Thursday, January 3, 2008

Amaran bergrafik ubah tingkah laku perokok

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail (yang mengikuti seminar berkaitan kawalan tembakau di Bangkok, baru-baru ini)

MENJELANG Disember ini, semua pengeluar rokok di negara ini diwajibkan memaparkan tanda amaran bergrafik pada kotak rokok.

Amaran bergrafik itu menunjukkan risiko dihadapi perokok seperti kerosakan paru-paru, gigi, keguguran dan kanser mulut bertujuan memberi rangsangan emosi seperti ngeri, gerun dan jijik di kalangan perokok.

Ketika ini, pengeluar rokok hanya diwajib meletakkan label seperti ‘Amaran oleh Kerajaan Malaysia - Merokok Membahayakan Kesihatan’ pada setiap kotak rokok. Singapura dan Thailand sudah mewajibkan paparan label amaran bergrafik itu.

Mengikut Artikel 11 Rangka Kerja Konvensyen Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), semua negara yang menandatangani perjanjian perlu menguatkuasakan peraturan (amaran bergrafik pada kotak rokok) dalam tempoh tiga tahun.

Malaysia menandatangani persetujuan untuk mematuhi Artikel 11 itu pada 16 September 2005 dan akan melaksanakan sepenuhnya Disember ini, manakala bagi Artikel 8 (larangan merokok di tempat awam sepenuhnya) hanya akan dilaksanakan pada 2010, iaitu lima tahun selepas persetujuan ditandatangani.

Singapura dan Thailand menandatangani persetujuan berkenaan pada 2004, tetapi sudah melaksanakan amaran bergrafik pada kotak rokok lebih awal daripada tarikh matang.

Angka terbaru menunjukkan kira-kira 21 peratus atau 3.6 juta daripada 25 juta penduduk di negara ini adalah perokok dengan lelaki dewasa mendominasi sebanyak 46 peratus, wanita dewasa (dua peratus), remaja lelaki berusia 13-15 tahun (39 peratus) dan remaja perempuan berusia 13-15 tahun sebanyak 11 peratus.

Angka ini agak menggerunkan dan sudah tiba masanya bagi kerajaan bertindak lebih tegas, terutama larangan merokok di tempat awam mungkin lebih awal daripada tarikh matang 2010 itu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Zain, berkata ketika ini kementerian sedang memilih grafik bersesuaian untuk dipaparkan pada kotak rokok yang mampu menyedarkan perokok supaya berhenti merokok.

Katanya, jika semua berjalan lancar, amaran bergrafik itu akan dilaksanakan sebelum Disember 2008 dan Malaysia bakal menjadi antara tiga negara di rantau Asean yang mempraktikkan Artikel 11 itu sepenuhnya.

Setakat ini, kerajaan masih dalam proses menggubal Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 untuk memasukkan arahan supaya syarikat rokok memaparkan amaran bergrafik pada kotak rokok dan dijangka siap selewat-lewatnya Jun ini sebelum dapat diwartakan.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan berlaku cubaan untuk menggagalkan usaha kepada pematuhan Artikel 11 yang didakwa pernah dilakukan oleh syarikat pengeluar rokok di beberapa negara lain sebelum ini.

Penyelidik Fakulti Kesihatan Awam, Universiti Sydney, Maria Assunta, berkata syarikat pengeluar rokok sanggup melakukan apa saja termasuk memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk ‘mematahkan’ hasil kajian atau penemuan terbaru oleh saintis berhubung kesan buruk merokok.

Beliau mendakwa, syarikat pengeluar rokok juga mempunyai rancangan lebih jauh ke depan berbanding penggubal undang-undang di sesebuah negara sebagai langkah persediaan jika negara itu menguatkuasakan peraturan baru.

Sebagai contoh, katanya, apabila Kerajaan Singapura bertindak mengharamkan iklan produk tembakau di media sekitar 1970-an, syarikat terbabit menggandakan iklan di media elektronik dan cetak di Malaysia kerana siaran dan akhbar boleh diterima di republik itu.

Gabungan syarikat rokok juga mengisytiharkan Persatuan Doktor Pedalaman di Thailand sebagai musuh kerana persatuan itu bertindak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pertama menggerakkan kempen anti-tembakau di negara gajah putih itu.

“Amaran pada kotak rokok di Malaysia ketika ini tidak memberi sebarang kesan kerana ia terlalu umum. Ia hanya pemberitahuan bukan menyedarkan perokok,” katanya yang 16 tahun terbabit dalam kempen antitembakau di Malaysia.

Assunta mendakwa, syarikat pengeluar rokok kini melancarkan kempen untuk berbaik dengan Kerajaan Malaysia menerusi tajaan pelbagai program, terutama untuk pelajar sebagai usaha melobi kerajaan supaya menangguh pelaksanaan Artikel 11.

Kotak rokok yang mempunyai label amaran bergrafik terbukti berkesan meningkatkan tahap pengetahuan kepada perokok dan juga bukan perokok mengenai bahaya tabiat bahaya dan merugikan itu.

Selain mengubah tingkah laku perokok, label itu juga mampu meningkatkan keinginan untuk berhenti merokok, malah ia tidak memberi implikasi kos kepada kerajaan kerana ditanggung oleh syarikat pengeluar rokok.

Ketika ini, Malaysia mengenakan cukai rokok 36 peratus daripada harga runcit, lebih rendah berbanding Thailand sebanyak 61 peratus dan Singapura 64 peratus tetapi lebih tinggi berbanding Vietnam (41 peratus), Indonesia (20-40 peratus), Filipina (10-30 peratus), Laos (15-30 peratus) dan Myanmar (25 peratus).

Bagi FCTC, cukai rokok yang ideal untuk mengurangkan bilangan perokok, terutama di sesebuah negara ialah sekurang-kurangnya 65 peratus daripada harga runcit rokok kerana berpendapat, setiap kenaikan 10 peratus harga rokok mampu mengurangkan tujuh peratus perokok remaja, manakala jumlah jualan rokok juga berkurangan kepada empat peratus.

Penyelidik Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Foong Kin, berkata syarikat rokok mencari jalan lain untuk mengiklankan produk selepas kerajaan mematuhi Artikel 13 dengan mengharamkan iklan dan promosi produk tembakau di media cetak mahu pun elektronik.

Katanya, syarikat rokok mengeluarkan kotak rokok seperti pek berkembar, pek warna warni, pek perayaan selain rokok pelbagai rasa seperti menthol, mild, light dan pelbagai perasa seperti strawberi, epal dan anggur.

Katanya, strategi itu bertujuan menarik perokok baru di kalangan remaja, terutama wanita yang lebih berminat kepada pek berwarna warni keluaran terhad di samping rasanya yang sejuk (methol) dan ringan (light).

Syarikat rokok juga menaja pelbagai acara menerusi program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ (CSR) semata-mata mahu mendapat publisiti percuma di media.

“Kerajaan sepatutnya tidak membenarkan syarikat rokok terbabit dalam projek CSR seperti menaja program sukan untuk remaja kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya.

No comments: