Thursday, January 3, 2008

Belanja buka sekolah perlu ditabung dari awal

Oleh Rusinah Siron

CUTI sekolah sudah berakhir dan demam ‘kembali ke sekolah’ baru bermula dan dirasai ibu bapa yang ada anak untuk memulakan alam persekolahan atau menyambung ke kelas atau tingkatan lebih tinggi. Sudah tentu ibu bapa tidak menang tangan melayani kerenah anak yang begitu ghairah untuk kembali ke sekolah dan bertemu rakan seperjuangan dan sepermainan mereka.

Bagi ibu bapa yang berkemampuan dari sudut kewangan sudah tentu tidak menghadapi masalah dalam membuat persiapan persekolahan anak tetapi bagaimana pula golongan kurang berkemampuan dan mempunyai deretan lima atau enam anak yang bersekolah!

Tidak dinafikan pengumuman kerajaan memansuhkan pembelian buku teks kepada semua pelajar sekolah dan juga yuran sekolah amat melegakan dan terima kasih seluruh rakyat Malaysia di atas keprihatinan kerajaan membantu rakyat menimba ilmu pengetahuan.

Tetapi tidak dinafikan perbelanjaan lain dalam melengkapi alam persekolahan juga amat memeningkan sesetengah ibu bapa. Lazimnya setiap anak di sekolah rendah memerlukan perbelanjaan RM300 hingga RM500.

Jumlah itu adalah anggaran bagi seorang anak dan jika ada tiga anak, cuba kita bayangkan perbelanjaannya yang sudah tentu mencecah lebih RM1,000.

Bagi penulis yang hanya mempunyai dua anak - seorang bersekolah rendah dan seorang lagi di sekolah menengah, tidak terasa sangat mengenai masalah perbelanjaan sekolah, tetapi bagaimana dengan ibu bapa yang mempunyai lima anak atau lebih? Sudah tentunya sukar untuk mengukir senyum walaupun senyuman di bibir sentiasa terukir kerana merasa bangga dengan setiap anak-anak dan demi masa depan yang gemilang bagi anak-anak.

Perbelanjaan itu tidak termasuk perbelanjaan untuk sekolah agama di sebelah petang atau pagi mengikut negeri yang berkaitan seperti pembelian buku agama, pakaian, yuran dan sebagainya. Ibu bapa juga perlu menyediakan perbelanjaan makan anak-anak di sekolah dan belanja rentetan yang berkaitan dengan persekolahan.

Justeru, ibu bapa yang ingin menjana kejayaan anak-anak di alam persekolahan, cubalah ikuti panduan berikut yang dapat dihasilkan berdasarkan kepada pergaulan penulis dengan ramai ibu bapa, pengalaman dan pemerhatian yang boleh dikongsi bersama:

l Janganlah lupa membuat simpanan untuk persekolahan anak-anak, tidak pernah ada orang yang mendapat kerugian kerana menyimpan walaupun dalam jumlah yang sedikit terutama bagi suri rumah yang tidak bekerja, duit lebih sayur dan ikan iaitu lebih kurang RM5 sehari jika disimpan dalam satu bulan jumlahnya RM150.

Walaupun jumlahnya sedikit ramai isteri sangat menghargai simpanan dari lebihan duit sayur ikan ini untuk digunakan bagi persekolahan anak-anak.

l Ajarlah anak menjaga kebersihan pakaian dan peralatan sekolah kerana jika keadaan pakaian dan peralatan sekolah berada dalam keadaan baik, ia boleh diguna pakai adiknya ataupun sekurang-kurangnya digunakan untuk tujuan basahan ketika program kokurikulum sekolah atau ke sekolah agama.

l Bagi ibu yang tidak bekerja, usahakan supaya anak dapat dibekalkan makanan berkhasiat ke sekolah seperti sandwic, nasi goreng, mi goreng dan sebagainya. Bekalkan juga anak-anak dengan duit ke sekolah dalam jumlah yang tidak banyak, cukup untuk anak membeli kuih atau minuman bersama rakan-rakan. Jika ada lebihan duit belanja anak-anak, ajarlah anak menabung untuk masa kecemasan.

l Pastikan anak-anak sentiasa bersih ke sekolah agar anak-anak merasa diri mereka sentiasa sehebat rakan-rakan mereka yang sentiasa kelihatan kemas dan bergaya ke sekolah. Kebersihan diri bukan terletak kepada mahal murahnya sesuatu barang yang dipakai itu, tapi banyak terletak kepada usaha dan komitmen untuk menjaga kebersihan dan penampilan diri.

l Nasihatkan anak-anak agar jangan suka merungut dan membandingkan diri mereka dengan rakan mereka yang datang dari keluarga yang berkemampuan, nasihatilah mereka agar ‘ukur baju di badan sendiri’ dan yang pentingnya adalah berusaha untuk menjadi pelajar yang berjaya.

l Bentuklah kendiri anak supaya menjadi anak yang memiliki sifat 4 C iaitu; Cantik - dalam penampilan dan budi bahasa agar menjadi pelajar yang sentiasa menjadi perhatian rakan-rakan, Ceria - dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar, Cergas - dalam persatuan dan kokurikulum sehingga menjadi kebanggaan kawan dan guru-guru dan akhirnya Cerdik - dalam pelajaran sehingga menjadi contoh kepada rakan-rakan lain.

Kepada semua ibu bapa, sudah tentunya kebanggaan kita menjadi ibu bapa adalah melihat kejayaan anak-anak melalui kehidupan mereka semasa mereka kecil hinggalah dewasa dan dalam usaha menjadikan mereka anak-anak yang berguna pada masa depan, alam persekolahan yang anak-anak kita lalui perlulah penuh dengan komitmen dan tanggung jawab ibu bapa memberi yang terbaik untuk anak-anak.

Ingatlah yang terbaik untuk anak tidak semestinya barangan mahal dan mewah tetapi kasih sayang yang tulus ikhlas daripada ibu bapa untuk kejayaan anak mereka.

No comments: