Oleh Razak Rashid Ghows
PERLUMBAAN ke Rumah Putih bermula hari ini apabila warga Iowa keluar untuk memilih calon Presiden mereka daripada barisan bakal calon Demokrat dan Republikan.
Bagi parti Demokrat, kedua-dua bakal calon utamanya, Hillary Clinton dan Barack Obama dikatakan menghadapi persaingan sengit dan mendapat tumpuan dengan masing-masing berikrar melakukan terbaik sebagai mana lazimnya dalam semua pilihan raya lain.
Bekas wanita pertama itu sering menonjolkan pengalaman yang pernah dilaluinya selaku wanita pertama dalam kempennya dan menyatakan kesediaan untuk terus memimpin sebaik saja diberikan kuasa.
Proses demokrasi empat tahun sekali itu juga diceriakan Obama, calon kulit hitam yang mendapat sokongan selebriti seperti Oprah Winfrey. Obama yang juga seorang senator kulit hitam kelima di negara berkenaan menjanjikan perubahan dan kelainan daripada zaman Bush dan Clinton, jika beliau dipilih partinya untuk menjadi calon Demokrat menentang calon Republikan.
Sehingga kelmarin, menurut tinjauan pendapat sebuah akhbar di Iowa, Des Moines Register, Obama mendahului dengan 32 peratus sebagai pilihan utama anggota Demokrat yang berhasrat menyertai kaukus di Iowa malam ini bagi menyatakan sokongan kepada calon pilihan mereka.
Yang menariknya, kawasan di mana kaukus itu dijalankan mempunyai 94 peratus pengundi kulit putih, sekali gus menunjukkan betapa calon kulit hitam diberikan perhatian serius buat kali pertama. Obama dikatakan mendapat peratusan tertinggi menerusi sokongan pengundi muda dan mereka yang mengundi kali pertama.
Pilihan raya Amerika Syarikat diadakan setiap empat tahun sekali selepas setiap negeri memberi undi popular kepada calon yang dipilih oleh parti masing-masing. Ia juga diadakan serentak dengan sebahagian pilihan raya Senat, Kongres dan negeri serta pilihan raya Gabenor.
Hillary pula berada di belakang Obama dengan 25 peratus sokongan dan calon ketiga tertinggi bagi Demokrat, John Edwards, 24 peratus, menurut tinjauan akhbar itu yang dipertikaikan kesahihannya oleh setengah pihak.
Sementara itu bagi Republikan, bakal calonnya terdiri daripada bekas Gabenor Arkansas, Mike Huckabee mendahului dengan 32 peratus, bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney, kedua terbesar dengan 26 peratus dan seorang Senator dari Arizona, John McCain, 13 peratus.
Bekas Gabenor New York, Rudy Giuliani yang bertanggungjawab menguruskan kota New York ketika menara berkembar WTC dilanggar pesawat pada 2001 lalu turut menawarkan diri sebagai calon.
Apapun, keputusan di Iowa adalah sukar untuk diramalkan, apatah lagi dalam keadaan di mana sebahagian besar pengundi masih belum membuat keputusan. Dalam pada itu ada sebahagian lagi pengundi yang masih belum menentukan siapa di kalangan calon itu yang menjadi pilihan utama mereka.
Ketiga-tiga bakal calon Demokrat itu bagaimanapun berjaya menarik perhatian ramai pada kempen yang dianjurkan, dengan Hillary membawa bersama suaminya, Bill Clinton dan anak mereka, Chelsea.
Namun rata-rata ucapan Obama didapati lebih menarik minat pengundi kerana beliau berjanji akan melakukan perubahan dalam arena politik di negara berkenaan, satu kelainan daripada apa yang pernah mereka dengar sebelum ini di kalangan calon kulit putih.
Tumpuan diberikan kepada Obama dan Hillary kerana hakikatnya ini kali pertama seorang bukan kulit putih mungkin akan terpilih sebagai calon, manakala Hillary, selain seorang wanita, adalah juga isteri kepada bekas presiden.
Di sinilah letaknya ujian di kalangan kaukus dan pengundi pada peringkat awal di Iowa dan kemudiannya New Hampshire dalam memilih calon yang bakal mewakili mereka dalam pilihan raya presiden sebuah negara kuasa besar itu.
Soalnya siapa pun menjadi presiden sudah tentu menjadi pemerhatian dunia kerana dasar Amerika Syarikat yang tidak adil terhadap orang Islam terutama di Iraq, Afghanistan dan Asia Barat pada zaman pemerintahan George W Bush.
Ramai yang masih belum dapat melupakan peristiwa di mana tentera Iraq diseksa oleh askar Amerika di Penjara Gharib dan penahanan puak tertentu yang dianggap sebagai pengganas tanpa perbicaraan yang adil di Kem Guantanamao.
Di kalangan orang kulit putih yang tidak beragama Islam, pendirian Bush itu menyebabkan timbul perasaan kebencian atau ketakutan terhadap orang Islam atau apa yang digelar sebagai ‘Islamophobia’.
Dalam kempen menjelang kaukus hari ini, isu mengenai penempatan tentera Amerika di Iraq turut dibangkitkan dan ada di antara bakal calon berkenaan mahu supaya tentera negara itu ditarik balik dari Iraq.
Melihat kepada perkembangan dunia masa kini dan peranan Amerika yang tidak disenangi negara Islam dan negara kecil yang lain, ada kemungkinan sokongan akan beralih kepada bakal calon yang dapat memberi kelainan dalam pendekatannya berbanding pemimpin terdahulu.
Sekiranya perkara ini menjadi pertimbangan, maka harapan Obama untuk mengatasi Hillary sebagai calon Demokrat akan menjadi lebih cerah pada peringkat awal pencalonan di Iowa dan seterusnya.
Apakah pada Februari 2009 kelak seorang calon wanita atau calon kulit hitam dari parti Demokrat ataupun calon lain dari Republikan yang menduduki kerusi nombor satu di Rumah Putih akan ditentukan melalui pelbagai peringkat proses pemilihan sepanjang tahun ini sehingga November depan bermula daripada sekarang di Iowa.
Friday, January 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment