Friday, January 4, 2008

LPKP mesti tegas siasat syarikat bas

LANGKAH Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk menyoal siasat pengurusan lapan syarikat pengangkutan awam berhubung kejadian kemalangan maut membabitkan kenderaan mereka sepanjang November dan Disember lalu perlu dalam usaha meningkat perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Menurut Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran, soal siasat itu bertujuan mengenal pasti jika berlaku kelemahan dalam pengurusan syarikat terbabit dan akan dilakukan oleh Jawatankuasa Siasatan LPKP di ibu pejabat lembaga berkenaan, mulai Selasa depan. Sementara kita memuji langkah itu, kita juga berharap LPKP hendaklah memastikan langkah susulan selepas itu. Kelemahan yang dikenal pasti hari ini, mungkin boleh diatasi esok, tetapi masalahnya, kelemahan itu boleh berulang lusa atau minggu depan. Misalnya, dalam soal siasat itu nanti, Jawatankuasa Siasatan LPKP harus meneliti aspek pengurusan operasi termasuk prosedur pengambilan pekerja, gaji, kursus, latihan serta program meningkatkan kecekapan.

Perkara seperti ini memerlukan siasatan susulan atau sekurang-kurangnya pemantauan rambang dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan syarikat pengangkutan sentiasa mematuhi segala prosedur. Sebagai contoh ialah pengambilan pemandu. Apakah pemandu itu benar-benar cekap, berpengalaman atau mempunyai rekod buruk pemanduan seperti kerap terbabit dalam kemalangan. Syarikat bas boleh membuat rujukan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menentukan sama ada pemandu mereka ada dalam senarai pesalah trafik yang melakukan kesalahan mengikut 18 kategori dalam sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) yang dikenakan mata demerit serta-merta. Antara kesalahan yang dikenakan mata demerit ialah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu melulu atau membahayakan, memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa serta cuai mengawal kenderaan. Apakah syarikat bas itu pula mematuhi arahan supaya mempunyai pemandu kedua untuk perjalanan jauh. Semua ini memerlukan tindakan penguatkuasaan.

Apa yang berlaku sekarang, setiap kali kemalangan maut berlaku terutama membabitkan jumlah mangsa terkorban yang ramai, pelbagai pihak muncul dengan pelbagai cadangan. Boleh dikatakan undang-undang di negara ini memadai untuk menangani segala masalah timbul, kecuali masalah kesilapan manusia yang sukar sekali dibendung kerana memandu secara tidak berhemah. LPKP juga perlu melihat kepada keadaan fizikal bas itu sendiri. Laporan akhbar ini Ogos lalu antara lain mendedahkan hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bas awam, termasuk bas ekspres di negara ini didapati tidak selamat kerana menggunakan badan bas dikimpal, menyebabkan strukturnya tidak kukuh, berbanding model import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan tempatan (CKD). Kebanyakan bumbung bas terbabit tidak disambung terus ke platform yang boleh membahayakan nyawa penumpang sekiranya berlaku kemalangan dahsyat. Kita berharap LPKP tidak membataskan siasatan mereka ke atas lapan syarikat terbabit, tetapi syarikat lain juga perlu pemantauan rapi. Ini bagi memastikan syarikat terbabit menguruskan operasi masing-masing terutama membabitkan aspek penyelenggaraan kenderaan dan pemandu supaya tidak wujud faktor kecuaian. Kita juga berharap agensi lain yang bertanggungjawab turut membuat tindakan serupa terutama terhadap bas persiaran yang permitnya tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan. Kita berharap dengan langkah baru LPKP ini, kemalangan bas akibat kecuaian dapat dikurangkan. Bayangkan negara kerugian antara RM5.6 bilion hingga RM5.9 bilion kerana kemalangan jalan raya yang meragut lebih 6,000 nyawa setiap tahun.

No comments: