HARI ini kita memasuki tahun baru 2008 dengan harapan kita akan menjadi insan yang lebih baik dan lebih cemerlang, selepas mengharungi 2007 dengan penuh cabaran dan dugaan. Biarlah kita melangkah masuk ke lembaran baru dengan penuh yakin. Ini bermakna kita akan meninggalkan segala-galanya yang berlaku pada tahun lalu dalam lipatan sejarah. Apa yang berlalu pastinya tidak akan kembali lagi. Selepas meninggalkan 2007, eloklah kita renungi kembali apa yang sudah kita lakukan sepanjang tahun itu dan melihat dalam diri sendiri secara muhasabah bertujuan memperbaiki apa juga kelemahan dan mencari kekuatan sebagai bekalan hari muka. Sambil itu adalah wajar kita bertanya kepada diri sendiri apakah kita puas hati dengan pencapaian sebagai individu dan apa sumbangan yang sudah diberikan kepada keluarga, masyarakat dan negara? Di manakah ruang yang boleh kita perbaiki kerana sebagai manusia biasa, kita tidak sunyi daripada kelemahan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warga negara yang berwawasan untuk mengatur dan menyusun strategi bagi membolehkan kita mengambil langkah pertama memasuki lembaran baru kehidupan kita mulai hari ini.
Kita harus bersedia untuk mencatat pencapaian lebih cemerlang dan gemilang serta jauh lebih baik daripada apa yang kita lalui tahun lalu. Kita perlu berjanji pada diri sendiri untuk menjauhkan diri daripada najis dadah, lebih produktif di tempat kerja dan mendapat keputusan lebih cemerlang di sekolah. Dari segi agama, kita perlu berazam mendalami ilmu fardu ain dan memperbetulkan sikap selain menunaikan kewajipan fardu kifayah untuk manfaat masyarakat seluruhnya. Di sinilah letaknya kepentingan modal insan yang sering disebut oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Malah, dalam perutusannya semalam, Perdana Menteri mengajak rakyat supaya tidak memberi sedikitpun ruang kepada golongan pelampau untuk mempengaruhi dan jauh sekali menentukan agenda negara bagi mengelak Malaysia daripada terjebak dalam kancah huru-hara. Segala usaha mestilah dengan matlamat untuk membawa manfaat dan faedah kepada semua rakyat dan bukan kerana menyahut desakan daripada pemikiran sempit golongan terbabit.
Setiap rakyat tanpa mengira kaum perlu bertanggungjawab untuk memelihara negara daripada terjebak ke kancah huru-hara ekoran daripada apa yang dimomokkan sebagai kebebasan bersuara yang tidak mempedulikan perasaan atau sensitiviti orang lain. Sempena melangkah ke tahun baru ini, kita renung sejenak apa yang berlaku di beberapa negara seperti Pakistan yang dilanda krisis dalaman paling teruk dalam sejarahnya lebih setengah abad. Kita di sini hidup dalam keadaan aman, harmoni dan saling menghormati. Jangan ada pihak yang cuba mencabul keadaan tenang itu dengan membangkitkan isu yang boleh menyebabkan rakyat majoriti berasa resah dan gelisah. Biarlah 2008 ini menjadi azam baru rakyat Malaysia untuk hidup dalam suasana ekonomi yang ceria, muhibah sesama kaum dan tiada pihak cuba melaga-lagakan antara satu sama lain. Biarlah demonstrasi jalanan yang didokong segelintir rakyat baru-baru ini berlalu dan tidak berulang tahun ini. Bangunlah rakyat Malaysia, hadapilah tahun baru ini dengan penuh keyakinan dan berani serta lebih bertanggungjawab. Semoga kita lebih berjaya pada tahun baru ini dalam segala aspek.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment