Wednesday, January 2, 2008

Aspirasi: Rakyat berilmu angkat imej negara

Bersama Radzi Abdul Latif
radzilatif@yahoo.com

Pergolakan politik, ekonomi dunia iktibar untuk kita hargai keharmonian

TAHUN 2007 berlalu meninggalkan pelbagai kenangan pahit dan manis. Di mana-mana saja di dunia berlaku pelbagai peristiwa menggembirakan mahupun menyedihkan. Mungkin, di Pakistan, pada saat akhir penghujung 2007, berlaku peristiwa yang meninggalkan kesan meluas terhadap suasana politik negara itu apabila bekas Perdana Menterinya, Benazir Bhutto yang sedang berkempen menjelang pilihan raya 8 Januari, terbunuh akibat serangan pengebom berani mati yang menembaknya dan kemudian meletupkan diri.

Pelbagai perkara lain yang timbul selepas peristiwa itu yang membabitkan kesahihan punca kematian dan sebagainya, bukan lagi perkara prima. Tetapi, perkara yang merisaukan ialah kekacauan berterusan di negara Islam itu. Pakistan menjadi sebuah negara Islam yang boleh ditakrif menghadapi kegawatan politik agak berpanjangan.

Umat Islam bukan saja bermusuhan sesama sendiri, tetapi persengketaan sesama mereka sukar diselesaikan atas pelbagai alasan. Paling menggerunkan ialah apabila permusuhan sesama Islam angkara 'tangan ghaib' yang menguasai dunia. Negara dan bangsa itu menggunakan kuasa hegemononi untuk mengucar-kacirkan umat Islam di seluruh dunia.

Malaysia tidak benci kepada mana-mana kuasa dunia sebaliknya tidak suka kepada persengketaan yang mencetuskan tindakan ganas, seterusnya peperangan. Malaysia benci kepada jenayah dan kezaliman yang menyebabkan rakyat di sesebuah negara menderita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atas kedudukannya sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sudah beberapa kali membangkitkan kebimbangannya berhubung konflik di negara Islam membabitkan pertikaian antara negara Islam atau antara rakyat Islam di negara Islam.

Baginya, umat Islam sepatutnya bersatu padu supaya dapat merancang masa depan dan membangunkan negara yang bermaruah selain berpadu kekuatan untuk menghadapi musuh sebenar, bukannya berbunuhan sesama sendiri.

Beliau sedih kerana pergaduhan sesama Islam yang terus berlarutan. Ramai terbunuh dan banyak kerosakan berlaku. Baginya, peristiwa demi peristiwa yang menimpa umat Islam adalah tragedi amat menyedihkan. Mereka sepatutnya bersatu menghadapi ancaman terhadap negara dan bangsa mereka.

Mereka perlu sedar, perjuangan sebenar ialah melengkap diri dengan ilmu. Umat Islam perlu menguasai sains dan teknologi. Mereka perlu menjadi bangsa pencipta, bukan bangsa pengikut. Jika tidak mahu umat Islam ditindas, mereka tidak mempunyai jalan pintas yang lain, melainkan meningkatkan kemajuan diri. Hari ini, umat Islam boleh dihancurkan dengan mudah kerana mereka bukan saja ketinggalan dari segi kelengkapan, tetapi sesama sendiri juga mereka bermusuhan.

Satu fenomena yang menggerunkan hari ini ialah apabila ada segelintir umat Islam sanggup mati untuk melakukan sesuatu, apatah lagi jika mangsanya adalah orang seagama.

Di negara tertentu, sudah ramai yang mati akibat tindakan nekad seperti ini yang mereka lakukan di mana-mana saja. Di negara itu, tempat awam, pasar, pusat beli-belah, malah di balai polis sekali pun, tidak boleh dianggap kawasan selamat. Ledakan bom boleh berlaku pada bila-bila masa.

Akibat tindakan segelintir manusia yang tidak tahu menilai nyawa mereka, ramai menjadi mangsa korban sama ada orang yang terbunuh itu adalah musuh yang menjadi sasaran atau orang awam yang tidak berdosa.

Bagi pembunuh berani mati, tidak ada pakar psikologi pun yang mudah faham mengapa mereka melakukan perbuatan itu, melainkan mereka adalah golongan yang begitu taksub dengan kepercayaan mereka. Kematian mereka adalah sia-sia. Yang pasti, tindakan mereka meletakkan nama Islam pada tahap menakutkan, malah menjijikkan.

Imej umat Islam yang dilabelkan sebagai manusia ganas dan sanggup melakukan apa saja, kian menebal dalam pemikiran kaum lain di dunia. Akibatnya, pelabur tidak berminat menanam modal di negara Islam, seterusnya menyebabkan negara Islam terus ketinggalan dalam serba serbi.

Malaysia bernasib baik kerana walaupun pelbagai perbalahan berlaku yang membabitkan isu kaum, agama, budaya, politik dan sebagainya, ia dapat diselesaikan dengan aman. Atas dasar ini, kerjasama di kalangan parti memerintah yang membentuk Barisan Nasional (BN) diterajui Umno, membuktikan satu kejayaan yang amat besar dalam konteks perpaduan nasional. Konsep BN menjadi benteng dan penghalang daripada tercetusnya segala punca pertelingkahan, meskipun ia masih ada kekurangan. Sekiranya segala masalah disalurkan menerusi saluran yang betul, apa juga masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Sebaliknya, jika ada percubaan untuk melakukan sesuatu di luar batas undang-undang, ia hanya mengundang masalah. Di Malaysia, kerajaan menggunakan tindakan mencegah sesuatu kejadian sebelum ia bertambah buruk.

Itulah sebabnya, kerajaan tidak begitu gemar dengan campur tangan kuasa asing dalam urusan menyelesaikan perbalahan di negara ini. Dalam apa juga perbalahan yang membabitkan rakyat negara ini, Malaysia mempunyai piawaian sendiri.

Malaysia tidak boleh mengikut arahan negara asing kerana mengikut kehendak mereka akan hanya membawa kehancuran. Kerajaan Malaysia bertanggungjawab ke atas apa juga yang berlaku di negara ini – dulu, kini dan masa depan. Bagi kuasa dan media asing, mereka lebih suka melihat negara ini dalam kacau-bilau kerana lebih mudah mereka menjalankan peranan menjajah semula negara ini.

Dunia hari ini bercakap soal etika global yang mana negara kuasa besar menggariskan pelbagai garis panduan untuk dipatuhi oleh negara lain di dunia. Etika yang mereka tetapkan itu seolah-olah wajib diikuti kononnya ia adalah satu piawaian untuk menjamin kesejahteraan sejagat. Perlu diingat bahawa apa yang kononnya mereka anggap sebagai etika global, terutama di negara yang mereka meletakkan tangan ghaib mereka, keadaannya tetap huru-hara.

Sebaliknya, mereka perlu menjadikan prinsip yang wujud di Malaysia ini sebagai satu etika global. Jika mereka mengkaji konsep dan falsafah kerajaan BN, mereka akan dapat melihat kebaikan demi kebaikannya yang cuba diketengahkan.

Di Malaysia, ciri-ciri yang boleh mencetuskan perbalahan, tidak digalakkan. Malaysia lebih suka menonjolkan kekuatan diri sendiri seperti memotivasikan rakyat supaya mencipta kecemerlangan. Malaysia mahukan rakyatnya menjadi satu bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Itulah sebabnya, kerajaan pimpinan Abdullah memberi fokus kepada pembinaan modal insan dan pada masa yang sama menerima prinsip Islam Hadhari untuk kebaikan ummah.

Diharapkan, menerusi pendidikan yang sempurna dan terurus, tidak ada rakyat Malaysia yang terjebak tindakan yang sia-sia, sebaliknya berusaha untuk mengejar kecemerlangan diri untuk memuliakan bangsa, negara dan agama. Jika azam ini diteruskan pada 2008 dan seterusnya, Malaysia akan terus aman dan mencipta nama di persada dunia.

Bagi orang Melayu pula, mereka perlu memperkukuh jati diri bagi meningkatkan kualiti diri dan bersaing pada pasaran global, bersaing atas keupayaan dan ketrampilan mereka sebagai modal insan Melayu yang sempurna.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

No comments: