Tuesday, January 1, 2008

Pupuk keharmonian antara iltizam tahun baru

Bersama Noraini Ahmad
norainiputeri@yahoo.com

SELAMAT melangkah ke tahun baru 2008. Begitu pantas masa berlalu dan kini 2007 sudah pun melabuhkan tirainya, meninggalkan kita dengan pelbagai kisah suka duka, pahit manis dan yang paling penting pelbagai catatan kejayaan negara terutama kejayaan melahirkan angkasawan pertama negara.

Kini nama Malaysia sebaris negara maju termasuk Amerika Syarikat, Russia, China, Jepun, India, Arab Saudi dan Israel yang lebih awal menghantar warganya ke angkasa. Ia juga adalah hadiah paling berharga sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos lalu.

Syukur Alhamdulillah, kerana kita dipanjangkan usia untuk melangkah ke tahun baru 2008, dengan himpunan semangat dan kekuatan baru bagi meneruskan perjuangan demi kejayaan diri, bangsa, agama dan negara.

Sempena tahun baru mulai hari ini, pasti ramai yang menyimpan azam baru untuk memperbaiki kedudukan sama ada dari segi pendidikan, kerjaya mahupun ekonomi dan kewangan. Mungkin juga, ada yang berharap akan dapat menunaikan nazar tahun lalu.

Meletakkan sesuatu azam sememangnya mudah, namun rata-ratanya sukar untuk dicapai. Ramai rasanya yang belum lagi terjangkau azam tahun lalu, mungkin juga azam tahun sebelumnya.

Hakikatnya, muhasabah yang kuat dalam diri amat penting dalam setiap perjuangan untuk mencapai setiap keazaman. Disertai kesedaran dan keinsafan, muhasabah diri akan menjadi tunjang utama dan nilai tambah dalam usaha mencorak serta mewarnai kehidupan kita ke arah kehidupan lebih baik dan berkualiti.

Tiada kesedaran dalam diri seseorang itu, membuatkan diri akan terus berada pada takuk lama. Keadaan itu sudah tentu menyukarkan lagi usaha dan sasaran yang ingin dicapai, biarpun turut dibantu pelbagai bentuk pemangkin luar diri, yang akhirnya akan tetap menjadi sia-sia.

Sebagai pemimpin muda, mewakili suara generasi muda, sempena tahun 2008 ini, mesej yang ingin saya sampaikan ialah untuk mengajak semua anak Malaysia atas nama bangsa Malaysia untuk memantapkan lagi keharmonian kaum dan perpaduan di kalangan kita.

Keharmonian kaum dan perpaduan adalah dua asas utama dalam masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama seperti Malaysia. Kita harus ingat bahawa negara ini wujud berasaskan gabungan kepelbagaian melalui semangat kerjasama, kompromi dan persefahaman.

Perlembagaan negara yang menjamin hak pelbagai kumpulan etnik serta Rukun Negara sudah diterima dan didukung sebagai garis panduan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam pembinaan bangsa Malaysia sejak merdeka.

Kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Kita sudah melalui pelbagai ranjau dan duri dalam proses membina asas bagi mencapai keharmonian, perpaduan dan keserasian kaum serta kestabilan politik. Kejayaan yang kita nikmati pada hari ini tidak tercapai di kebanyakan negara, termasuk negara maju. Justeru, jangan sekali-kali kita hancurkan apa yang sudah kita capai melalui semangat toleransi, persefahaman dan sikap bertolak ansur. Janganlah kita biarkan fahaman politik ekstrim memecah-belahkan negara yang kita cintai. Bumi inilah tempat kelahiran kita, rumah kita, tempat kerja kita dan akhirnya tempat persemadian kita.

Keharmonian kaum dan perasaan muhibah masyarakat pelbagai kaum di negara kita dapat kita saksikan menerusi sambutan pelbagai perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Keharmonian ini tidak dapat dirasai di kebanyakan negara Islam lain.

Dalam melangkah ke tahun baru ini, marilah kita sama-sama berazam supaya dalam apa juga keadaan, tidak ada kumpulan etnik yang akan mencabar keharmonian dan perpaduan yang sudah kita bina bersama selama ini.

Permintaan yang keterlaluan, berbentuk ekstremis dan tidak produktif dari mana-mana kumpulan hanya akan menanam benih perbalahan dan membawa kepada kebinasaan. Pembinaan bangsa bukanlah suatu tugas mudah.

Ia adalah proses yang panjang, dengan diselangi pelbagai cabaran dan halangan. Bagaimanapun, ia mampu kita dicapai hasil persefahaman, pengorbanan dan komitmen.

Kepada adik-adik yang masih berada di bangku sekolah dan di institusi pengajian tinggi (IPT) jadikanlah 2008 sebagai tahun untuk menggandakan lagi usaha ke arah kejayaan lebih cemerlang. Janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam, pada awal tahun bagai nak rak menanam keazaman untuk mencatat kejayaan lebih cemerlang, namun bulan demi bulan, akhirnya keazaman semakin pudar dan terus lenyap begitu saja.

Jika kita berusaha sekadar hangat-hangat tahi ayam, maka nasib kita akan hanya setakat 'sehangat tahi ayam' iaitu nasib baik yang sekejap. Tetapi jika kita istiqamah (berterusan) dalam berusaha memperbaiki hidup, maka nasib kita pun akan sentiasa dalam keadaan baik.

Nasib kita tidak akan berubah dengan sendirinya hingga kita sendiri yang mengubahnya. Malah, orang lain pun tidak dapat mengubah nasib kita.

Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'd, ayat 11).

Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Puteri Umno

No comments: