlah penghuni baru itu pula turut mahu menjadi presiden ‘aktivis demokrasi perang’ seperti presiden sebelumnya.

Penulis ialah Pengarang Meja Luar Negara, Berita Harian

LPKP mesti tegas siasat syarikat bas

LANGKAH Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk menyoal siasat pengurusan lapan syarikat pengangkutan awam berhubung kejadian kemalangan maut membabitkan kenderaan mereka sepanjang November dan Disember lalu perlu dalam usaha meningkat perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Menurut Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran, soal siasat itu bertujuan mengenal pasti jika berlaku kelemahan dalam pengurusan syarikat terbabit dan akan dilakukan oleh Jawatankuasa Siasatan LPKP di ibu pejabat lembaga berkenaan, mulai Selasa depan. Sementara kita memuji langkah itu, kita juga berharap LPKP hendaklah memastikan langkah susulan selepas itu. Kelemahan yang dikenal pasti hari ini, mungkin boleh diatasi esok, tetapi masalahnya, kelemahan itu boleh berulang lusa atau minggu depan. Misalnya, dalam soal siasat itu nanti, Jawatankuasa Siasatan LPKP harus meneliti aspek pengurusan operasi termasuk prosedur pengambilan pekerja, gaji, kursus, latihan serta program meningkatkan kecekapan.

Perkara seperti ini memerlukan siasatan susulan atau sekurang-kurangnya pemantauan rambang dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan syarikat pengangkutan sentiasa mematuhi segala prosedur. Sebagai contoh ialah pengambilan pemandu. Apakah pemandu itu benar-benar cekap, berpengalaman atau mempunyai rekod buruk pemanduan seperti kerap terbabit dalam kemalangan. Syarikat bas boleh membuat rujukan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menentukan sama ada pemandu mereka ada dalam senarai pesalah trafik yang melakukan kesalahan mengikut 18 kategori dalam sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) yang dikenakan mata demerit serta-merta. Antara kesalahan yang dikenakan mata demerit ialah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu melulu atau membahayakan, memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa serta cuai mengawal kenderaan. Apakah syarikat bas itu pula mematuhi arahan supaya mempunyai pemandu kedua untuk perjalanan jauh. Semua ini memerlukan tindakan penguatkuasaan.

Apa yang berlaku sekarang, setiap kali kemalangan maut berlaku terutama membabitkan jumlah mangsa terkorban yang ramai, pelbagai pihak muncul dengan pelbagai cadangan. Boleh dikatakan undang-undang di negara ini memadai untuk menangani segala masalah timbul, kecuali masalah kesilapan manusia yang sukar sekali dibendung kerana memandu secara tidak berhemah. LPKP juga perlu melihat kepada keadaan fizikal bas itu sendiri. Laporan akhbar ini Ogos lalu antara lain mendedahkan hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bas awam, termasuk bas ekspres di negara ini didapati tidak selamat kerana menggunakan badan bas dikimpal, menyebabkan strukturnya tidak kukuh, berbanding model import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan tempatan (CKD). Kebanyakan bumbung bas terbabit tidak disambung terus ke platform yang boleh membahayakan nyawa penumpang sekiranya berlaku kemalangan dahsyat. Kita berharap LPKP tidak membataskan siasatan mereka ke atas lapan syarikat terbabit, tetapi syarikat lain juga perlu pemantauan rapi. Ini bagi memastikan syarikat terbabit menguruskan operasi masing-masing terutama membabitkan aspek penyelenggaraan kenderaan dan pemandu supaya tidak wujud faktor kecuaian. Kita juga berharap agensi lain yang bertanggungjawab turut membuat tindakan serupa terutama terhadap bas persiaran yang permitnya tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan. Kita berharap dengan langkah baru LPKP ini, kemalangan bas akibat kecuaian dapat dikurangkan. Bayangkan negara kerugian antara RM5.6 bilion hingga RM5.9 bilion kerana kemalangan jalan raya yang meragut lebih 6,000 nyawa setiap tahun.

GLC bantu jayakan Program Pintar

Oleh Norliza Abdullah

PERMUAFAKATAN pendidikan dilaksanakan menerusi kerjasama antara sektor swasta dan institusi pendidikan dalam menjayakan Program Pintar membuktikan kesungguhan pelbagai pihak yang ingin menjana modal insan demi persediaan masa depan negara untuk terus bersaing.

Program Pintar, rancangan pengambilan sekolah angkat, yang dilancarkan di Pulau Pinang pada Disember 2006 dengan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan yang begitu memerlukan sokongan semua pihak terutama agensi swasta.

Program itu mempunyai objektif jelas dalam menjana modal insan lebih berdaya saing menerusi penyediaan pakej pendidikan lengkap sebagai pelengkap kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara menyeluruh.

Usaha murni itu disempurnakan majlis pelancaran oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mendapat sokongan dua agensi utama kerajaan, iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran.

Pengisian Program Pintar mengambil kira empat komponen utama iaitu motivasi, pembangunan pasukan, program sokongan pendidikan, pembangunan keupayaan dan kebolehan serta pengurangan kelemahan dan menangani isu sosial.

Selain pembabitan peserta yang terdiri murid, pelajar dan guru, Program Pintar turut memberi penekanan kepada pentingnya peranan masyarakat dalam membangunkan generasi muda kawasan mereka.

Wajar bagi penaja yang terdiri daripada GLC memanggil sama wakil pemimpin daripada persatuan penduduk dan agensi bukan kerajaan menyertainya.

Tujuan mereka jelas kerana usaha mendidik anak bangsa bukan hanya menjadi tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata, malah masyarakat setempat turut mempunyai tugas sama, bagi memajukan bidang pendidikan.

Program Pintar adalah antara inisiatif program transformasi GLC (TGLC) dengan pendekatan baru menerusi program sekolah angkat, selari seruan kerajaan berkaitan kerjasama sektor awam dan swasta sebagai pemangkin kepada kemajuan berterusan.

Bagi menjayakan program ini, GLC terbabit membelanjakan antara RM40,000 hingga RM60,000 setahun, malah ada yang mencecah RM100,000, bagi pelaksanaan program itu di setiap sekolah angkat masing-masing.

Setakat ini, program berusia setahun sudah disertai 25 GLC membabitkan 38,400 pelajar dan sekolah di 96 sekolah rendah dan menengah. Program ini mensasarkan 350 sekolah menjelang 2010.

Bagi menilai keberkesanan Program Pintar ini, Khazanah Nasional dalam kenyataannya, berkata program berkenaan sudah menunjukkan perkembangan positif pada ulang tahun pertamanya. Ia terbukti apabila 397 murid daripada 34 sekolah rendah di bawah program berkenaan mendapat 5A dalam keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, yang diumumkan baru-baru ini.

Peratusan jumlah murid yang mendapat keputusan cemerlang dari sekolah ini ialah 12.7 peratus lebih tinggi berbanding purata kebangsaan yang merekodkan 9.7 peratus pelajar mendapat 5A.

Keputusan dicatatkan tahun lalu itu juga lebih baik berbanding 2006 dengan hanya 9.4 peratus daripada jumlah murid yang menduduki UPSR mendapat 5A.

Aktiviti P&P dilaksanakan secara menyeluruh dengan menjalankan pelbagai program bimbingan tambahan antaranya, sesi motivasi, kelas pemulihan, kaunseling dan bengkel pembangunan kemahiran.

Tahun ini seramai 3,129 calon dari sekolah yang terbabit dengan Program Pintar menduduki UPSR berbanding 3,122 calon tahun lalu.

Sejumlah 397 daripada jumlah itu memperoleh 5A, sementara 319 pelajar mendapat 4A. Pencapaian itu mencerminkan peningkatan memberangsangkan berbanding 2006 seramai 294 pelajar mendapati 5A dan 292 mendapat 4A.

Peningkatan ketara juga dicatat bagi beberapa mata pelajaran utama seperti Matematik yang menunjukkan 31 peratus daripada jumlah calon mendapat A, Sains (27 peratus), Bahasa Inggeris (18 peratus). Purata kadar kelulusan dari sekolah yang terbabit Program Pintar meningkat kepada 68 peratus pada 2007, berbanding 61 peratus tahun sebelumnya.

Sementara itu, Time Engineering Berhad (Time) tunggak teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) Kumpulan UEM tidak ketinggalan menjayakan program itu dengan mengambil Sekolah Menengah Datuk Haji Mohamad Nor Ahmad dan Sekolah Kebangsaan Sri Aman di Pulau Pinang; Sekolah Menengah Sultan Muzaffar Shah 1, Lambor Kanan, Perak dan Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Niyor, Kluang, Johor, sebagai sekolah angkat.

Sekolah berkenaan terletak dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Wilayah Pembangunan Iskandar dan pengambilan mereka sejajar usaha menyeimbangkan kemajuan kawasan selari arus pembangunan negara peringkat wilayah ekonomi.

Pengarah Urusan Time, Amiruddin Abdul Aziz, berkata inisiatif itu sebagai usaha menyokong komitmen kerajaan membawa kemajuan di kawasan pembangunan zon utara dan selatan setanding perkembangan arus perdana.

Beliau berkata, Time kini pada peringkat akhir mengenal pasti usaha mengambil sebuah sekolah angkat di Kelantan.

Katanya, Sekolah Angkat Pintar bersama Time membabitkan program motivasi dan pembinaan pasukan, bantuan pendidikan seperti kursus bahasa Inggeris dan lawatan sambil belajar. Ia dilengkapi aktiviti meningkatkan kebolehan dan keupayaan peserta seperti menyokong dan menggalak pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak masing-masing.

Selain Program Pintar, Amiruddin berkata, Time menyediakan program nilai ditambah seperti Primary Literature yang bertujuan melatih guru sekolah rendah di seluruh negara menggunakan kaedah dan bahan pembelajaran alternatif dalam pengajaran bahasa Inggeris di sekolah bagi membolehkan sesi pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami.

Katanya, program dengan kerjasama British Council itu mendapat sokongan penuh Pusat Perkembangan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran.

“Program ini mensasarkan untuk melatih lebih 1,200 guru di seluruh negara, manakala 500 daripadanya merangkumi Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau Ecer menjelang 2009.

“Setakat ini kira-kira 240 guru dilatih menerusi program berkenaan di wilayah ini,” katanya.

Natipah raih RM15,000 sebulan hasil ikan air tawar

Oleh Siti Nor Saadah Md Yusof

BERKAT mengusahakan tanah sawah terbiar, seluas dua hektar kira-kira 25 tahun lalu, kini mampu membuatkan seorang pengusaha di Kampung Ulu Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka, tersenyum lebar apabila projek ternakan ikan air tawar di kawasan itu, berupaya memberi pulangan lumayan.

Pengusaha berkenaan, Natipah Isnin, 48, sekarang mampu meraih pendapatan kasar antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan sekali gus membuktikan bidang pertanian menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan secara tekun.

Natipah yang dibantu suaminya, Kamarudin Hashim, 49, yang bekerja di Risda dan dua anaknya kini aktif membina empayar perniagaan ikan air tawar kerana mendominasi bekalan ikan air tawar bagi kawasan selatan khususnya di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Pada awalnya, beliau yang juga Ahli Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Alor Gajah ini mengusahakan tiga kolam ikan milik keluarga di atas tanah terbabit yang kemudiannya diperluaskan kepada 20 kolam ikan seluas 0.2 hektar setiap satu.

Antara ikan air tawar diternak ialah keli Afrika, patin, tilapia merah, bawal merah, lee koh, jelawat dan lampam jawa untuk dipasarkan ke pasar tani, restoran serta pengusaha kolam pancing.

Mengimbau pembabitannya dalam dunia perniagaan, Natipah berkata, beliau terdedah kepada dunia ternakan ikan air tawar sejak berusia belasan tahun, selepas melihat ibu bapanya yang menternak ikan secara kecil-kecilan sebagai hobi selain sumber pendapatan sampingan.

Berbekalkan minat yang mendalam dan semangat tinggi untuk menceburi bidang yang lazimnya dipelopori lelaki, Natipah bertekad mengusahakan projek ternakan ikan air tawar secara serius menerusi syarikatnya, Kamnat Enterprise.

Berdasarkan pengalamannya, pasaran ikan air tawar 10 tahun lalu agak lembap berikutan tidak ramai yang menggemari ikan berkenaan sehinggalah sekitar 2000, perniagaan kembali bernafas apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengadakan promosi makan ikan air tawar.

Dengan hasrat mengusahakan perniagaan berskala besar, Natipah mengguna pakai kaedah pembiakan dan pengeluaran benih ikan seperti disaran Jabatan Perikanan bagi pembiakan ikan dalam kuantiti yang banyak.

Teknik suntikan kepada induk ikan jantan dan betina dengan sejenis hormon dikenali 'Ovaprim' bagi tujuan penetasan mampu menghasilkan anak ikan yang cepat matang dan disenyawakan keesokan harinya dengan memicit perut ikan sebelum dimasukkan ke dasar tangki penetasan.

Bagi mengurangkan kos penternakan, beliau turut membiak sendiri benih ikan keli dengan bantuan Fama yang menyediakan pusat penetasan benih ikan di kawasan ternakan.

Jumlah benih ikan yang dimuatkan ke dalam kolam adalah berbeza mengikut jenis. Bagi ikan patin, kepadatan benih ikan bagi sebuah kolam berukuran 0.2 hektar ialah 30,000 ekor, manakala bagi ikan keli pula boleh mencecah 50,000 ekor dalam sesebuah kolam.

Ikan berkenaan diberi makan palet ikan atau dedak khas dua kali sehari pada waktu pagi dan petang, manakala bagi ikan pada peringkat tumbesaran diberi makan sisa pemprosesan sekali saja pada waktu petang.

Tahap matang ikan mencecah usia dua hingga enam bulan bergantung kepada jenis ikan. Ikan keli misalnya, mencapai tahap matang dengan cepat sekitar dua hingga tiga bulan apabila dilepaskan ke kolam tanah, berbanding kolam konkrit atau kanvas yang mencapai tahap matang pada usia tiga hingga empat bulan.

Hanya ikan yang mencapai saiz 20 sentimeter dan berat purata 200 gram akan dipilih untuk dipasarkan. Selepas tiga bulan semua ikan akan dipasarkan sejuk beku atau hidup tanpa mengira saiz. Ikan tilapia, patin dan lampan jawa mengambil masa enam bulan untuk membesar.

Secara purata, kolam ikan mampu mengeluarkan hasil 100 kilogram sehari atau 10 hingga 15 tan ikan dalam tempoh sebulan pada harga antara RM3.50 hingga RM6 sekilogram.

Kerja menguruskan ternakan ikan dilakukan sendiri dengan bantuan dua pekerja tetapnya, selain mempunyai 10 pekerja lain terdiri daripada penduduk setempat yang dibayar gaji secara tetap dan kontrak.

Bersandarkan kepada keyakinan bahawa tiada jalan pintas untuk menggenggam kejayaan, wanita berjiwa kental ini layak digelar wanita besi kerana membuktikan beliau mampu bersaing dengan pengusaha lain khususnya lelaki yang mengusahakan bidang serupa dengannya.

Selain ternakan ikan, Natipah mengusahakan pusat pengumpulan ikan dengan mengguna pakai kaedah pembenihan ikan air tawar yang dipelajari ketika kursus anjuran Jabatan Perikanan di Pusat Latihan Perikanan Air Tawar, Kuala Kangsar, Perak.

Beliau membeli ikan kecil daripada pengusaha lain di sekitar kampung dan kemudian diternak semula sehingga mencapai saiz yang sesuai untuk dipasarkan.

Kejayaannya turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Anugerah Paladang Jaya Wanita peringkat kebangsaan dua tahun berturut-turut pada 2001 dan 2002 selain merangkul anugerah yang sama bagi peringkat negeri bermula 1999 hingga 2006.

Menyedari permintaan yang tinggi terhadap pasaran ikan air tawar, Natipah berhasrat untuk memperkembangkan bidang perniagaannya dengan menumpukan kepada penghasilan produk berasaskan ikan air tawar.

“Kami berhasrat untuk mengeluarkan produk ikan salai, pekasam, ikan masin serta bebola ikan untuk dikomersialkan pada masa depan. Semuanya masih pada peringkat perancangan dan kami mensasarkan tempoh dua hingga tiga tahun untuk menjayakannya,” katanya.

Tanpa aduan NCCC tak dapat pantau harga secara berkesan

MEMBUAT aduan adalah cara terbaik untuk mengenal pasti masalah. Bagaimanapun, untuk mendapatkan pengguna tampil membuat aduan sekiranya mereka tidak puas hati dengan barang atau perkhidmatan dilanggani adalah isu paling mencabar bagi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

Menurut Pengarah NCCC, Darshan Singh, bagi mendapatkan hasil yang terbaik, pengguna mesti bersatu dan berjuang untuk mempertahankan hak mereka sebagai pengguna.

“Kita perlu menyuarakan kerisauan kita. Sebagai contoh, dua isu yang menarik perhatian ialah kes gores dan menang serta penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kita hanya boleh membuat kerja secara berkesan apabila pengguna mengemukakan aduan. Dengan ini juga kita boleh melihat tindakan proaktif yang diambil pihak berkenaan. Tanpa rintihan atau rungutan orang awam, pihak berkuasa atau agensi penguatkuasaan akan mengabaikan isu berkaitan,” katanya.

Sejak NCCC ditubuhkan pada pertengahan 2004, bilangan aduan diterima semakin meningkat. Semakin banyak pihak termasuk syarikat mula mengiktiraf kewujudan NCCC serta perkhidmatan ditawarkannya. Ia dapat dilihat melalui kepantasan sesetengah syarikat bertindak kepada aduan orang ramai yang dikemukakan oleh NCCC bagi mendapatkan penyelesaian.

“Pihak berkuasa atau agensi penguatkuasaan bekerja rapat dengan NCCC. Ia sememangnya apa yang kita harapkan. Kini hampir 70 peratus aduan pengguna yang diterima diselesaikan pada peringkat NCCC. Kesimpulannya kita mahu melihat semua pihak hidup secara harmoni.

Menurut Darshan, perkara pertama perlu dilakukan ialah untuk mendapatkan orang ramai berminat dalam isu berkaitan pengguna.

“Ia adalah cabaran besar. Kini majoriti pengguna Malaysia menganggap isu pengguna sebagai satu perkara remeh. Kebanyakan mereka tidak mahu membesar-besarkan isu. Sesetengahnya hanya rasa risau apabila mereka secara langsung terjejas dan perlu mendapat ganti rugi.

“Mereka tak faham dengan globalisasi dan liberalisasi ekonomi, kita dihujani pelbagai barang dan perkhidmatan. Sekiranya kita tidak mengambil usaha mendapatkan pengetahuan, tidak dapat tidak, lambat-laun kita akan diperdaya,” jelas Darshan.

Kebanyakan isu yang dihadapi pengguna adalah isu berulang. Bagaimanapun, beliau berpendapat dengan semakin banyak perbincangan mengenai harga barang dan perkhidmatan secara aktif dibahas, pihaknya menjangka isu kos kehidupan akan menjadi perkara utama pada 2008. Dengan ini pihaknya menjangka lebih banyak aduan mengenai kenaikan harga diterima tahun ini,” tambahnya.

Pada masa sama, Darshan berharap pihak berkuasa berkaitan akan mengambil segala langkah perlu untuk memastikan masyarakat perniagaan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Pada masa ini, kementerian berkenaan hanya mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak mempamerkan harga. Tidak ada undang-undang untuk kegiatan mengambil untung. Sehingga kini tidak ada definisi mengenai pengambilan untung. Berapa banyak kenaikan boleh dianggap sebagai mengambil keuntungan?

“Apa yang boleh dibuat kementerian itu hanya membatalkan lesen perniagaan. Untuk itu adalah penting bagi kementerian berkenaan mempercepatkan langkah memperkenalkan Akta Perdagangan Adil yang dapat menangani isu pengambilan untung,” katanya.

Bagaimanapun, kuasa di tangan pengguna. Jika mereka rasa ada tempat perniagaan menaikkan harga sesuka hati, pulaukan saja peniaga itu. Bukan setakat itu, mereka juga perlu memaklumkan kepada rakan supaya jangan mengunjungi premis berkenaan.

Untuk itu, pengguna perlu berganding bahu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Laporan perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan kementerian dan tindakan serta-merta perlu diambil pegawai penguat kuasa. Tiada gunanya menuding jari.

Sebanyak 18,345 aduan diterima pada 2006 dan untuk 2007, bilangan aduan dijangka meningkat 15 peratus.

NCCC menyenarai jumlah aduan 2006 kepada 23 kategori dengan aduan paling banyak iaitu 1,578 dalam kategori perumahan, jualan langsung (1,499), pendidikan tinggi swasta (1,453), syarikat pengurusan hartanah (1,325), telekomunikasi (1,297), produk cacat dan rosak (1,032) serta jualan murah (1,003).

Pengguna boleh buat aduan melalui telefon 03-78779000/03-78748096 atau datang sendiri ke pejabat (alamat No 1D, Jalan SS9A/17, 47300 Petaling Jaya, Selangor atau e-mel (nccc@nccc.org.my), e-aduan (www.nccc.org.my) atau faksimile 03-78748097). - Bernama