Friday, January 4, 2008

GLC bantu jayakan Program Pintar

Oleh Norliza Abdullah

PERMUAFAKATAN pendidikan dilaksanakan menerusi kerjasama antara sektor swasta dan institusi pendidikan dalam menjayakan Program Pintar membuktikan kesungguhan pelbagai pihak yang ingin menjana modal insan demi persediaan masa depan negara untuk terus bersaing.

Program Pintar, rancangan pengambilan sekolah angkat, yang dilancarkan di Pulau Pinang pada Disember 2006 dengan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan yang begitu memerlukan sokongan semua pihak terutama agensi swasta.

Program itu mempunyai objektif jelas dalam menjana modal insan lebih berdaya saing menerusi penyediaan pakej pendidikan lengkap sebagai pelengkap kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara menyeluruh.

Usaha murni itu disempurnakan majlis pelancaran oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mendapat sokongan dua agensi utama kerajaan, iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran.

Pengisian Program Pintar mengambil kira empat komponen utama iaitu motivasi, pembangunan pasukan, program sokongan pendidikan, pembangunan keupayaan dan kebolehan serta pengurangan kelemahan dan menangani isu sosial.

Selain pembabitan peserta yang terdiri murid, pelajar dan guru, Program Pintar turut memberi penekanan kepada pentingnya peranan masyarakat dalam membangunkan generasi muda kawasan mereka.

Wajar bagi penaja yang terdiri daripada GLC memanggil sama wakil pemimpin daripada persatuan penduduk dan agensi bukan kerajaan menyertainya.

Tujuan mereka jelas kerana usaha mendidik anak bangsa bukan hanya menjadi tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata, malah masyarakat setempat turut mempunyai tugas sama, bagi memajukan bidang pendidikan.

Program Pintar adalah antara inisiatif program transformasi GLC (TGLC) dengan pendekatan baru menerusi program sekolah angkat, selari seruan kerajaan berkaitan kerjasama sektor awam dan swasta sebagai pemangkin kepada kemajuan berterusan.

Bagi menjayakan program ini, GLC terbabit membelanjakan antara RM40,000 hingga RM60,000 setahun, malah ada yang mencecah RM100,000, bagi pelaksanaan program itu di setiap sekolah angkat masing-masing.

Setakat ini, program berusia setahun sudah disertai 25 GLC membabitkan 38,400 pelajar dan sekolah di 96 sekolah rendah dan menengah. Program ini mensasarkan 350 sekolah menjelang 2010.

Bagi menilai keberkesanan Program Pintar ini, Khazanah Nasional dalam kenyataannya, berkata program berkenaan sudah menunjukkan perkembangan positif pada ulang tahun pertamanya. Ia terbukti apabila 397 murid daripada 34 sekolah rendah di bawah program berkenaan mendapat 5A dalam keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, yang diumumkan baru-baru ini.

Peratusan jumlah murid yang mendapat keputusan cemerlang dari sekolah ini ialah 12.7 peratus lebih tinggi berbanding purata kebangsaan yang merekodkan 9.7 peratus pelajar mendapat 5A.

Keputusan dicatatkan tahun lalu itu juga lebih baik berbanding 2006 dengan hanya 9.4 peratus daripada jumlah murid yang menduduki UPSR mendapat 5A.

Aktiviti P&P dilaksanakan secara menyeluruh dengan menjalankan pelbagai program bimbingan tambahan antaranya, sesi motivasi, kelas pemulihan, kaunseling dan bengkel pembangunan kemahiran.

Tahun ini seramai 3,129 calon dari sekolah yang terbabit dengan Program Pintar menduduki UPSR berbanding 3,122 calon tahun lalu.

Sejumlah 397 daripada jumlah itu memperoleh 5A, sementara 319 pelajar mendapat 4A. Pencapaian itu mencerminkan peningkatan memberangsangkan berbanding 2006 seramai 294 pelajar mendapati 5A dan 292 mendapat 4A.

Peningkatan ketara juga dicatat bagi beberapa mata pelajaran utama seperti Matematik yang menunjukkan 31 peratus daripada jumlah calon mendapat A, Sains (27 peratus), Bahasa Inggeris (18 peratus). Purata kadar kelulusan dari sekolah yang terbabit Program Pintar meningkat kepada 68 peratus pada 2007, berbanding 61 peratus tahun sebelumnya.

Sementara itu, Time Engineering Berhad (Time) tunggak teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) Kumpulan UEM tidak ketinggalan menjayakan program itu dengan mengambil Sekolah Menengah Datuk Haji Mohamad Nor Ahmad dan Sekolah Kebangsaan Sri Aman di Pulau Pinang; Sekolah Menengah Sultan Muzaffar Shah 1, Lambor Kanan, Perak dan Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Niyor, Kluang, Johor, sebagai sekolah angkat.

Sekolah berkenaan terletak dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Wilayah Pembangunan Iskandar dan pengambilan mereka sejajar usaha menyeimbangkan kemajuan kawasan selari arus pembangunan negara peringkat wilayah ekonomi.

Pengarah Urusan Time, Amiruddin Abdul Aziz, berkata inisiatif itu sebagai usaha menyokong komitmen kerajaan membawa kemajuan di kawasan pembangunan zon utara dan selatan setanding perkembangan arus perdana.

Beliau berkata, Time kini pada peringkat akhir mengenal pasti usaha mengambil sebuah sekolah angkat di Kelantan.

Katanya, Sekolah Angkat Pintar bersama Time membabitkan program motivasi dan pembinaan pasukan, bantuan pendidikan seperti kursus bahasa Inggeris dan lawatan sambil belajar. Ia dilengkapi aktiviti meningkatkan kebolehan dan keupayaan peserta seperti menyokong dan menggalak pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak masing-masing.

Selain Program Pintar, Amiruddin berkata, Time menyediakan program nilai ditambah seperti Primary Literature yang bertujuan melatih guru sekolah rendah di seluruh negara menggunakan kaedah dan bahan pembelajaran alternatif dalam pengajaran bahasa Inggeris di sekolah bagi membolehkan sesi pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami.

Katanya, program dengan kerjasama British Council itu mendapat sokongan penuh Pusat Perkembangan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran.

“Program ini mensasarkan untuk melatih lebih 1,200 guru di seluruh negara, manakala 500 daripadanya merangkumi Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau Ecer menjelang 2009.

“Setakat ini kira-kira 240 guru dilatih menerusi program berkenaan di wilayah ini,” katanya.

No comments: