Saturday, January 5, 2008

Perspektif: Akta belia jana pemimpin pelapis

Oleh Saifuddin Abdullah

Mengehadkan umur, tempoh jawatan ketua tangani fenomena kelesuan

BAGI gerakan belia negara, kehadiran 2008 menandakan bermulanya penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, Isnin lalu.

Namun, hakikat bahawa ia tidak dikuatkuasakan serta-merta sebaik saja diluluskan Parlimen, Julai lalu membayangkan ada rintangan, kalaupun bukan tentangan, daripada pihak tertentu, seolah-olah proses penggubalannya tidak sunyi dengan kontroversi.

Idea mewujudkan akta belia muncul sejak timbulnya isu kelesuan pertubuhan belia di negara ini, iaitu pada pertengahan dekad 90-an. Ia adalah satu cadangan untuk mengatasi kelesuan itu. Andaian mereka yang mencadangkan akta ini ialah bahawa perundangan dan peraturan boleh atau diperlukan untuk menangani masalah yang dihadapi pertubuhan belia lesu.

Mereka yang mencadangkan supaya diadakan akta ini terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama; menganggap perundangan dan peraturan adalah perkara terpenting bagi memperkasa pertubuhan belia. Mereka percaya kepada pendekatan legalistik.

Kumpulan kedua pula tidak percaya kepada pendekatan legalistik. Tetapi mereka turut menerima keperluan akta ini kerana semua usaha lain yang dicuba gagal atau menemui jalan buntu. Lantas, akta adalah pilihan terakhir.

Ketika idea pembentukan akta belia ini mula-mula diutarakan dulu, Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju kerana percaya sekiranya semua pertubuhan belia benar-benar menghayati Dasar Pembangunan Belia Negara dan melaksanakan cadangan yang dihasilkan melalui kajian MBM pada 1997/98, yang kemudian diterbitkan sebagai buku Memperkasa Persatuan Belia (2000), maka akta ini tidak diperlukan sama sekali.

Sehingga pertengahan 2002, MBM tidak membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung akta belia kerana merasakan ia belum diperlukan. MBM percaya bahawa apa juga isu yang timbul dalam pertubuhan belia masih boleh ditangani tanpa perlu mempunyai akta ini. Di samping itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sehingga itu belum memikirkan perkara ini dengan serius.

Dalam MBM, orang pertama dan secara konsisten menyuarakan keperluan akta belia ialah Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (4B Malaysia), Datuk Noh Omar pada pertengahan 90-an. Pada masa itu, beliau ialah Ahli Dewan Rakyat dan juga Penolong Setiausaha Agung 4B Malaysia.

Beliau menyuarakannya dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi MBM dan beberapa forum lain. Lebih penting lagi, beliau menyuarakannya di dalam Dewan Rakyat dan orang pertama mencadangkan akta ini di dewan yang mulia itu.

Di pihak KBS pula, sebelum Pilihan Raya Umum 1999, iaitu dalam satu pertemuan di antara Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan pemimpin pertubuhan belia seluruh negara di Kuala Lumpur, ketika mendengar cadangan berhubung akta itu, beliau menyatakan yang KBS akan mengkaji keperluannya.

Selepas itu, pada 2003, Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri KBS dengan Exco Belia dan Sukan Negeri di Genting Highlands, mengumumkan bahawa KBS akan menggubal akta belia, menjadikannya Menteri KBS yang pertama menyatakan dengan jelas bahawa akta belia akan digubal atas keperluan tertentu.

Di bawah Azalina pula, KBS bekerja keras bersama-sama MBM untuk menggubalnya, mempersetujuinya pada Majlis Perundingan Belia Negara dan seterusnya ia diluluskan oleh Parlimen dan kini mula dikuatkuasakan.

Adakah kita memerlukan akta ini? Jawabnya, ya, tetapi ia adalah sebagai langkah dan pilihan terakhir, iaitu selepas pelbagai jalan lain dicuba gagal untuk mengaktifkan semula semua pertubuhan belia.

Sebenarnya, akta ini adalah satu tamparan kepada pemimpin sesetengah pertubuhan belia yang tidak serius mengatasi masalah yang timbul sehingga menyebabkan berlaku fenomena kelesuan pertubuhan belia, lalu akta ini diadakan.

Adakah akta ini memerlukan segala bab dan seksyen yang diluluskan ini? Jawabnya, tidak. Sebahagian daripada peruntukannya tidak diperlukan kerana ia sudah sedia wujud dan beroperasi. Contohnya, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia yang ditubuhkan pada 2005, iaitu tanpa akta ini.

Contoh kedua, ialah Majlis Perundingan Belia Negara ditubuhkan pada 1972 atas buah fikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), tanpa menyebut akta itu diwujudkan

Ini menyebabkan timbulnya pendapat menyatakan bahawa akta ini diperlukan hanyalah untuk memenuhi dua tujuan saja. Pertama; mengehadkan umur pemimpin dan ahli pertubuhan belia, iaitu tidak melebihi 40 tahun dan kedua mengehadkan tempoh pemimpin utamanya memegang jawatan.

Dalam hal ini, MBM dan beberapa badan gabungannya, seperti Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) dan Persahabatan Buddhist Malaysia sejak lama dulu melalui perlembagaan masing-masing, mengehadkan umur pemimpinnya supaya tidak melebihi 40 tahun.

Di samping itu, badan gabungan MBM seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula, walaupun tidak mencatatkannya dalam perlembagaan, barisan kepemimpinannya sentiasa bukan saja tidak melebihi usia 40 tahun, bahkan tidak pun melewati usia 30 tahun.

Apa yang menjadi masalah ialah ada pertubuhan belia, sama ada badan gabungan MBM ataupun tidak, yang mempunyai pemimpin jauh melebihi umur 40 tahun dan ada yang memegang jawatan sejak 70-an lagi! Ironisnya, mereka ini dahulunya memperjuangkan Dasar Belia Negara yang mendefinisikan belia sebagai berusia 15 hingga 40 tahun! Pertubuhan inilah yang kini berhadapan dengan masalah kekurangan pemimpin pelapis berwibawa.

Menurut pendapat itu lagi, tujuan kedua akta ini ialah memindahkan kuasa pendaftaran pertubuhan belia daripada Pendaftar Pertubuhan iaitu di bawah Akta Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia di KBS iaitu di bawah akta belia ini.

Sekiranya untuk tujuan pertama iaitu mengehadkan umur pemimpin dan ahli pertubuhan belia serta mengehadkan tempoh pemimpin utamanya memegang jawatan utama, maka kita tidak memerlukan akta ini. Kita cuma perlu meminda seksyen tertentu dalam Akta Pertubuhan saja.

Ini pernah berlaku sebelum ini. Apabila ada parti politik mendapati ada masalah besar kerana ahlinya boleh menyaman parti di mahkamah, maka dibuat pindaan terhadap Akta Pertubuhan. Kini, Akta Pertubuhan mempunyai bab khusus yang diguna pakai terhadap parti politik saja bagi menyelesaikan masalah itu.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah dalam pertubuhan belia, kita sebenarnya boleh meminda Akta Pertubuhan dengan tidak perlu mempunyai akta belia ini. Lantas, akhirnya, akta belia ini hanyalah diperlukan untuk menukar kuasa pendaftaran pertubuhan belia, iaitu daripada Pendaftar Pertubuhan kepada KBS.

Tidak semua menerima akta belia ini dengan hati terbuka dan berjiwa besar. Polemik mengenainya masih berterusan. Namun, apa yang lebih penting ialah menggembleng seluruh idea, tenaga dan sumber yang ada bagi memperkasa pertubuhan belia. Dalam hal ini, potensi utama akta ini ialah menjana pemimpin pelapis.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

No comments: