Saturday, January 5, 2008

Perspektif: Akta belia jana pemimpin pelapis

Oleh Saifuddin Abdullah

Mengehadkan umur, tempoh jawatan ketua tangani fenomena kelesuan

BAGI gerakan belia negara, kehadiran 2008 menandakan bermulanya penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, Isnin lalu.

Namun, hakikat bahawa ia tidak dikuatkuasakan serta-merta sebaik saja diluluskan Parlimen, Julai lalu membayangkan ada rintangan, kalaupun bukan tentangan, daripada pihak tertentu, seolah-olah proses penggubalannya tidak sunyi dengan kontroversi.

Idea mewujudkan akta belia muncul sejak timbulnya isu kelesuan pertubuhan belia di negara ini, iaitu pada pertengahan dekad 90-an. Ia adalah satu cadangan untuk mengatasi kelesuan itu. Andaian mereka yang mencadangkan akta ini ialah bahawa perundangan dan peraturan boleh atau diperlukan untuk menangani masalah yang dihadapi pertubuhan belia lesu.

Mereka yang mencadangkan supaya diadakan akta ini terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama; menganggap perundangan dan peraturan adalah perkara terpenting bagi memperkasa pertubuhan belia. Mereka percaya kepada pendekatan legalistik.

Kumpulan kedua pula tidak percaya kepada pendekatan legalistik. Tetapi mereka turut menerima keperluan akta ini kerana semua usaha lain yang dicuba gagal atau menemui jalan buntu. Lantas, akta adalah pilihan terakhir.

Ketika idea pembentukan akta belia ini mula-mula diutarakan dulu, Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju kerana percaya sekiranya semua pertubuhan belia benar-benar menghayati Dasar Pembangunan Belia Negara dan melaksanakan cadangan yang dihasilkan melalui kajian MBM pada 1997/98, yang kemudian diterbitkan sebagai buku Memperkasa Persatuan Belia (2000), maka akta ini tidak diperlukan sama sekali.

Sehingga pertengahan 2002, MBM tidak membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung akta belia kerana merasakan ia belum diperlukan. MBM percaya bahawa apa juga isu yang timbul dalam pertubuhan belia masih boleh ditangani tanpa perlu mempunyai akta ini. Di samping itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sehingga itu belum memikirkan perkara ini dengan serius.

Dalam MBM, orang pertama dan secara konsisten menyuarakan keperluan akta belia ialah Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (4B Malaysia), Datuk Noh Omar pada pertengahan 90-an. Pada masa itu, beliau ialah Ahli Dewan Rakyat dan juga Penolong Setiausaha Agung 4B Malaysia.

Beliau menyuarakannya dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi MBM dan beberapa forum lain. Lebih penting lagi, beliau menyuarakannya di dalam Dewan Rakyat dan orang pertama mencadangkan akta ini di dewan yang mulia itu.

Di pihak KBS pula, sebelum Pilihan Raya Umum 1999, iaitu dalam satu pertemuan di antara Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan pemimpin pertubuhan belia seluruh negara di Kuala Lumpur, ketika mendengar cadangan berhubung akta itu, beliau menyatakan yang KBS akan mengkaji keperluannya.

Selepas itu, pada 2003, Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri KBS dengan Exco Belia dan Sukan Negeri di Genting Highlands, mengumumkan bahawa KBS akan menggubal akta belia, menjadikannya Menteri KBS yang pertama menyatakan dengan jelas bahawa akta belia akan digubal atas keperluan tertentu.

Di bawah Azalina pula, KBS bekerja keras bersama-sama MBM untuk menggubalnya, mempersetujuinya pada Majlis Perundingan Belia Negara dan seterusnya ia diluluskan oleh Parlimen dan kini mula dikuatkuasakan.

Adakah kita memerlukan akta ini? Jawabnya, ya, tetapi ia adalah sebagai langkah dan pilihan terakhir, iaitu selepas pelbagai jalan lain dicuba gagal untuk mengaktifkan semula semua pertubuhan belia.

Sebenarnya, akta ini adalah satu tamparan kepada pemimpin sesetengah pertubuhan belia yang tidak serius mengatasi masalah yang timbul sehingga menyebabkan berlaku fenomena kelesuan pertubuhan belia, lalu akta ini diadakan.

Adakah akta ini memerlukan segala bab dan seksyen yang diluluskan ini? Jawabnya, tidak. Sebahagian daripada peruntukannya tidak diperlukan kerana ia sudah sedia wujud dan beroperasi. Contohnya, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia yang ditubuhkan pada 2005, iaitu tanpa akta ini.

Contoh kedua, ialah Majlis Perundingan Belia Negara ditubuhkan pada 1972 atas buah fikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), tanpa menyebut akta itu diwujudkan

Ini menyebabkan timbulnya pendapat menyatakan bahawa akta ini diperlukan hanyalah untuk memenuhi dua tujuan saja. Pertama; mengehadkan umur pemimpin dan ahli pertubuhan belia, iaitu tidak melebihi 40 tahun dan kedua mengehadkan tempoh pemimpin utamanya memegang jawatan.

Dalam hal ini, MBM dan beberapa badan gabungannya, seperti Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) dan Persahabatan Buddhist Malaysia sejak lama dulu melalui perlembagaan masing-masing, mengehadkan umur pemimpinnya supaya tidak melebihi 40 tahun.

Di samping itu, badan gabungan MBM seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula, walaupun tidak mencatatkannya dalam perlembagaan, barisan kepemimpinannya sentiasa bukan saja tidak melebihi usia 40 tahun, bahkan tidak pun melewati usia 30 tahun.

Apa yang menjadi masalah ialah ada pertubuhan belia, sama ada badan gabungan MBM ataupun tidak, yang mempunyai pemimpin jauh melebihi umur 40 tahun dan ada yang memegang jawatan sejak 70-an lagi! Ironisnya, mereka ini dahulunya memperjuangkan Dasar Belia Negara yang mendefinisikan belia sebagai berusia 15 hingga 40 tahun! Pertubuhan inilah yang kini berhadapan dengan masalah kekurangan pemimpin pelapis berwibawa.

Menurut pendapat itu lagi, tujuan kedua akta ini ialah memindahkan kuasa pendaftaran pertubuhan belia daripada Pendaftar Pertubuhan iaitu di bawah Akta Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia di KBS iaitu di bawah akta belia ini.

Sekiranya untuk tujuan pertama iaitu mengehadkan umur pemimpin dan ahli pertubuhan belia serta mengehadkan tempoh pemimpin utamanya memegang jawatan utama, maka kita tidak memerlukan akta ini. Kita cuma perlu meminda seksyen tertentu dalam Akta Pertubuhan saja.

Ini pernah berlaku sebelum ini. Apabila ada parti politik mendapati ada masalah besar kerana ahlinya boleh menyaman parti di mahkamah, maka dibuat pindaan terhadap Akta Pertubuhan. Kini, Akta Pertubuhan mempunyai bab khusus yang diguna pakai terhadap parti politik saja bagi menyelesaikan masalah itu.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah dalam pertubuhan belia, kita sebenarnya boleh meminda Akta Pertubuhan dengan tidak perlu mempunyai akta belia ini. Lantas, akhirnya, akta belia ini hanyalah diperlukan untuk menukar kuasa pendaftaran pertubuhan belia, iaitu daripada Pendaftar Pertubuhan kepada KBS.

Tidak semua menerima akta belia ini dengan hati terbuka dan berjiwa besar. Polemik mengenainya masih berterusan. Namun, apa yang lebih penting ialah menggembleng seluruh idea, tenaga dan sumber yang ada bagi memperkasa pertubuhan belia. Dalam hal ini, potensi utama akta ini ialah menjana pemimpin pelapis.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

Friday, January 4, 2008

Kejutan Obama menanti Hillary

Oleh Razak Rashid Ghows

PERLUMBAAN ke Rumah Putih bermula hari ini apabila warga Iowa keluar untuk memilih calon Presiden mereka daripada barisan bakal calon Demokrat dan Republikan.

Bagi parti Demokrat, kedua-dua bakal calon utamanya, Hillary Clinton dan Barack Obama dikatakan menghadapi persaingan sengit dan mendapat tumpuan dengan masing-masing berikrar melakukan terbaik sebagai mana lazimnya dalam semua pilihan raya lain.

Bekas wanita pertama itu sering menonjolkan pengalaman yang pernah dilaluinya selaku wanita pertama dalam kempennya dan menyatakan kesediaan untuk terus memimpin sebaik saja diberikan kuasa.

Proses demokrasi empat tahun sekali itu juga diceriakan Obama, calon kulit hitam yang mendapat sokongan selebriti seperti Oprah Winfrey. Obama yang juga seorang senator kulit hitam kelima di negara berkenaan menjanjikan perubahan dan kelainan daripada zaman Bush dan Clinton, jika beliau dipilih partinya untuk menjadi calon Demokrat menentang calon Republikan.

Sehingga kelmarin, menurut tinjauan pendapat sebuah akhbar di Iowa, Des Moines Register, Obama mendahului dengan 32 peratus sebagai pilihan utama anggota Demokrat yang berhasrat menyertai kaukus di Iowa malam ini bagi menyatakan sokongan kepada calon pilihan mereka.

Yang menariknya, kawasan di mana kaukus itu dijalankan mempunyai 94 peratus pengundi kulit putih, sekali gus menunjukkan betapa calon kulit hitam diberikan perhatian serius buat kali pertama. Obama dikatakan mendapat peratusan tertinggi menerusi sokongan pengundi muda dan mereka yang mengundi kali pertama.

Pilihan raya Amerika Syarikat diadakan setiap empat tahun sekali selepas setiap negeri memberi undi popular kepada calon yang dipilih oleh parti masing-masing. Ia juga diadakan serentak dengan sebahagian pilihan raya Senat, Kongres dan negeri serta pilihan raya Gabenor.

Hillary pula berada di belakang Obama dengan 25 peratus sokongan dan calon ketiga tertinggi bagi Demokrat, John Edwards, 24 peratus, menurut tinjauan akhbar itu yang dipertikaikan kesahihannya oleh setengah pihak.

Sementara itu bagi Republikan, bakal calonnya terdiri daripada bekas Gabenor Arkansas, Mike Huckabee mendahului dengan 32 peratus, bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney, kedua terbesar dengan 26 peratus dan seorang Senator dari Arizona, John McCain, 13 peratus.

Bekas Gabenor New York, Rudy Giuliani yang bertanggungjawab menguruskan kota New York ketika menara berkembar WTC dilanggar pesawat pada 2001 lalu turut menawarkan diri sebagai calon.

Apapun, keputusan di Iowa adalah sukar untuk diramalkan, apatah lagi dalam keadaan di mana sebahagian besar pengundi masih belum membuat keputusan. Dalam pada itu ada sebahagian lagi pengundi yang masih belum menentukan siapa di kalangan calon itu yang menjadi pilihan utama mereka.

Ketiga-tiga bakal calon Demokrat itu bagaimanapun berjaya menarik perhatian ramai pada kempen yang dianjurkan, dengan Hillary membawa bersama suaminya, Bill Clinton dan anak mereka, Chelsea.

Namun rata-rata ucapan Obama didapati lebih menarik minat pengundi kerana beliau berjanji akan melakukan perubahan dalam arena politik di negara berkenaan, satu kelainan daripada apa yang pernah mereka dengar sebelum ini di kalangan calon kulit putih.

Tumpuan diberikan kepada Obama dan Hillary kerana hakikatnya ini kali pertama seorang bukan kulit putih mungkin akan terpilih sebagai calon, manakala Hillary, selain seorang wanita, adalah juga isteri kepada bekas presiden.

Di sinilah letaknya ujian di kalangan kaukus dan pengundi pada peringkat awal di Iowa dan kemudiannya New Hampshire dalam memilih calon yang bakal mewakili mereka dalam pilihan raya presiden sebuah negara kuasa besar itu.

Soalnya siapa pun menjadi presiden sudah tentu menjadi pemerhatian dunia kerana dasar Amerika Syarikat yang tidak adil terhadap orang Islam terutama di Iraq, Afghanistan dan Asia Barat pada zaman pemerintahan George W Bush.

Ramai yang masih belum dapat melupakan peristiwa di mana tentera Iraq diseksa oleh askar Amerika di Penjara Gharib dan penahanan puak tertentu yang dianggap sebagai pengganas tanpa perbicaraan yang adil di Kem Guantanamao.

Di kalangan orang kulit putih yang tidak beragama Islam, pendirian Bush itu menyebabkan timbul perasaan kebencian atau ketakutan terhadap orang Islam atau apa yang digelar sebagai ‘Islamophobia’.

Dalam kempen menjelang kaukus hari ini, isu mengenai penempatan tentera Amerika di Iraq turut dibangkitkan dan ada di antara bakal calon berkenaan mahu supaya tentera negara itu ditarik balik dari Iraq.

Melihat kepada perkembangan dunia masa kini dan peranan Amerika yang tidak disenangi negara Islam dan negara kecil yang lain, ada kemungkinan sokongan akan beralih kepada bakal calon yang dapat memberi kelainan dalam pendekatannya berbanding pemimpin terdahulu.

Sekiranya perkara ini menjadi pertimbangan, maka harapan Obama untuk mengatasi Hillary sebagai calon Demokrat akan menjadi lebih cerah pada peringkat awal pencalonan di Iowa dan seterusnya.

Apakah pada Februari 2009 kelak seorang calon wanita atau calon kulit hitam dari parti Demokrat ataupun calon lain dari Republikan yang menduduki kerusi nombor satu di Rumah Putih akan ditentukan melalui pelbagai peringkat proses pemilihan sepanjang tahun ini sehingga November depan bermula daripada sekarang di Iowa.

Barat ‘pilih bulu’ tegur kepincangan demokrasi

DEMOKRASI tidak pernah dianggap sempurna. Namun 2007 yang baru berlalu menunjukkan ia lebih tidak sempurna daripada apa yang dijangkakan. Tahun lalu atas nama demokrasi, dunia menyaksikan pembunuhan Benazir Bhutto di Pakistan, dakwaan sabotaj pilihan raya di Kenya, pembunuhan berterusan di Iraq dan rampasan kuasa di Thailand.

Pada masa sama, negara Barat yang demokrasinya juga kurang sempurna, terus mahu memainkan peranan sebagai ‘penjaga’ demokrasi, menegur siapa yang mereka anggap tergelincir daripada landasan demokrasi. Kuasa Barat ini memainkan peranan berkenaan seolah-olah negara membangun masih berstatus jajahan.

Sebagai contoh, apabila negara kita sendiri bertindak menahan beberapa orang pencetus demonstrasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ada kuasa Barat yang menegur. Bagaimanapun yang peliknya si penegur ini sendiri menahan orang tanpa bicara. Bukan sekadar itu, tahanan berkenaan turut dilucutkan hak habeas corpus - hak mempertikaikan penahanan mereka di mahkamah.

Sekurang-kurangnya di negara kita, tahanan ISA tetap mempunyai hak demikian. Bagaimana sekali pun ditunjukkan kepincangan mereka, kuasa Barat ini tetap mahu memainkan peranan sebagai penjaga demokrasi. Minggu ini saja Kenya ditegur dengan dakwaan peti undi dicabul dalam pemilihan negara itu yang berakhir dengan kemenangan presiden sedia ada dan disusuli dengan rusuhan.

Apabila ada saja rusuhan, pengeboman, ahli politik dan wartawan dipenjarakan, rampasan kuasa, Barat akan tampil menegur. Kalau sebelum ini, satu atau dua ibu kota negara Barat yang kerap memainkan peranan penegur ini, kini muncul pula beberapa lagi ‘jaga baru’. Pesanan yang mereka sering sampaikan adalah hak demokratik rakyat harus dihormati dan pilihan raya harus diadakan secara bebas, adil dan selamat.

Sebenarnya, tidak ada salah terhadap teguran ini. Jika diambil secara positif teguran boleh membawa perubahan kepada persekitaran yang tidak adil, malah kadang kala bertindak sebagai benteng kepada perlakuan kejam ke atas rakyat yang ditindas. Memang benar kita tidak boleh melihat saja apabila jiran kita atau sesiapa saja ditindas. Sekurang-kurangnya kita menegur mereka yang bertindak zalim, jika tidak mampu berbuat lebih daripada itu.

Namun, masalahnya adalah jika teguran itu tidak ikhlas atau teguran itu dibuat oleh pihak yang dirinya tidak sempurna. Apa yang dapat dilihat sekarang ialah kuasa Barat ini ‘memilih bulu’ untuk menegur. Israel sebagai contoh, jarang sekali ditegur oleh mana-mana kuasa Barat, walaupun demokrasi diamalkan Tel Aviv jauh sekali daripada nilai demokrasi Barat.

Pembunuhan, pengusiran dan ketidakadilan yang dilakukan Tel Aviv semuanya dianggap ‘perlu’ oleh Barat demi melindungi ‘hak’ Israel untuk wujud. Iran sebaliknya, menjadi negara belasahan Barat. Segala dilakukannya semuanya dianggap ancaman kepada keselamatan dunia. Program nuklearnya terus diperangi tanpa mengambil kira hak Teheran untuk membangunkan kuasa nuklear bagi tujuan aman.

Kini semuanya terbongkar, segala tuduhan Barat terhadap niat nuklear Iran tidak benar dan dilakukan tanpa usul periksa yang mendalam. Teheran terbukti tidak lagi terbabit dalam pembangunan senjata nuklear. Walaupun, nasi belum jadi bubur, hampir Iran menjadi medan ujian senjata kuasa barat, seperti negara jiran, Iraq yang kini dikatakan diceroboh atas nama demokrasi, selepas terbukti tuduhan melulu Washington bahawa Baghdad memiliki senjata pemusnah besar tersasar. Selain ‘pilih bulu’, Barat juga bertindak seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Di sesetengah negara Barat sendiri hak demokrasi rakyatnya dan orang lain dipijak atas nama memerangi keganasan. Apakah status demokrasi masih boleh diberi kepada negara Barat? Apakah ciri demokrasi seperti kebebasan bersuara, kebebasan diri, pilihan raya yang adil dan bebas serta keluhuran undang-undang (seperti due process) masih wujud di Barat?

Seperti banyak negara di dunia membangun, negara Barat juga kini cenderung memberi keutamaan kepada soal keselamatan dan kemakmuran. Berikutan itu, apakah negara Barat ini yang demokrasinya sudah jatuh sama statusnya dengan negara ketiga, masih layak menegur negara membangun? Sama ada layak atau tidak layak, oleh kerana mereka memiliki kuasa senjata dan ekonomi, negara Barat akan terus menegur atau dalam kes Israel tidak menegur.

Tahun baru membawa harapan baru. Menjelang akhir tahun, kita akan tahu siapa yang bakal menghuni Rumah Putih di Washington. Doa 2008, janganlah penghuni baru itu pula turut mahu menjadi presiden ‘aktivis demokrasi perang’ seperti presiden sebelumnya.

Penulis ialah Pengarang Meja Luar Negara, Berita Harian

LPKP mesti tegas siasat syarikat bas

LANGKAH Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk menyoal siasat pengurusan lapan syarikat pengangkutan awam berhubung kejadian kemalangan maut membabitkan kenderaan mereka sepanjang November dan Disember lalu perlu dalam usaha meningkat perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini. Menurut Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran, soal siasat itu bertujuan mengenal pasti jika berlaku kelemahan dalam pengurusan syarikat terbabit dan akan dilakukan oleh Jawatankuasa Siasatan LPKP di ibu pejabat lembaga berkenaan, mulai Selasa depan. Sementara kita memuji langkah itu, kita juga berharap LPKP hendaklah memastikan langkah susulan selepas itu. Kelemahan yang dikenal pasti hari ini, mungkin boleh diatasi esok, tetapi masalahnya, kelemahan itu boleh berulang lusa atau minggu depan. Misalnya, dalam soal siasat itu nanti, Jawatankuasa Siasatan LPKP harus meneliti aspek pengurusan operasi termasuk prosedur pengambilan pekerja, gaji, kursus, latihan serta program meningkatkan kecekapan.

Perkara seperti ini memerlukan siasatan susulan atau sekurang-kurangnya pemantauan rambang dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan syarikat pengangkutan sentiasa mematuhi segala prosedur. Sebagai contoh ialah pengambilan pemandu. Apakah pemandu itu benar-benar cekap, berpengalaman atau mempunyai rekod buruk pemanduan seperti kerap terbabit dalam kemalangan. Syarikat bas boleh membuat rujukan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menentukan sama ada pemandu mereka ada dalam senarai pesalah trafik yang melakukan kesalahan mengikut 18 kategori dalam sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) yang dikenakan mata demerit serta-merta. Antara kesalahan yang dikenakan mata demerit ialah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu melulu atau membahayakan, memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa serta cuai mengawal kenderaan. Apakah syarikat bas itu pula mematuhi arahan supaya mempunyai pemandu kedua untuk perjalanan jauh. Semua ini memerlukan tindakan penguatkuasaan.

Apa yang berlaku sekarang, setiap kali kemalangan maut berlaku terutama membabitkan jumlah mangsa terkorban yang ramai, pelbagai pihak muncul dengan pelbagai cadangan. Boleh dikatakan undang-undang di negara ini memadai untuk menangani segala masalah timbul, kecuali masalah kesilapan manusia yang sukar sekali dibendung kerana memandu secara tidak berhemah. LPKP juga perlu melihat kepada keadaan fizikal bas itu sendiri. Laporan akhbar ini Ogos lalu antara lain mendedahkan hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bas awam, termasuk bas ekspres di negara ini didapati tidak selamat kerana menggunakan badan bas dikimpal, menyebabkan strukturnya tidak kukuh, berbanding model import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan tempatan (CKD). Kebanyakan bumbung bas terbabit tidak disambung terus ke platform yang boleh membahayakan nyawa penumpang sekiranya berlaku kemalangan dahsyat. Kita berharap LPKP tidak membataskan siasatan mereka ke atas lapan syarikat terbabit, tetapi syarikat lain juga perlu pemantauan rapi. Ini bagi memastikan syarikat terbabit menguruskan operasi masing-masing terutama membabitkan aspek penyelenggaraan kenderaan dan pemandu supaya tidak wujud faktor kecuaian. Kita juga berharap agensi lain yang bertanggungjawab turut membuat tindakan serupa terutama terhadap bas persiaran yang permitnya tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan. Kita berharap dengan langkah baru LPKP ini, kemalangan bas akibat kecuaian dapat dikurangkan. Bayangkan negara kerugian antara RM5.6 bilion hingga RM5.9 bilion kerana kemalangan jalan raya yang meragut lebih 6,000 nyawa setiap tahun.

GLC bantu jayakan Program Pintar

Oleh Norliza Abdullah

PERMUAFAKATAN pendidikan dilaksanakan menerusi kerjasama antara sektor swasta dan institusi pendidikan dalam menjayakan Program Pintar membuktikan kesungguhan pelbagai pihak yang ingin menjana modal insan demi persediaan masa depan negara untuk terus bersaing.

Program Pintar, rancangan pengambilan sekolah angkat, yang dilancarkan di Pulau Pinang pada Disember 2006 dengan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan yang begitu memerlukan sokongan semua pihak terutama agensi swasta.

Program itu mempunyai objektif jelas dalam menjana modal insan lebih berdaya saing menerusi penyediaan pakej pendidikan lengkap sebagai pelengkap kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara menyeluruh.

Usaha murni itu disempurnakan majlis pelancaran oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mendapat sokongan dua agensi utama kerajaan, iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran.

Pengisian Program Pintar mengambil kira empat komponen utama iaitu motivasi, pembangunan pasukan, program sokongan pendidikan, pembangunan keupayaan dan kebolehan serta pengurangan kelemahan dan menangani isu sosial.

Selain pembabitan peserta yang terdiri murid, pelajar dan guru, Program Pintar turut memberi penekanan kepada pentingnya peranan masyarakat dalam membangunkan generasi muda kawasan mereka.

Wajar bagi penaja yang terdiri daripada GLC memanggil sama wakil pemimpin daripada persatuan penduduk dan agensi bukan kerajaan menyertainya.

Tujuan mereka jelas kerana usaha mendidik anak bangsa bukan hanya menjadi tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata, malah masyarakat setempat turut mempunyai tugas sama, bagi memajukan bidang pendidikan.

Program Pintar adalah antara inisiatif program transformasi GLC (TGLC) dengan pendekatan baru menerusi program sekolah angkat, selari seruan kerajaan berkaitan kerjasama sektor awam dan swasta sebagai pemangkin kepada kemajuan berterusan.

Bagi menjayakan program ini, GLC terbabit membelanjakan antara RM40,000 hingga RM60,000 setahun, malah ada yang mencecah RM100,000, bagi pelaksanaan program itu di setiap sekolah angkat masing-masing.

Setakat ini, program berusia setahun sudah disertai 25 GLC membabitkan 38,400 pelajar dan sekolah di 96 sekolah rendah dan menengah. Program ini mensasarkan 350 sekolah menjelang 2010.

Bagi menilai keberkesanan Program Pintar ini, Khazanah Nasional dalam kenyataannya, berkata program berkenaan sudah menunjukkan perkembangan positif pada ulang tahun pertamanya. Ia terbukti apabila 397 murid daripada 34 sekolah rendah di bawah program berkenaan mendapat 5A dalam keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, yang diumumkan baru-baru ini.

Peratusan jumlah murid yang mendapat keputusan cemerlang dari sekolah ini ialah 12.7 peratus lebih tinggi berbanding purata kebangsaan yang merekodkan 9.7 peratus pelajar mendapat 5A.

Keputusan dicatatkan tahun lalu itu juga lebih baik berbanding 2006 dengan hanya 9.4 peratus daripada jumlah murid yang menduduki UPSR mendapat 5A.

Aktiviti P&P dilaksanakan secara menyeluruh dengan menjalankan pelbagai program bimbingan tambahan antaranya, sesi motivasi, kelas pemulihan, kaunseling dan bengkel pembangunan kemahiran.

Tahun ini seramai 3,129 calon dari sekolah yang terbabit dengan Program Pintar menduduki UPSR berbanding 3,122 calon tahun lalu.

Sejumlah 397 daripada jumlah itu memperoleh 5A, sementara 319 pelajar mendapat 4A. Pencapaian itu mencerminkan peningkatan memberangsangkan berbanding 2006 seramai 294 pelajar mendapati 5A dan 292 mendapat 4A.

Peningkatan ketara juga dicatat bagi beberapa mata pelajaran utama seperti Matematik yang menunjukkan 31 peratus daripada jumlah calon mendapat A, Sains (27 peratus), Bahasa Inggeris (18 peratus). Purata kadar kelulusan dari sekolah yang terbabit Program Pintar meningkat kepada 68 peratus pada 2007, berbanding 61 peratus tahun sebelumnya.

Sementara itu, Time Engineering Berhad (Time) tunggak teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) Kumpulan UEM tidak ketinggalan menjayakan program itu dengan mengambil Sekolah Menengah Datuk Haji Mohamad Nor Ahmad dan Sekolah Kebangsaan Sri Aman di Pulau Pinang; Sekolah Menengah Sultan Muzaffar Shah 1, Lambor Kanan, Perak dan Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Niyor, Kluang, Johor, sebagai sekolah angkat.

Sekolah berkenaan terletak dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Wilayah Pembangunan Iskandar dan pengambilan mereka sejajar usaha menyeimbangkan kemajuan kawasan selari arus pembangunan negara peringkat wilayah ekonomi.

Pengarah Urusan Time, Amiruddin Abdul Aziz, berkata inisiatif itu sebagai usaha menyokong komitmen kerajaan membawa kemajuan di kawasan pembangunan zon utara dan selatan setanding perkembangan arus perdana.

Beliau berkata, Time kini pada peringkat akhir mengenal pasti usaha mengambil sebuah sekolah angkat di Kelantan.

Katanya, Sekolah Angkat Pintar bersama Time membabitkan program motivasi dan pembinaan pasukan, bantuan pendidikan seperti kursus bahasa Inggeris dan lawatan sambil belajar. Ia dilengkapi aktiviti meningkatkan kebolehan dan keupayaan peserta seperti menyokong dan menggalak pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak masing-masing.

Selain Program Pintar, Amiruddin berkata, Time menyediakan program nilai ditambah seperti Primary Literature yang bertujuan melatih guru sekolah rendah di seluruh negara menggunakan kaedah dan bahan pembelajaran alternatif dalam pengajaran bahasa Inggeris di sekolah bagi membolehkan sesi pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami.

Katanya, program dengan kerjasama British Council itu mendapat sokongan penuh Pusat Perkembangan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran.

“Program ini mensasarkan untuk melatih lebih 1,200 guru di seluruh negara, manakala 500 daripadanya merangkumi Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau Ecer menjelang 2009.

“Setakat ini kira-kira 240 guru dilatih menerusi program berkenaan di wilayah ini,” katanya.

Natipah raih RM15,000 sebulan hasil ikan air tawar

Oleh Siti Nor Saadah Md Yusof

BERKAT mengusahakan tanah sawah terbiar, seluas dua hektar kira-kira 25 tahun lalu, kini mampu membuatkan seorang pengusaha di Kampung Ulu Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka, tersenyum lebar apabila projek ternakan ikan air tawar di kawasan itu, berupaya memberi pulangan lumayan.

Pengusaha berkenaan, Natipah Isnin, 48, sekarang mampu meraih pendapatan kasar antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan sekali gus membuktikan bidang pertanian menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan secara tekun.

Natipah yang dibantu suaminya, Kamarudin Hashim, 49, yang bekerja di Risda dan dua anaknya kini aktif membina empayar perniagaan ikan air tawar kerana mendominasi bekalan ikan air tawar bagi kawasan selatan khususnya di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Pada awalnya, beliau yang juga Ahli Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Alor Gajah ini mengusahakan tiga kolam ikan milik keluarga di atas tanah terbabit yang kemudiannya diperluaskan kepada 20 kolam ikan seluas 0.2 hektar setiap satu.

Antara ikan air tawar diternak ialah keli Afrika, patin, tilapia merah, bawal merah, lee koh, jelawat dan lampam jawa untuk dipasarkan ke pasar tani, restoran serta pengusaha kolam pancing.

Mengimbau pembabitannya dalam dunia perniagaan, Natipah berkata, beliau terdedah kepada dunia ternakan ikan air tawar sejak berusia belasan tahun, selepas melihat ibu bapanya yang menternak ikan secara kecil-kecilan sebagai hobi selain sumber pendapatan sampingan.

Berbekalkan minat yang mendalam dan semangat tinggi untuk menceburi bidang yang lazimnya dipelopori lelaki, Natipah bertekad mengusahakan projek ternakan ikan air tawar secara serius menerusi syarikatnya, Kamnat Enterprise.

Berdasarkan pengalamannya, pasaran ikan air tawar 10 tahun lalu agak lembap berikutan tidak ramai yang menggemari ikan berkenaan sehinggalah sekitar 2000, perniagaan kembali bernafas apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengadakan promosi makan ikan air tawar.

Dengan hasrat mengusahakan perniagaan berskala besar, Natipah mengguna pakai kaedah pembiakan dan pengeluaran benih ikan seperti disaran Jabatan Perikanan bagi pembiakan ikan dalam kuantiti yang banyak.

Teknik suntikan kepada induk ikan jantan dan betina dengan sejenis hormon dikenali 'Ovaprim' bagi tujuan penetasan mampu menghasilkan anak ikan yang cepat matang dan disenyawakan keesokan harinya dengan memicit perut ikan sebelum dimasukkan ke dasar tangki penetasan.

Bagi mengurangkan kos penternakan, beliau turut membiak sendiri benih ikan keli dengan bantuan Fama yang menyediakan pusat penetasan benih ikan di kawasan ternakan.

Jumlah benih ikan yang dimuatkan ke dalam kolam adalah berbeza mengikut jenis. Bagi ikan patin, kepadatan benih ikan bagi sebuah kolam berukuran 0.2 hektar ialah 30,000 ekor, manakala bagi ikan keli pula boleh mencecah 50,000 ekor dalam sesebuah kolam.

Ikan berkenaan diberi makan palet ikan atau dedak khas dua kali sehari pada waktu pagi dan petang, manakala bagi ikan pada peringkat tumbesaran diberi makan sisa pemprosesan sekali saja pada waktu petang.

Tahap matang ikan mencecah usia dua hingga enam bulan bergantung kepada jenis ikan. Ikan keli misalnya, mencapai tahap matang dengan cepat sekitar dua hingga tiga bulan apabila dilepaskan ke kolam tanah, berbanding kolam konkrit atau kanvas yang mencapai tahap matang pada usia tiga hingga empat bulan.

Hanya ikan yang mencapai saiz 20 sentimeter dan berat purata 200 gram akan dipilih untuk dipasarkan. Selepas tiga bulan semua ikan akan dipasarkan sejuk beku atau hidup tanpa mengira saiz. Ikan tilapia, patin dan lampan jawa mengambil masa enam bulan untuk membesar.

Secara purata, kolam ikan mampu mengeluarkan hasil 100 kilogram sehari atau 10 hingga 15 tan ikan dalam tempoh sebulan pada harga antara RM3.50 hingga RM6 sekilogram.

Kerja menguruskan ternakan ikan dilakukan sendiri dengan bantuan dua pekerja tetapnya, selain mempunyai 10 pekerja lain terdiri daripada penduduk setempat yang dibayar gaji secara tetap dan kontrak.

Bersandarkan kepada keyakinan bahawa tiada jalan pintas untuk menggenggam kejayaan, wanita berjiwa kental ini layak digelar wanita besi kerana membuktikan beliau mampu bersaing dengan pengusaha lain khususnya lelaki yang mengusahakan bidang serupa dengannya.

Selain ternakan ikan, Natipah mengusahakan pusat pengumpulan ikan dengan mengguna pakai kaedah pembenihan ikan air tawar yang dipelajari ketika kursus anjuran Jabatan Perikanan di Pusat Latihan Perikanan Air Tawar, Kuala Kangsar, Perak.

Beliau membeli ikan kecil daripada pengusaha lain di sekitar kampung dan kemudian diternak semula sehingga mencapai saiz yang sesuai untuk dipasarkan.

Kejayaannya turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Anugerah Paladang Jaya Wanita peringkat kebangsaan dua tahun berturut-turut pada 2001 dan 2002 selain merangkul anugerah yang sama bagi peringkat negeri bermula 1999 hingga 2006.

Menyedari permintaan yang tinggi terhadap pasaran ikan air tawar, Natipah berhasrat untuk memperkembangkan bidang perniagaannya dengan menumpukan kepada penghasilan produk berasaskan ikan air tawar.

“Kami berhasrat untuk mengeluarkan produk ikan salai, pekasam, ikan masin serta bebola ikan untuk dikomersialkan pada masa depan. Semuanya masih pada peringkat perancangan dan kami mensasarkan tempoh dua hingga tiga tahun untuk menjayakannya,” katanya.

Tanpa aduan NCCC tak dapat pantau harga secara berkesan

MEMBUAT aduan adalah cara terbaik untuk mengenal pasti masalah. Bagaimanapun, untuk mendapatkan pengguna tampil membuat aduan sekiranya mereka tidak puas hati dengan barang atau perkhidmatan dilanggani adalah isu paling mencabar bagi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

Menurut Pengarah NCCC, Darshan Singh, bagi mendapatkan hasil yang terbaik, pengguna mesti bersatu dan berjuang untuk mempertahankan hak mereka sebagai pengguna.

“Kita perlu menyuarakan kerisauan kita. Sebagai contoh, dua isu yang menarik perhatian ialah kes gores dan menang serta penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kita hanya boleh membuat kerja secara berkesan apabila pengguna mengemukakan aduan. Dengan ini juga kita boleh melihat tindakan proaktif yang diambil pihak berkenaan. Tanpa rintihan atau rungutan orang awam, pihak berkuasa atau agensi penguatkuasaan akan mengabaikan isu berkaitan,” katanya.

Sejak NCCC ditubuhkan pada pertengahan 2004, bilangan aduan diterima semakin meningkat. Semakin banyak pihak termasuk syarikat mula mengiktiraf kewujudan NCCC serta perkhidmatan ditawarkannya. Ia dapat dilihat melalui kepantasan sesetengah syarikat bertindak kepada aduan orang ramai yang dikemukakan oleh NCCC bagi mendapatkan penyelesaian.

“Pihak berkuasa atau agensi penguatkuasaan bekerja rapat dengan NCCC. Ia sememangnya apa yang kita harapkan. Kini hampir 70 peratus aduan pengguna yang diterima diselesaikan pada peringkat NCCC. Kesimpulannya kita mahu melihat semua pihak hidup secara harmoni.

Menurut Darshan, perkara pertama perlu dilakukan ialah untuk mendapatkan orang ramai berminat dalam isu berkaitan pengguna.

“Ia adalah cabaran besar. Kini majoriti pengguna Malaysia menganggap isu pengguna sebagai satu perkara remeh. Kebanyakan mereka tidak mahu membesar-besarkan isu. Sesetengahnya hanya rasa risau apabila mereka secara langsung terjejas dan perlu mendapat ganti rugi.

“Mereka tak faham dengan globalisasi dan liberalisasi ekonomi, kita dihujani pelbagai barang dan perkhidmatan. Sekiranya kita tidak mengambil usaha mendapatkan pengetahuan, tidak dapat tidak, lambat-laun kita akan diperdaya,” jelas Darshan.

Kebanyakan isu yang dihadapi pengguna adalah isu berulang. Bagaimanapun, beliau berpendapat dengan semakin banyak perbincangan mengenai harga barang dan perkhidmatan secara aktif dibahas, pihaknya menjangka isu kos kehidupan akan menjadi perkara utama pada 2008. Dengan ini pihaknya menjangka lebih banyak aduan mengenai kenaikan harga diterima tahun ini,” tambahnya.

Pada masa sama, Darshan berharap pihak berkuasa berkaitan akan mengambil segala langkah perlu untuk memastikan masyarakat perniagaan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Pada masa ini, kementerian berkenaan hanya mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak mempamerkan harga. Tidak ada undang-undang untuk kegiatan mengambil untung. Sehingga kini tidak ada definisi mengenai pengambilan untung. Berapa banyak kenaikan boleh dianggap sebagai mengambil keuntungan?

“Apa yang boleh dibuat kementerian itu hanya membatalkan lesen perniagaan. Untuk itu adalah penting bagi kementerian berkenaan mempercepatkan langkah memperkenalkan Akta Perdagangan Adil yang dapat menangani isu pengambilan untung,” katanya.

Bagaimanapun, kuasa di tangan pengguna. Jika mereka rasa ada tempat perniagaan menaikkan harga sesuka hati, pulaukan saja peniaga itu. Bukan setakat itu, mereka juga perlu memaklumkan kepada rakan supaya jangan mengunjungi premis berkenaan.

Untuk itu, pengguna perlu berganding bahu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Laporan perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan kementerian dan tindakan serta-merta perlu diambil pegawai penguat kuasa. Tiada gunanya menuding jari.

Sebanyak 18,345 aduan diterima pada 2006 dan untuk 2007, bilangan aduan dijangka meningkat 15 peratus.

NCCC menyenarai jumlah aduan 2006 kepada 23 kategori dengan aduan paling banyak iaitu 1,578 dalam kategori perumahan, jualan langsung (1,499), pendidikan tinggi swasta (1,453), syarikat pengurusan hartanah (1,325), telekomunikasi (1,297), produk cacat dan rosak (1,032) serta jualan murah (1,003).

Pengguna boleh buat aduan melalui telefon 03-78779000/03-78748096 atau datang sendiri ke pejabat (alamat No 1D, Jalan SS9A/17, 47300 Petaling Jaya, Selangor atau e-mel (nccc@nccc.org.my), e-aduan (www.nccc.org.my) atau faksimile 03-78748097). - Bernama

Thursday, January 3, 2008

Bersama Diplomat: Cuba berhak tuntut Guantanamao

Oleh Carlos A Amores

ISU kem tahanan Amerika Syarikat di Teluk Guantanamao banyak mencetus kontroversi terutama sepanjang kempen AS ‘memerangi keganasan' sejak 11 September, 2001. Kini, dipercayai lebih 300 tahanan, majoriti beragama Islam berada di kem yang terletak di dalam wilayah Cuba.

Walaupun negara kami ‘menyewakan’ teluk ini kepada AS untuk membolehkan Cuba merdeka, rakyat Cuba sehingga hari ini tidak pernah mengambil sesen pun daripada bayaran sewa yang amat mengaibkan Kerajaan Cuba.

Sejarah AS di Teluk Guantanamao bermula pada 1902, apabila wilayah ini dijadikan sebagai syarat utama membolehkan Cuba mencapai kemerdekaan dan memastikan AS menarik keluar tentera mereka dari negara kami.

Kawasan seluas 117.6 kilometer persegi itu adalah teluk semula jadi milik Cuba yang musnah teruk akibat kehadiran tentera AS sejak 1903. Latihan ketenteraan yang serius telah mengakibatkan kemusnahan ekologi, apa lagi mereka turut menggunakan teluk itu untuk menempatkan kapal selam nuklear.

Ketika menggariskan Perlembagaan Cuba pada 1902, AS berjaya menyelitkan satu perundangan yang dikenali sejarah sebagai Pindaan Platt (nama sempena Senator AS yang menulisnya). Perundangan berkenaan diluluskan Kongres AS dan ditandatangani Presiden McKlinley, yang memberikan hak kepada AS untuk campur tangan dalam hal ehwal Cuba pada bila-bila masa mereka berasakan ‘kemerdekaan Cuba’ diancam. Pada masa sama, ia turut memastikan republik baru itu tunduk kepada beberapa siri konsesi.

Akibatnya, pada 1903 Kerajaan Cuba terpaksa menandatangani perjanjian yang ‘melahirkan’ Pangkalan Guantanamao, yang antara lain menyatakan bahawa tempoh sewaan hak milik hanya boleh dimansuhkan sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Jabatan Perbendaharaan AS, yang bertanggungjawab membayar sewaan, setiap tahun mengeluar cek bernilai AS4,085 (35 sen setiap hektar). Bagaimanapun, Kerajaan Cuba tidak pernah menunaikan cek ini sebagai tanda harga diri dan tidak bersetuju dengan kehadiran AS secara haram di dalam wilayah Cuba.

Sebelum Revolusi Cuba, pangkalan ini popular di kalangan rakyat tempatan sebagai tempat pelacuran, dadah dan perjudian. Bagaimanapun, selepas 1959 pentadbiran AS membuang lebih 3,000 kakitangan terdiri daripada rakyat Cuba dan hari ini, hanya 10 rakyat Cuba dibenarkan bertugas di sana. Sejak itu juga bermulanya siri provokasi yang telah mengorbankan banyak nyawa tentera dan rakyat biasa Cuba.

Kerajaan Cuba telah banyak kali mengumumkan mereka tidak akan menerima sebarang rundingan membabitkan kawasan yang diduduki secara haram, bahkan seluruh rakyat Cuba mendesak AS menarik keluar semua tentera asing yang berada di teluk itu, tanpa sebarang syarat.

Cuba juga amat serius apabila menegaskan bahawa mereka tidak akan mendapatkan semula Teluk Guantanamao secara paksa dan akan menunggu dengan sabar, sehingga keadilan menyebelahi mereka.

Dengan pembangunan teknologi ketenteraan dan senjata yang amat pantas dalam tempoh 20 tahun terakhir ini, peranan AS sebagai ‘polis’ di kepulauan Caribbean sebenarnya telah berakhir, malahan kehadiran tentera mereka di wilayah itu juga tidak lagi relevan. Bagaimanapun, tentera AS terus berada di Teluk Guantanamao untuk mengaibkan rakyat dan Kerajaan Cuba.

Sebaliknya, rejim (George) Bush mendapat peranan baru untuk menyegarkan semula kem tahanan yang semakin suram itu. Ia menjadi kem tahanan bagi mereka yang dianggap pengganas.

Sama seperti Kem Abu Ghraib dan kemungkinan penjara ‘rahsia’ lain yang tidak kita ketahui, tahanan di Guantanamao tidak dianggap sebagai tahanan perang (POW), mereka tidak tertakluk di bawah perundangan AS atau mana-mana negara. Justeru, sebaik saja mereka memasuki kem tahanan terbabit, mereka akan hilang status sebagai manusia yang mempunyai hak asasi kemanusiaan.

Undang-undang manusia terhapus sebaik saja mereka menjejakkan kaki ke Kem Guantanamao, dan tahanan seolah-olah berada di dalam sebuah lubang hitam yang gelap gelita.

Pada 19 Januari, 2005, bagi meluahkan perasaan marah rakyat Cuba terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas tahanan di Pangkalan Tentera AS di Guantanamao, Kementerian Hal Ehwal Luar Cuba menyerahkan kepada pihak berkuasa AS di Havana dan Washington satu nota diplomatik - mengutuk tindakan AS mencabul hak asasi manusia setiap hari di dalam wilayah Cuba yang diduduki secara haram.

Nota itu mendesak AS menamatkan serta merta semua tindakan tidak berperikemanusiaan dan jenayah yang dilakukan ke atas tahanan di kem itu.

Nota berkenaan turut mengingatkan Kerajaan AS bahawa kekejaman di kem berkenaan dan hakikat bahawa mereka menggunakan wilayah yang diduduki secara haram di Cuba sebagai penjara, adalah tindakan yang mencabul beberapa undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.

Malahan, tindakan itu turut mencabul Perjanjian Arang Batu dan Stesen Tentera Laut yang ditandatangani pada Februari, 1903, antara Kerajaan AS dan Cuba. membabitkan syarat tidak adil dan tidak menguntungkan negara kami (Cuba), yang maruah kemerdekaannya tertakluk kepada syarat yang digariskan Perjanjian Platt.

Mengikut Artikel 11 perjanjian berkenaan, Kerajaan AS akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan wilayah terbabit (Guantanamao) digunakan secara eksklusif sebagai tempat simpanan arang batu atau stesen tentera laut, dan bukan untuk tujuan lain.

Juga adalah penting untuk mengingatkan bahawa pihak berkuasa Cuba hanya diberitahu - tanpa sebarang rundingan - mengenai keputusan Kerajaan AS untuk memindahkan satu kumpulan tahanan perang Afghanistan ke stesen tentera AS di Guantanamao.

Kerajaan Cuba memaklumkan dalam satu kenyataan bertarikh 11 Januari, 2002, bahawa: “Walaupun perpindahan tahanan perang asing oleh kerajaan AS ke salah satu kawasan tentera yang terletak dalam wilayah Cuba yang kami sendiri dinafikan hak untuk melaksanakan perundangan dan ia tidak selari dengan syarat kewujudan kawasan itu, kami tidak akan mencipta sebarang halangan kepada perkembangan operasi terbabit.”

Malahan, kenyataan itu turut menekankan bahawa kerajaan kami telah ‘menerima penjelasan yang memuaskan hati dari pihak berkuasa AS dalam konteks tahanan di sana menerima layanan yang mencukupi dan berperikemanusiaan.’

Bagaimanapun, realiti yang dialami kira-kira 300 tahanan (statistik yang dilaporkan media) di Pangkalan Tentera Laut Guantanamao, mendedahkan sikap double standards AS yang memanipulasikan kempen yang kononnya bagi menjaga hak asasi manusia.

Tindakan menahan tahanan asing tanpa sebarang perbicaraan, diburukkan dengan kegiatan menyeksa dan layanan tidak berperikemanusiaan ke atas tahanan adalah pencabulan hak asasi manusia yang termaktub pelbagai perjanjian dan konvensyen antarabangsa, terutama Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

Dengan sikap hipokrit ini, AS mempamerkan kepalsuan dalam kenyataan kepada dunia dan sekali lagi membohongi Kerajaan Cuba, rakyatnya serta masyarakat antarabangsa dengan menyembunyikan kelakuan kejam dan mengaibkan tahanan di Teluk Guantanamao. Tindakan ini boleh dibandingkan dengan kekejaman tentera AS di Penjara Abu Ghraib dan beberapa kem tahanan AS lain di wilayah Iraq yang dicerobohinya.

Justeru, Cuba menyertai masyarakat antarabangsa lain mendesak AS segera menamatkan semua kekejaman ke atas tahanan di Teluk Guantanamao, apa lagi ia dilakukan di wilayah yang diduduki secara haram di Cuba.

Belanja buka sekolah perlu ditabung dari awal

Oleh Rusinah Siron

CUTI sekolah sudah berakhir dan demam ‘kembali ke sekolah’ baru bermula dan dirasai ibu bapa yang ada anak untuk memulakan alam persekolahan atau menyambung ke kelas atau tingkatan lebih tinggi. Sudah tentu ibu bapa tidak menang tangan melayani kerenah anak yang begitu ghairah untuk kembali ke sekolah dan bertemu rakan seperjuangan dan sepermainan mereka.

Bagi ibu bapa yang berkemampuan dari sudut kewangan sudah tentu tidak menghadapi masalah dalam membuat persiapan persekolahan anak tetapi bagaimana pula golongan kurang berkemampuan dan mempunyai deretan lima atau enam anak yang bersekolah!

Tidak dinafikan pengumuman kerajaan memansuhkan pembelian buku teks kepada semua pelajar sekolah dan juga yuran sekolah amat melegakan dan terima kasih seluruh rakyat Malaysia di atas keprihatinan kerajaan membantu rakyat menimba ilmu pengetahuan.

Tetapi tidak dinafikan perbelanjaan lain dalam melengkapi alam persekolahan juga amat memeningkan sesetengah ibu bapa. Lazimnya setiap anak di sekolah rendah memerlukan perbelanjaan RM300 hingga RM500.

Jumlah itu adalah anggaran bagi seorang anak dan jika ada tiga anak, cuba kita bayangkan perbelanjaannya yang sudah tentu mencecah lebih RM1,000.

Bagi penulis yang hanya mempunyai dua anak - seorang bersekolah rendah dan seorang lagi di sekolah menengah, tidak terasa sangat mengenai masalah perbelanjaan sekolah, tetapi bagaimana dengan ibu bapa yang mempunyai lima anak atau lebih? Sudah tentunya sukar untuk mengukir senyum walaupun senyuman di bibir sentiasa terukir kerana merasa bangga dengan setiap anak-anak dan demi masa depan yang gemilang bagi anak-anak.

Perbelanjaan itu tidak termasuk perbelanjaan untuk sekolah agama di sebelah petang atau pagi mengikut negeri yang berkaitan seperti pembelian buku agama, pakaian, yuran dan sebagainya. Ibu bapa juga perlu menyediakan perbelanjaan makan anak-anak di sekolah dan belanja rentetan yang berkaitan dengan persekolahan.

Justeru, ibu bapa yang ingin menjana kejayaan anak-anak di alam persekolahan, cubalah ikuti panduan berikut yang dapat dihasilkan berdasarkan kepada pergaulan penulis dengan ramai ibu bapa, pengalaman dan pemerhatian yang boleh dikongsi bersama:

l Janganlah lupa membuat simpanan untuk persekolahan anak-anak, tidak pernah ada orang yang mendapat kerugian kerana menyimpan walaupun dalam jumlah yang sedikit terutama bagi suri rumah yang tidak bekerja, duit lebih sayur dan ikan iaitu lebih kurang RM5 sehari jika disimpan dalam satu bulan jumlahnya RM150.

Walaupun jumlahnya sedikit ramai isteri sangat menghargai simpanan dari lebihan duit sayur ikan ini untuk digunakan bagi persekolahan anak-anak.

l Ajarlah anak menjaga kebersihan pakaian dan peralatan sekolah kerana jika keadaan pakaian dan peralatan sekolah berada dalam keadaan baik, ia boleh diguna pakai adiknya ataupun sekurang-kurangnya digunakan untuk tujuan basahan ketika program kokurikulum sekolah atau ke sekolah agama.

l Bagi ibu yang tidak bekerja, usahakan supaya anak dapat dibekalkan makanan berkhasiat ke sekolah seperti sandwic, nasi goreng, mi goreng dan sebagainya. Bekalkan juga anak-anak dengan duit ke sekolah dalam jumlah yang tidak banyak, cukup untuk anak membeli kuih atau minuman bersama rakan-rakan. Jika ada lebihan duit belanja anak-anak, ajarlah anak menabung untuk masa kecemasan.

l Pastikan anak-anak sentiasa bersih ke sekolah agar anak-anak merasa diri mereka sentiasa sehebat rakan-rakan mereka yang sentiasa kelihatan kemas dan bergaya ke sekolah. Kebersihan diri bukan terletak kepada mahal murahnya sesuatu barang yang dipakai itu, tapi banyak terletak kepada usaha dan komitmen untuk menjaga kebersihan dan penampilan diri.

l Nasihatkan anak-anak agar jangan suka merungut dan membandingkan diri mereka dengan rakan mereka yang datang dari keluarga yang berkemampuan, nasihatilah mereka agar ‘ukur baju di badan sendiri’ dan yang pentingnya adalah berusaha untuk menjadi pelajar yang berjaya.

l Bentuklah kendiri anak supaya menjadi anak yang memiliki sifat 4 C iaitu; Cantik - dalam penampilan dan budi bahasa agar menjadi pelajar yang sentiasa menjadi perhatian rakan-rakan, Ceria - dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar, Cergas - dalam persatuan dan kokurikulum sehingga menjadi kebanggaan kawan dan guru-guru dan akhirnya Cerdik - dalam pelajaran sehingga menjadi contoh kepada rakan-rakan lain.

Kepada semua ibu bapa, sudah tentunya kebanggaan kita menjadi ibu bapa adalah melihat kejayaan anak-anak melalui kehidupan mereka semasa mereka kecil hinggalah dewasa dan dalam usaha menjadikan mereka anak-anak yang berguna pada masa depan, alam persekolahan yang anak-anak kita lalui perlulah penuh dengan komitmen dan tanggung jawab ibu bapa memberi yang terbaik untuk anak-anak.

Ingatlah yang terbaik untuk anak tidak semestinya barangan mahal dan mewah tetapi kasih sayang yang tulus ikhlas daripada ibu bapa untuk kejayaan anak mereka.

Amaran bergrafik ubah tingkah laku perokok

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail (yang mengikuti seminar berkaitan kawalan tembakau di Bangkok, baru-baru ini)

MENJELANG Disember ini, semua pengeluar rokok di negara ini diwajibkan memaparkan tanda amaran bergrafik pada kotak rokok.

Amaran bergrafik itu menunjukkan risiko dihadapi perokok seperti kerosakan paru-paru, gigi, keguguran dan kanser mulut bertujuan memberi rangsangan emosi seperti ngeri, gerun dan jijik di kalangan perokok.

Ketika ini, pengeluar rokok hanya diwajib meletakkan label seperti ‘Amaran oleh Kerajaan Malaysia - Merokok Membahayakan Kesihatan’ pada setiap kotak rokok. Singapura dan Thailand sudah mewajibkan paparan label amaran bergrafik itu.

Mengikut Artikel 11 Rangka Kerja Konvensyen Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), semua negara yang menandatangani perjanjian perlu menguatkuasakan peraturan (amaran bergrafik pada kotak rokok) dalam tempoh tiga tahun.

Malaysia menandatangani persetujuan untuk mematuhi Artikel 11 itu pada 16 September 2005 dan akan melaksanakan sepenuhnya Disember ini, manakala bagi Artikel 8 (larangan merokok di tempat awam sepenuhnya) hanya akan dilaksanakan pada 2010, iaitu lima tahun selepas persetujuan ditandatangani.

Singapura dan Thailand menandatangani persetujuan berkenaan pada 2004, tetapi sudah melaksanakan amaran bergrafik pada kotak rokok lebih awal daripada tarikh matang.

Angka terbaru menunjukkan kira-kira 21 peratus atau 3.6 juta daripada 25 juta penduduk di negara ini adalah perokok dengan lelaki dewasa mendominasi sebanyak 46 peratus, wanita dewasa (dua peratus), remaja lelaki berusia 13-15 tahun (39 peratus) dan remaja perempuan berusia 13-15 tahun sebanyak 11 peratus.

Angka ini agak menggerunkan dan sudah tiba masanya bagi kerajaan bertindak lebih tegas, terutama larangan merokok di tempat awam mungkin lebih awal daripada tarikh matang 2010 itu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Zain, berkata ketika ini kementerian sedang memilih grafik bersesuaian untuk dipaparkan pada kotak rokok yang mampu menyedarkan perokok supaya berhenti merokok.

Katanya, jika semua berjalan lancar, amaran bergrafik itu akan dilaksanakan sebelum Disember 2008 dan Malaysia bakal menjadi antara tiga negara di rantau Asean yang mempraktikkan Artikel 11 itu sepenuhnya.

Setakat ini, kerajaan masih dalam proses menggubal Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 untuk memasukkan arahan supaya syarikat rokok memaparkan amaran bergrafik pada kotak rokok dan dijangka siap selewat-lewatnya Jun ini sebelum dapat diwartakan.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan berlaku cubaan untuk menggagalkan usaha kepada pematuhan Artikel 11 yang didakwa pernah dilakukan oleh syarikat pengeluar rokok di beberapa negara lain sebelum ini.

Penyelidik Fakulti Kesihatan Awam, Universiti Sydney, Maria Assunta, berkata syarikat pengeluar rokok sanggup melakukan apa saja termasuk memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk ‘mematahkan’ hasil kajian atau penemuan terbaru oleh saintis berhubung kesan buruk merokok.

Beliau mendakwa, syarikat pengeluar rokok juga mempunyai rancangan lebih jauh ke depan berbanding penggubal undang-undang di sesebuah negara sebagai langkah persediaan jika negara itu menguatkuasakan peraturan baru.

Sebagai contoh, katanya, apabila Kerajaan Singapura bertindak mengharamkan iklan produk tembakau di media sekitar 1970-an, syarikat terbabit menggandakan iklan di media elektronik dan cetak di Malaysia kerana siaran dan akhbar boleh diterima di republik itu.

Gabungan syarikat rokok juga mengisytiharkan Persatuan Doktor Pedalaman di Thailand sebagai musuh kerana persatuan itu bertindak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pertama menggerakkan kempen anti-tembakau di negara gajah putih itu.

“Amaran pada kotak rokok di Malaysia ketika ini tidak memberi sebarang kesan kerana ia terlalu umum. Ia hanya pemberitahuan bukan menyedarkan perokok,” katanya yang 16 tahun terbabit dalam kempen antitembakau di Malaysia.

Assunta mendakwa, syarikat pengeluar rokok kini melancarkan kempen untuk berbaik dengan Kerajaan Malaysia menerusi tajaan pelbagai program, terutama untuk pelajar sebagai usaha melobi kerajaan supaya menangguh pelaksanaan Artikel 11.

Kotak rokok yang mempunyai label amaran bergrafik terbukti berkesan meningkatkan tahap pengetahuan kepada perokok dan juga bukan perokok mengenai bahaya tabiat bahaya dan merugikan itu.

Selain mengubah tingkah laku perokok, label itu juga mampu meningkatkan keinginan untuk berhenti merokok, malah ia tidak memberi implikasi kos kepada kerajaan kerana ditanggung oleh syarikat pengeluar rokok.

Ketika ini, Malaysia mengenakan cukai rokok 36 peratus daripada harga runcit, lebih rendah berbanding Thailand sebanyak 61 peratus dan Singapura 64 peratus tetapi lebih tinggi berbanding Vietnam (41 peratus), Indonesia (20-40 peratus), Filipina (10-30 peratus), Laos (15-30 peratus) dan Myanmar (25 peratus).

Bagi FCTC, cukai rokok yang ideal untuk mengurangkan bilangan perokok, terutama di sesebuah negara ialah sekurang-kurangnya 65 peratus daripada harga runcit rokok kerana berpendapat, setiap kenaikan 10 peratus harga rokok mampu mengurangkan tujuh peratus perokok remaja, manakala jumlah jualan rokok juga berkurangan kepada empat peratus.

Penyelidik Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Foong Kin, berkata syarikat rokok mencari jalan lain untuk mengiklankan produk selepas kerajaan mematuhi Artikel 13 dengan mengharamkan iklan dan promosi produk tembakau di media cetak mahu pun elektronik.

Katanya, syarikat rokok mengeluarkan kotak rokok seperti pek berkembar, pek warna warni, pek perayaan selain rokok pelbagai rasa seperti menthol, mild, light dan pelbagai perasa seperti strawberi, epal dan anggur.

Katanya, strategi itu bertujuan menarik perokok baru di kalangan remaja, terutama wanita yang lebih berminat kepada pek berwarna warni keluaran terhad di samping rasanya yang sejuk (methol) dan ringan (light).

Syarikat rokok juga menaja pelbagai acara menerusi program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ (CSR) semata-mata mahu mendapat publisiti percuma di media.

“Kerajaan sepatutnya tidak membenarkan syarikat rokok terbabit dalam projek CSR seperti menaja program sukan untuk remaja kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya.

‘Perang dua saudara’ berakhir

Tun mengharungi kehidupan penuh berwarna warni. Bolehkah Tun ceritakan suka duka khususnya ketika menjadi Ketua Menteri dan sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Pada akhir 1980, kesihatan saya kurang baik. Saya mengalami sakit jantung dan menjalani pembedahan di London. Apabila kembali, saya menemui Perdana Menteri ketika itu, (Allahyarham) Tun Hussein Onn dan meminta izin beliau untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri. Beliau bertanya siapakah patut mengambil alih, dan saya kata, orang nombor dua dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah Abdul Taib Mahmud. Jadi, beliau berhak menggantikan saya.

Tetapi saya perlu dapatkan persetujuan parti dulu. Parti setuju. Oleh itu, Taib menjadi Ketua Menteri apabila saya berundur daripada jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 1981. Selepas empat tahun bermula 1981, saya berundur sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, tetapi Majlis Raja-Raja meminta saya sambung.

Saya kata, saya amat terharu kerana mereka mahu saya menyambung khidmat, tetapi oleh kerana soal kesihatan, saya tidak dapat. Sejak bersara, saya lebih suka bersama anak cucu dan cicit. Saya yakin saya membuat keputusan tepat untuk berundur pada masa yang sesuai, ketika kesihatan tidak mengizinkan saya terus memikul tanggungjawab yang berat.

Ketika saya menjadi Yang di-Pertua Negeri, isteri saya, Toh Puan Normah, yang berketurunan Cina, meninggal dunia pada 1984. Itu satu kehilangan besar kerana sebagai seorang suri rumah beliau banyak menolong menjaga saya dan anak. Beliau tidak mencampuri urusan politik.

Isteri saya sekarang, Toh Puan Hayati Ahmad, kini menjaga saya. Ketika menjadi Ketua Menteri, saya berjaya memujuk Jabu (Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu) meletak jawatan sebagai seorang kakitangan awam di Jabatan Pertanian untuk menyertai politik.

Beliau bertanding melawan bekas Ketua Menteri (Tan Sri) Stephen Kalong Ningkan dan menewaskannya. Jadi beliau (Jabu) kekal sebagai Timbalan Ketua Menteri sehingga hari ini. Beliau seorang yang lemah lembut, raja-raja suka beliau kerana beliau begitu beradat.

Bagaimana hubungan Tun dengan Taib (Ketua Menteri) sekarang.

Amat baik. Beliau anak saudara saya. Berlaku salah faham kecil angkara perbuatan seseorang yang meninggal dunia beberapa tahun lalu dan menimbulkan banyak masalah antara kami.

Taib menjemput saya untuk makan malam di rumahnya bulan lalu. Anak perempuan saya, saya... kami semua ke rumahnya. Alhamdulillah, saya menjaga Taib sejak zaman kecilnya.

Apakah benar jika dikatakan hubungan Tun dengan Taib seperti air dicincang tidak akan putus.

Ya, air tetap tidak putus. Buat kami (bapa saudara dan anak saudara), ia sebenarnya bukan isu besar. Ada orang mengadu kepada beliau kononnya saya merancang menjatuhkan beliau. Itu tak betul. Beliau (Taib) kemudian mendapati bahawa apa yang mereka katakan kepada beliau tidak benar. Malah, beliau memberitahu anak perempuan saya mengenainya.

Sebagai seorang negarawan di Sarawak, apakah Tun fikir akan memberi nasihat kepada Ketua Menteri sekarang mengenai apa yang terbaik untuk masa depan Sarawak.

Tidak, beliau (Taib) cukup berpengetahuan. Beliau membesar ketika saya, sebagai menteri di Kuala Lumpur dan Ketua Menteri di Sarawak. Beliau mempunyai pasukan Bidayuh, Iban dan Orang Ulu bersama beliau.

Apa pandangan Tun mengenai pemimpin, siapa harus mengambil alih daripada Taib apabila tiba masanya.

Saya berbual panjang dengan Taib semasa makan malam di rumahnya, baru-baru ini. Beliau menggaru kepala. Antara kami berdua, kami sudah mentadbir Sarawak bagi tempoh sejumlah 35 tahun. Beliau berkata, sukar mencari seseorang yang boleh menggantikan beliau dan yang boleh diterima bukan saja orang Melayu dan Melanau, tetapi kaum lain.

Pada zaman saya, kami punya latar belakang ini, rakan dalam kalangan Iban, Kenyah, Kayan dan sebagainya. Bila saya menjadi seorang pegawai pribumi, saya bergerak dari Baram ke Miri dengan berjalan kaki. Saya pergi ke Marudi dan kawasan hulu apabila saya menjadi Menteri Muda bagi Pembangunan Luar Bandar bagi Sarawak dan tinggal bersama pemimpin tempatan lain.

Beberapa bulan lalu, Tun memanggil sidang media mengenai spekulasi yang mengatakan Tun menyokong seorang daripada anak saudara Tun, Datuk Salleh Jafaruddin, bekas Timbalan Menteri Pelajaran sebagai pengganti Taib.

Saya dengar laporan itu daripada saudara perempuan saya, Teh Yakub, yang menerimanya daripada anak lelakinya di Miri. Ada orang kata saya ada menyebut kepada Taib dan kononnya Taib bersetuju menjadikan Salleh Jafaruddin sebagai penggantinya.

Jadi, saya buat kenyataan (bahawa) saya tidak pernah campur tangan dalam keputusan Taib dan parti. Saya tidak lagi aktif dalam politik. Terpulang kepada Taib dan parti, bukan saja PBB tetapi juga Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Mesti ada kesepakatan untuk menyokong seseorang. Setakat ini, Taib memberitahu saya beliau belum menemui seseorang. Beliau (Taib) tidak begitu kuat sejak menjalani pembedahan, seperti yang anda tahu, kanser usus.

Saya tidak tahu sama ada Salleh sesuai, saya tak tahu. Saya cuba mengelak daripada melantik saudara sendiri.

Pada ketika ini, siapa yang Tun fikir sesuai. Bagaimana dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi.

Beliau tidak mahu balik. Taib ada menemui beliau beberapa kali. Beliau pengganti yang baik jika beliau mahu. Effendi Norwawi, adalah seorang yang rajin bekerja. Sebab itu Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengamanahkan beliau ke Unit Perancang Ekonomi bagi melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan.

Bagaimana Tun lihat Taib sekarang sebagai pemimpin.

Saya tidak nampak seseorang yang dapat menandingi beliau. Seorang yang cukup layak. Beliau belajar undang-undang di Australia dan beliau berpijak di bumi nyata.

Apa komen Tun mengenai rancangan Kerajaan Sarawak merayakan ulang tahun ke-45 kemerdekaan negeri ini dalam Malaysia tahun depan sedangkan negara sudah pun merayakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

Kita menyertai Malaysia pada 1963 selepas Tanah Melayu merdeka. Untuk mengingatkan rakyat bahawa kita dengan sukarela menyertai Malaysia adalah satu idea yang baik. Seperti anda tahu kita menyertai Malaysia pada 16 September 1963.

Apakah Tun fikir pada masa depan Umno akan diterima di Sarawak.

Saya fikir Taib membuat keputusan tepat (tidak membawa Umno masuk ke Sarawak). Buat masa ini, adalah lebih baik bagi kita setakat menjadi rakan dalam Barisan Nasional. Sekurang-kurangnya buat sekarang, PBB menjadi tulang belakang BN negeri, untuk mentadbir negeri.

Kini Tun sudah bersara daripada politik, apakah yang Tun lakukan pada masa lapang? Bagaimana Tun membahagikan masa Tun.

Anak dan cucu berada di rumah. Saya adakan kelas agama pada sebelah malam dua atau tiga kali seminggu, percuma. Orang kampung datang ke sini untuk belajar mengerjakan solat dengan sempurna. Itulah sekadar khidmat yang dapat saya lakukan untuk rakyat di sini.

Apa harapan Tun mengenai masa depan Sarawak dan penduduknya.

Agar terus kekal dalam Malaysia, adalah lebih baik berada dalam sebuah negara besar. Kita lihat banyak masalah di negara seperti Bangladesh, India dan Pakistan dan kita perlu terap perasaan bersatu di negara kita dan ini hanya dapat dilakukan menerusi pendidikan di sekolah.

Kita juga memerlukan rakyat di sini memahami bentuk urusan politik Kuala Lumpur (Kerajaan Pusat) dan juga negara. Sehingga ini kita melakukannya dengan amat baik. - Bernama

Amaran bergrafik ubah tingkah laku perokok

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail (yang mengikuti seminar berkaitan kawalan tembakau di Bangkok, baru-baru ini)

MENJELANG Disember ini, semua pengeluar rokok di negara ini diwajibkan memaparkan tanda amaran bergrafik pada kotak rokok.

Amaran bergrafik itu menunjukkan risiko dihadapi perokok seperti kerosakan paru-paru, gigi, keguguran dan kanser mulut bertujuan memberi rangsangan emosi seperti ngeri, gerun dan jijik di kalangan perokok.

Ketika ini, pengeluar rokok hanya diwajib meletakkan label seperti ‘Amaran oleh Kerajaan Malaysia - Merokok Membahayakan Kesihatan’ pada setiap kotak rokok. Singapura dan Thailand sudah mewajibkan paparan label amaran bergrafik itu.

Mengikut Artikel 11 Rangka Kerja Konvensyen Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), semua negara yang menandatangani perjanjian perlu menguatkuasakan peraturan (amaran bergrafik pada kotak rokok) dalam tempoh tiga tahun.

Malaysia menandatangani persetujuan untuk mematuhi Artikel 11 itu pada 16 September 2005 dan akan melaksanakan sepenuhnya Disember ini, manakala bagi Artikel 8 (larangan merokok di tempat awam sepenuhnya) hanya akan dilaksanakan pada 2010, iaitu lima tahun selepas persetujuan ditandatangani.

Singapura dan Thailand menandatangani persetujuan berkenaan pada 2004, tetapi sudah melaksanakan amaran bergrafik pada kotak rokok lebih awal daripada tarikh matang.

Angka terbaru menunjukkan kira-kira 21 peratus atau 3.6 juta daripada 25 juta penduduk di negara ini adalah perokok dengan lelaki dewasa mendominasi sebanyak 46 peratus, wanita dewasa (dua peratus), remaja lelaki berusia 13-15 tahun (39 peratus) dan remaja perempuan berusia 13-15 tahun sebanyak 11 peratus.

Angka ini agak menggerunkan dan sudah tiba masanya bagi kerajaan bertindak lebih tegas, terutama larangan merokok di tempat awam mungkin lebih awal daripada tarikh matang 2010 itu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Zain, berkata ketika ini kementerian sedang memilih grafik bersesuaian untuk dipaparkan pada kotak rokok yang mampu menyedarkan perokok supaya berhenti merokok.

Katanya, jika semua berjalan lancar, amaran bergrafik itu akan dilaksanakan sebelum Disember 2008 dan Malaysia bakal menjadi antara tiga negara di rantau Asean yang mempraktikkan Artikel 11 itu sepenuhnya.

Setakat ini, kerajaan masih dalam proses menggubal Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 untuk memasukkan arahan supaya syarikat rokok memaparkan amaran bergrafik pada kotak rokok dan dijangka siap selewat-lewatnya Jun ini sebelum dapat diwartakan.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan berlaku cubaan untuk menggagalkan usaha kepada pematuhan Artikel 11 yang didakwa pernah dilakukan oleh syarikat pengeluar rokok di beberapa negara lain sebelum ini.

Penyelidik Fakulti Kesihatan Awam, Universiti Sydney, Maria Assunta, berkata syarikat pengeluar rokok sanggup melakukan apa saja termasuk memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk ‘mematahkan’ hasil kajian atau penemuan terbaru oleh saintis berhubung kesan buruk merokok.

Beliau mendakwa, syarikat pengeluar rokok juga mempunyai rancangan lebih jauh ke depan berbanding penggubal undang-undang di sesebuah negara sebagai langkah persediaan jika negara itu menguatkuasakan peraturan baru.

Sebagai contoh, katanya, apabila Kerajaan Singapura bertindak mengharamkan iklan produk tembakau di media sekitar 1970-an, syarikat terbabit menggandakan iklan di media elektronik dan cetak di Malaysia kerana siaran dan akhbar boleh diterima di republik itu.

Gabungan syarikat rokok juga mengisytiharkan Persatuan Doktor Pedalaman di Thailand sebagai musuh kerana persatuan itu bertindak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pertama menggerakkan kempen anti-tembakau di negara gajah putih itu.

“Amaran pada kotak rokok di Malaysia ketika ini tidak memberi sebarang kesan kerana ia terlalu umum. Ia hanya pemberitahuan bukan menyedarkan perokok,” katanya yang 16 tahun terbabit dalam kempen antitembakau di Malaysia.

Assunta mendakwa, syarikat pengeluar rokok kini melancarkan kempen untuk berbaik dengan Kerajaan Malaysia menerusi tajaan pelbagai program, terutama untuk pelajar sebagai usaha melobi kerajaan supaya menangguh pelaksanaan Artikel 11.

Kotak rokok yang mempunyai label amaran bergrafik terbukti berkesan meningkatkan tahap pengetahuan kepada perokok dan juga bukan perokok mengenai bahaya tabiat bahaya dan merugikan itu.

Selain mengubah tingkah laku perokok, label itu juga mampu meningkatkan keinginan untuk berhenti merokok, malah ia tidak memberi implikasi kos kepada kerajaan kerana ditanggung oleh syarikat pengeluar rokok.

Ketika ini, Malaysia mengenakan cukai rokok 36 peratus daripada harga runcit, lebih rendah berbanding Thailand sebanyak 61 peratus dan Singapura 64 peratus tetapi lebih tinggi berbanding Vietnam (41 peratus), Indonesia (20-40 peratus), Filipina (10-30 peratus), Laos (15-30 peratus) dan Myanmar (25 peratus).

Bagi FCTC, cukai rokok yang ideal untuk mengurangkan bilangan perokok, terutama di sesebuah negara ialah sekurang-kurangnya 65 peratus daripada harga runcit rokok kerana berpendapat, setiap kenaikan 10 peratus harga rokok mampu mengurangkan tujuh peratus perokok remaja, manakala jumlah jualan rokok juga berkurangan kepada empat peratus.

Penyelidik Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Foong Kin, berkata syarikat rokok mencari jalan lain untuk mengiklankan produk selepas kerajaan mematuhi Artikel 13 dengan mengharamkan iklan dan promosi produk tembakau di media cetak mahu pun elektronik.

Katanya, syarikat rokok mengeluarkan kotak rokok seperti pek berkembar, pek warna warni, pek perayaan selain rokok pelbagai rasa seperti menthol, mild, light dan pelbagai perasa seperti strawberi, epal dan anggur.

Katanya, strategi itu bertujuan menarik perokok baru di kalangan remaja, terutama wanita yang lebih berminat kepada pek berwarna warni keluaran terhad di samping rasanya yang sejuk (methol) dan ringan (light).

Syarikat rokok juga menaja pelbagai acara menerusi program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ (CSR) semata-mata mahu mendapat publisiti percuma di media.

“Kerajaan sepatutnya tidak membenarkan syarikat rokok terbabit dalam projek CSR seperti menaja program sukan untuk remaja kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Wednesday, January 2, 2008

Minda Lestari: Nobel Keamanan iktiraf aktivis perubahan iklim

Bersama Prof Dr Zaini Ujang

ISU perubahan iklim nampaknya mendominasi agenda 2007. Banyak insiden, peristiwa dan polemik berkait rapat dengan isu itu. Misalnya, satu sebab utama kejatuhan bekas Perdana Menteri Australia, John Howard kepada Kevin Rudd ialah perbezaan dasar terhadap Protokol Kyoto.

Selain itu, polemik dan retorik paling lumrah pada persidangan pemimpin peringkat antarabangsa sejak kebelakangan ini berkaitan dengan komitmen terhadap inisiatif menangani perubahan iklim.

Terbaru, Hadiah Nobel Keamanan 2007 dikongsi pendokong dan aktivis perubahan iklim iaitu Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dan Albert Arnold (Al) Gore Jr. Menurut Jawatankuasa Nobel Norway, IPCC dan Al Gore dipilih kerana sumbangan mereka menggerak dan menyebar luas ilmu serta kesedaran awam mengenai perubahan iklim sekali gus menyediakan kerangka tindakan yang jelas untuk menanganinya.

Pengumuman itu dibuat 12 Oktober lalu. Acara penyampaian anugerah serta syarahan penerimaan dilangsungkan pada 10 Disember di Oslo. Jawatankuasa Anugerah Nobel menghargai sumbangan IPCC dan Al Gore terhadap kesejahteraan dan keamanan sejagat. Keamanan sejagat tidak terbatas kepada genre politik dan bidang ketenteraan saja.

Usaha untuk memastikan warga alam tidak mengalami ketidakpastian, ketakutan dan kesusahan berikutan pelbagai bencana alam berpunca daripada perubahan iklim juga adalah terangkum dalam inisiatif keamanan. Pada peringkat lebih parah, keadaan itu akan mendorong persengketaan dan kemiskinan lebih menyayat.

Sehubungan itu perubahan iklim perlu ditangani dengan lebih serius dan tindakan segera. Berdasarkan kajian permodelan banyak pihak, jika suhu bumi terus meningkat melebihi tiga darjah celsius, maka perubahan iklim akan mengubah hampir seluruh bentuk, corak dan struktur aktiviti kehidupan manusia ketika ini.

Banyak negara terpaksa berhadapan dengan pelbagai ketidakpastian dari segi cuaca dan sumber alam termasuklah di negara maju. Switzerland dan Perancis misalnya tidak boleh lagi bergantung kepada pelancongan di puncak gunung bersalji. Begitu juga dengan negara rantau tropika termasuk Malaysia dijangka menghadapi masalah hakisan pantai serius, banjir besar dan musim tengkujuh lebih kerap.

Peranan dimainkan IPCC begitu ketara mentransformasi teori pemanasan global secara antropogenik (AGW) daripada komuniti saintifik kepada pembuat dasar. Teori AGW menjelaskan kesan kegiatan manusia kepada peningkatan kandungan gas karbon dalam ruang atmosfera yang menyebabkan peningkatan suhu secara kronologi.

Pada asasnya semakin banyak pelepasan gas karbon maka semakin tinggi peningkatan suhu, mengatasi pelepasan karbon secara tabii menerusi pelbagai proses alami seperti pernafasan dan pelupusan biojisim. AGW hanya sekadar hipotesis pada 1980-an. Sedekad kemudian, AGW diterima kalangan komuniti saintifik sebagai teori yang mantap.

IPCC ditubuhkan pada 1988 hasil inisiatif Organisasi Meterologi Dunia (WMO) dan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) untuk menyediakan sumber maklumat kepada pembuat dasar dan pihak prihatin mengenai perubahan iklim.

IPCC tidak menaja, menjalankan penyelidikan atau memantau data dan parameter berkaitan iklim. Peranan IPCC menjurus kepada penilaian secara menyeluruh, objektif dan terbuka berasaskan kepada laporan saintifik, teknikal dan sosioekonomi berkaitan perubahan iklim dihasilkan pelbagai pihak dan komuniti saintifik.

Selain itu, IPCC juga mengkaji serta meramal kesan dan kaedah untuk mengadaptasi dan menangani perubahan iklim menggunakan pelbagai instrumen.

IPCC dianggotai tiga kelompok, iaitu kerajaan yang menganggotai WMO dan UNEP, saintis dan kelompok prihatin. Kelompok kerajaan yang menganggotai IPCC menentukan program, skop kerja dan kerangka diperlukan untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif.

Kelompok saintis pula adalah penyumbang dari segi teori, data, maklumat dan penulisan.

Saintis juga menilai hasil kajian pelbagai pihak dan menulis laporan IPCC. Adakalanya sebahagian saintis bertelagah sesama sendiri kerana kepelbagaian kaedah kajian, cara rumusan dan pendekatan penulisan.

Tidak kurang juga berkecil hati dan menarik diri daripada kegiatan IPCC. Namun itulah lumrah berlaku dalam semua organisasi dan inisiatif. Kadangkala pertelingkahan bersifat peribadi juga terserlah dalam pemikiran dan pendekatan 'saintifik' dan 'profesional'.

Dari segi fungsi, IPCC terbahagi kepada tiga kumpulan kerja dan pasukan khas. Kumpulan kerja pertama berkaitan dengan asas saintifik selari dengan teori AGW. Kumpulan kedua menumpu kepada kesan, keparahan dan adaptasi global terhadap perubahan iklim.

Kumpulan ketiga menjurus kepada kaedah mitigasi untuk menangani impak, khususnya menggunakan perundangan dan pelbagai instrumen lain. Pasukan khas pula mengumpul inventori gas rumah kaca.

Al Gore pula adalah karyawan politik pendokong environmentalisme yang memulakan inisiatif peribadi untuk meyakinkan warga dunia, khususnya di kalangan pembuat dasar bahawa perubahan iklim adalah suatu realiti yang perlu ditangani segera.

Tidak seperti IPCC, Al Gore adalah bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, lebih menonjol dari segi publisiti dan efektif. Ucapan dan tulisannya mudah difahami golongan pembuat dasar. Lobi dan inisiatifnya juga lebih mudah diterjemahkan dalam bentuk dasar dan perundangan negara.

Itulah gabungan yang diperlukan untuk membolehkan teori AGW diterjemahkan dalam bentuk tindakan berkesan secara global. Kadangkala ada gimik dilakukan yang memberi impak besar menyedarkan warga dunia betapa bencana demi bencana sejak kebelakangan ini adalah natijah kegiatan rakus yang tidak lestari.

Al Gore menulis dan menghasilkan filem Inconvenient Truth (2006). IPCC pula mengemukakan laporan 2007 bahawa pelbagai bencana akan melanda lebih parah dan lebih kerap. Kejadian taufan kategori empat dan lima meningkat sekali ganda dalam tempoh 30 tahun lalu.

Sementara itu, banjir besar yang biasa diramalkan berlaku setiap 100 tahun dijangka lebih kerap berlaku antara 10 hingga 20 tahun, termasuklah di kawasan yang tidak termasuk dalam senarai berisiko banjir.

Paparan yang menggerunkan itu sebenarnya pemangkin untuk menyedarkan warga dunia agar lebih prihatin, memahami dan menangani perubahan iklim secara lebih terancang dan bersama. Tegas Jawatankuasa Nobel Norway, tindakan diperlukan segera sebelum perubahan iklim tidak lagi dapat ditangani.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia

Aspirasi: Rakyat berilmu angkat imej negara

Bersama Radzi Abdul Latif
radzilatif@yahoo.com

Pergolakan politik, ekonomi dunia iktibar untuk kita hargai keharmonian

TAHUN 2007 berlalu meninggalkan pelbagai kenangan pahit dan manis. Di mana-mana saja di dunia berlaku pelbagai peristiwa menggembirakan mahupun menyedihkan. Mungkin, di Pakistan, pada saat akhir penghujung 2007, berlaku peristiwa yang meninggalkan kesan meluas terhadap suasana politik negara itu apabila bekas Perdana Menterinya, Benazir Bhutto yang sedang berkempen menjelang pilihan raya 8 Januari, terbunuh akibat serangan pengebom berani mati yang menembaknya dan kemudian meletupkan diri.

Pelbagai perkara lain yang timbul selepas peristiwa itu yang membabitkan kesahihan punca kematian dan sebagainya, bukan lagi perkara prima. Tetapi, perkara yang merisaukan ialah kekacauan berterusan di negara Islam itu. Pakistan menjadi sebuah negara Islam yang boleh ditakrif menghadapi kegawatan politik agak berpanjangan.

Umat Islam bukan saja bermusuhan sesama sendiri, tetapi persengketaan sesama mereka sukar diselesaikan atas pelbagai alasan. Paling menggerunkan ialah apabila permusuhan sesama Islam angkara 'tangan ghaib' yang menguasai dunia. Negara dan bangsa itu menggunakan kuasa hegemononi untuk mengucar-kacirkan umat Islam di seluruh dunia.

Malaysia tidak benci kepada mana-mana kuasa dunia sebaliknya tidak suka kepada persengketaan yang mencetuskan tindakan ganas, seterusnya peperangan. Malaysia benci kepada jenayah dan kezaliman yang menyebabkan rakyat di sesebuah negara menderita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atas kedudukannya sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sudah beberapa kali membangkitkan kebimbangannya berhubung konflik di negara Islam membabitkan pertikaian antara negara Islam atau antara rakyat Islam di negara Islam.

Baginya, umat Islam sepatutnya bersatu padu supaya dapat merancang masa depan dan membangunkan negara yang bermaruah selain berpadu kekuatan untuk menghadapi musuh sebenar, bukannya berbunuhan sesama sendiri.

Beliau sedih kerana pergaduhan sesama Islam yang terus berlarutan. Ramai terbunuh dan banyak kerosakan berlaku. Baginya, peristiwa demi peristiwa yang menimpa umat Islam adalah tragedi amat menyedihkan. Mereka sepatutnya bersatu menghadapi ancaman terhadap negara dan bangsa mereka.

Mereka perlu sedar, perjuangan sebenar ialah melengkap diri dengan ilmu. Umat Islam perlu menguasai sains dan teknologi. Mereka perlu menjadi bangsa pencipta, bukan bangsa pengikut. Jika tidak mahu umat Islam ditindas, mereka tidak mempunyai jalan pintas yang lain, melainkan meningkatkan kemajuan diri. Hari ini, umat Islam boleh dihancurkan dengan mudah kerana mereka bukan saja ketinggalan dari segi kelengkapan, tetapi sesama sendiri juga mereka bermusuhan.

Satu fenomena yang menggerunkan hari ini ialah apabila ada segelintir umat Islam sanggup mati untuk melakukan sesuatu, apatah lagi jika mangsanya adalah orang seagama.

Di negara tertentu, sudah ramai yang mati akibat tindakan nekad seperti ini yang mereka lakukan di mana-mana saja. Di negara itu, tempat awam, pasar, pusat beli-belah, malah di balai polis sekali pun, tidak boleh dianggap kawasan selamat. Ledakan bom boleh berlaku pada bila-bila masa.

Akibat tindakan segelintir manusia yang tidak tahu menilai nyawa mereka, ramai menjadi mangsa korban sama ada orang yang terbunuh itu adalah musuh yang menjadi sasaran atau orang awam yang tidak berdosa.

Bagi pembunuh berani mati, tidak ada pakar psikologi pun yang mudah faham mengapa mereka melakukan perbuatan itu, melainkan mereka adalah golongan yang begitu taksub dengan kepercayaan mereka. Kematian mereka adalah sia-sia. Yang pasti, tindakan mereka meletakkan nama Islam pada tahap menakutkan, malah menjijikkan.

Imej umat Islam yang dilabelkan sebagai manusia ganas dan sanggup melakukan apa saja, kian menebal dalam pemikiran kaum lain di dunia. Akibatnya, pelabur tidak berminat menanam modal di negara Islam, seterusnya menyebabkan negara Islam terus ketinggalan dalam serba serbi.

Malaysia bernasib baik kerana walaupun pelbagai perbalahan berlaku yang membabitkan isu kaum, agama, budaya, politik dan sebagainya, ia dapat diselesaikan dengan aman. Atas dasar ini, kerjasama di kalangan parti memerintah yang membentuk Barisan Nasional (BN) diterajui Umno, membuktikan satu kejayaan yang amat besar dalam konteks perpaduan nasional. Konsep BN menjadi benteng dan penghalang daripada tercetusnya segala punca pertelingkahan, meskipun ia masih ada kekurangan. Sekiranya segala masalah disalurkan menerusi saluran yang betul, apa juga masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Sebaliknya, jika ada percubaan untuk melakukan sesuatu di luar batas undang-undang, ia hanya mengundang masalah. Di Malaysia, kerajaan menggunakan tindakan mencegah sesuatu kejadian sebelum ia bertambah buruk.

Itulah sebabnya, kerajaan tidak begitu gemar dengan campur tangan kuasa asing dalam urusan menyelesaikan perbalahan di negara ini. Dalam apa juga perbalahan yang membabitkan rakyat negara ini, Malaysia mempunyai piawaian sendiri.

Malaysia tidak boleh mengikut arahan negara asing kerana mengikut kehendak mereka akan hanya membawa kehancuran. Kerajaan Malaysia bertanggungjawab ke atas apa juga yang berlaku di negara ini – dulu, kini dan masa depan. Bagi kuasa dan media asing, mereka lebih suka melihat negara ini dalam kacau-bilau kerana lebih mudah mereka menjalankan peranan menjajah semula negara ini.

Dunia hari ini bercakap soal etika global yang mana negara kuasa besar menggariskan pelbagai garis panduan untuk dipatuhi oleh negara lain di dunia. Etika yang mereka tetapkan itu seolah-olah wajib diikuti kononnya ia adalah satu piawaian untuk menjamin kesejahteraan sejagat. Perlu diingat bahawa apa yang kononnya mereka anggap sebagai etika global, terutama di negara yang mereka meletakkan tangan ghaib mereka, keadaannya tetap huru-hara.

Sebaliknya, mereka perlu menjadikan prinsip yang wujud di Malaysia ini sebagai satu etika global. Jika mereka mengkaji konsep dan falsafah kerajaan BN, mereka akan dapat melihat kebaikan demi kebaikannya yang cuba diketengahkan.

Di Malaysia, ciri-ciri yang boleh mencetuskan perbalahan, tidak digalakkan. Malaysia lebih suka menonjolkan kekuatan diri sendiri seperti memotivasikan rakyat supaya mencipta kecemerlangan. Malaysia mahukan rakyatnya menjadi satu bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Itulah sebabnya, kerajaan pimpinan Abdullah memberi fokus kepada pembinaan modal insan dan pada masa yang sama menerima prinsip Islam Hadhari untuk kebaikan ummah.

Diharapkan, menerusi pendidikan yang sempurna dan terurus, tidak ada rakyat Malaysia yang terjebak tindakan yang sia-sia, sebaliknya berusaha untuk mengejar kecemerlangan diri untuk memuliakan bangsa, negara dan agama. Jika azam ini diteruskan pada 2008 dan seterusnya, Malaysia akan terus aman dan mencipta nama di persada dunia.

Bagi orang Melayu pula, mereka perlu memperkukuh jati diri bagi meningkatkan kualiti diri dan bersaing pada pasaran global, bersaing atas keupayaan dan ketrampilan mereka sebagai modal insan Melayu yang sempurna.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

Kebebasan bersuara tanpa batas ancam keamanan

GOLONGAN ekstrem atau pelampau wujud di mana-mana tanpa mengira kaum dan fahaman agama. Mereka sanggup menggunakan kekerasan dan mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa untuk mencapai matlamat. Kes pembunuhan Benazir Bhutto di Pakistan dan siri letupan bom di Sungai Golok menjelang akhir tahun baru kelmarin adalah contoh terbaru tindakan pelampau walau apapun matlamat perjuangan mereka. Sebagai manusia yang cintakan keamanan dan mentaati ajaran agama, kita tentu tidak mahu kejadian seperti itu berlaku di negara ini. Majoriti rakyat mengharapkan negara bebas daripada sebarang kegiatan berbentuk melampau sama ada pelampau kaum, agama atau alam sekitar sehingga menakutkan orang ramai untuk menjalani urusan seharian. Justeru, amat tepat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam amanat Tahun Baru 2008 mengajak rakyat supaya tidak memberi ruang kepada golongan pelampau untuk cuba mempengaruhi atau menentukan agenda negara. Sebaliknya, beliau mahu segala usaha mestilah menjurus kepada hasrat memberi manfaat serta faedah kepada semua rakyat, bukannya menyahut desakan golongan yang mempunyai pemikiran sempit.

Mesej ini seharusnya menjadi pegangan semua rakyat tanpa mengira kaum supaya tahun baru 2008 ini menjadi tahun yang penuh harmoni dan aman supaya rakyat berbilang kaum dapat hidup lebih selesa. Kita harus bersyukur kerana Malaysia tetap aman sejak merdeka lebih 50 tahun lalu meskipun sedikit terencat oleh peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Lihatlah apa terjadi di beberapa negara lain dan terbaru di Pakistan. Ketidakstabilan Pakistan turut dirasai negara jiran seperti India yang kini bimbang dengan limpahan keganasan merebak ke situ. Kita akui ada sebilangan rakyat kita menyatakan bahawa amalan demokrasi perlu memberi ruang untuk bersuara tetapi mereka lupa, kebebasan bersuara tiada gunanya jika tidak diamalkan dengan rasa tanggungjawab. Kebebasan mutlak dan tanpa batasan boleh memberi kesan buruk. Kita tidak harus terpengaruh dengan desakan kebebasan bersuara, tetapi tidak mengambil kira perasaan atau sensitiviti orang lain. Kita sudah banyak menyaksikan pelbagai musibah dan bencana menimpa negara lain disebabkan kebebasan bersuara tanpa had. Sebab itulah majoriti rakyat marah apabila tercetus beberapa kejadian demonstrasi jalanan yang didukung kumpulan tertentu baru-baru ini, kerana ia lebih banyak mendatangkan kesan negatif termasuk kepada peniaga.

Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya disuarakan melalui saluran tertentu bukan menerusi demonstrasi jalanan. Rakyat yang mampu berfikir secara rasional tidak akan membenar atau merelakan sebarang anasir untuk merosak serta mencemarkan keharmonian yang dibina sejak sekian lama. Perasaan muhibah, sikap bertolak ansur dan pendekatan bersederhana adalah rahsia kemakmuran serta keharmonian yang perlu sentiasa dipupuk. Perasaan itu jugalah yang berjaya merobohkan benteng pemisah yang wujud disebabkan perbezaan kaum, agama, pangkat mahupun kedudukan di negara ini. Menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memastikan kestabilan dan keharmonian tidak tercalar melalui sebarang tindakan ekstrem. Kita harus bersama-sama berganding bahu mempertahankan keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati ini. Rakyat perlu menolak puak pelampau agama, selain meningkatkan pemahaman mengenai pelbagai agama dan budaya semua kaum bagi menangkis semua ancaman yang boleh menggugat survival bangsa serta masa depan negara. Ancaman oleh sekumpulan kecil rakyat itu boleh dihindari apabila masyarakat majmuk tanpa mengira fahaman agama dan perbezaan budaya bersedia hidup bersatu padu dan sentiasa memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang dipilih rakyat.

Tuesday, January 1, 2008

Minda Pengarang: Rakyat mesti berazam tingkat perpaduan sambut 2008

HARI ini kita memasuki tahun baru 2008 dengan harapan kita akan menjadi insan yang lebih baik dan lebih cemerlang, selepas mengharungi 2007 dengan penuh cabaran dan dugaan. Biarlah kita melangkah masuk ke lembaran baru dengan penuh yakin. Ini bermakna kita akan meninggalkan segala-galanya yang berlaku pada tahun lalu dalam lipatan sejarah. Apa yang berlalu pastinya tidak akan kembali lagi. Selepas meninggalkan 2007, eloklah kita renungi kembali apa yang sudah kita lakukan sepanjang tahun itu dan melihat dalam diri sendiri secara muhasabah bertujuan memperbaiki apa juga kelemahan dan mencari kekuatan sebagai bekalan hari muka. Sambil itu adalah wajar kita bertanya kepada diri sendiri apakah kita puas hati dengan pencapaian sebagai individu dan apa sumbangan yang sudah diberikan kepada keluarga, masyarakat dan negara? Di manakah ruang yang boleh kita perbaiki kerana sebagai manusia biasa, kita tidak sunyi daripada kelemahan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warga negara yang berwawasan untuk mengatur dan menyusun strategi bagi membolehkan kita mengambil langkah pertama memasuki lembaran baru kehidupan kita mulai hari ini.

Kita harus bersedia untuk mencatat pencapaian lebih cemerlang dan gemilang serta jauh lebih baik daripada apa yang kita lalui tahun lalu. Kita perlu berjanji pada diri sendiri untuk menjauhkan diri daripada najis dadah, lebih produktif di tempat kerja dan mendapat keputusan lebih cemerlang di sekolah. Dari segi agama, kita perlu berazam mendalami ilmu fardu ain dan memperbetulkan sikap selain menunaikan kewajipan fardu kifayah untuk manfaat masyarakat seluruhnya. Di sinilah letaknya kepentingan modal insan yang sering disebut oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Malah, dalam perutusannya semalam, Perdana Menteri mengajak rakyat supaya tidak memberi sedikitpun ruang kepada golongan pelampau untuk mempengaruhi dan jauh sekali menentukan agenda negara bagi mengelak Malaysia daripada terjebak dalam kancah huru-hara. Segala usaha mestilah dengan matlamat untuk membawa manfaat dan faedah kepada semua rakyat dan bukan kerana menyahut desakan daripada pemikiran sempit golongan terbabit.

Setiap rakyat tanpa mengira kaum perlu bertanggungjawab untuk memelihara negara daripada terjebak ke kancah huru-hara ekoran daripada apa yang dimomokkan sebagai kebebasan bersuara yang tidak mempedulikan perasaan atau sensitiviti orang lain. Sempena melangkah ke tahun baru ini, kita renung sejenak apa yang berlaku di beberapa negara seperti Pakistan yang dilanda krisis dalaman paling teruk dalam sejarahnya lebih setengah abad. Kita di sini hidup dalam keadaan aman, harmoni dan saling menghormati. Jangan ada pihak yang cuba mencabul keadaan tenang itu dengan membangkitkan isu yang boleh menyebabkan rakyat majoriti berasa resah dan gelisah. Biarlah 2008 ini menjadi azam baru rakyat Malaysia untuk hidup dalam suasana ekonomi yang ceria, muhibah sesama kaum dan tiada pihak cuba melaga-lagakan antara satu sama lain. Biarlah demonstrasi jalanan yang didokong segelintir rakyat baru-baru ini berlalu dan tidak berulang tahun ini. Bangunlah rakyat Malaysia, hadapilah tahun baru ini dengan penuh keyakinan dan berani serta lebih bertanggungjawab. Semoga kita lebih berjaya pada tahun baru ini dalam segala aspek.

Pupuk keharmonian antara iltizam tahun baru

Bersama Noraini Ahmad
norainiputeri@yahoo.com

SELAMAT melangkah ke tahun baru 2008. Begitu pantas masa berlalu dan kini 2007 sudah pun melabuhkan tirainya, meninggalkan kita dengan pelbagai kisah suka duka, pahit manis dan yang paling penting pelbagai catatan kejayaan negara terutama kejayaan melahirkan angkasawan pertama negara.

Kini nama Malaysia sebaris negara maju termasuk Amerika Syarikat, Russia, China, Jepun, India, Arab Saudi dan Israel yang lebih awal menghantar warganya ke angkasa. Ia juga adalah hadiah paling berharga sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos lalu.

Syukur Alhamdulillah, kerana kita dipanjangkan usia untuk melangkah ke tahun baru 2008, dengan himpunan semangat dan kekuatan baru bagi meneruskan perjuangan demi kejayaan diri, bangsa, agama dan negara.

Sempena tahun baru mulai hari ini, pasti ramai yang menyimpan azam baru untuk memperbaiki kedudukan sama ada dari segi pendidikan, kerjaya mahupun ekonomi dan kewangan. Mungkin juga, ada yang berharap akan dapat menunaikan nazar tahun lalu.

Meletakkan sesuatu azam sememangnya mudah, namun rata-ratanya sukar untuk dicapai. Ramai rasanya yang belum lagi terjangkau azam tahun lalu, mungkin juga azam tahun sebelumnya.

Hakikatnya, muhasabah yang kuat dalam diri amat penting dalam setiap perjuangan untuk mencapai setiap keazaman. Disertai kesedaran dan keinsafan, muhasabah diri akan menjadi tunjang utama dan nilai tambah dalam usaha mencorak serta mewarnai kehidupan kita ke arah kehidupan lebih baik dan berkualiti.

Tiada kesedaran dalam diri seseorang itu, membuatkan diri akan terus berada pada takuk lama. Keadaan itu sudah tentu menyukarkan lagi usaha dan sasaran yang ingin dicapai, biarpun turut dibantu pelbagai bentuk pemangkin luar diri, yang akhirnya akan tetap menjadi sia-sia.

Sebagai pemimpin muda, mewakili suara generasi muda, sempena tahun 2008 ini, mesej yang ingin saya sampaikan ialah untuk mengajak semua anak Malaysia atas nama bangsa Malaysia untuk memantapkan lagi keharmonian kaum dan perpaduan di kalangan kita.

Keharmonian kaum dan perpaduan adalah dua asas utama dalam masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama seperti Malaysia. Kita harus ingat bahawa negara ini wujud berasaskan gabungan kepelbagaian melalui semangat kerjasama, kompromi dan persefahaman.

Perlembagaan negara yang menjamin hak pelbagai kumpulan etnik serta Rukun Negara sudah diterima dan didukung sebagai garis panduan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam pembinaan bangsa Malaysia sejak merdeka.

Kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Kita sudah melalui pelbagai ranjau dan duri dalam proses membina asas bagi mencapai keharmonian, perpaduan dan keserasian kaum serta kestabilan politik. Kejayaan yang kita nikmati pada hari ini tidak tercapai di kebanyakan negara, termasuk negara maju. Justeru, jangan sekali-kali kita hancurkan apa yang sudah kita capai melalui semangat toleransi, persefahaman dan sikap bertolak ansur. Janganlah kita biarkan fahaman politik ekstrim memecah-belahkan negara yang kita cintai. Bumi inilah tempat kelahiran kita, rumah kita, tempat kerja kita dan akhirnya tempat persemadian kita.

Keharmonian kaum dan perasaan muhibah masyarakat pelbagai kaum di negara kita dapat kita saksikan menerusi sambutan pelbagai perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Keharmonian ini tidak dapat dirasai di kebanyakan negara Islam lain.

Dalam melangkah ke tahun baru ini, marilah kita sama-sama berazam supaya dalam apa juga keadaan, tidak ada kumpulan etnik yang akan mencabar keharmonian dan perpaduan yang sudah kita bina bersama selama ini.

Permintaan yang keterlaluan, berbentuk ekstremis dan tidak produktif dari mana-mana kumpulan hanya akan menanam benih perbalahan dan membawa kepada kebinasaan. Pembinaan bangsa bukanlah suatu tugas mudah.

Ia adalah proses yang panjang, dengan diselangi pelbagai cabaran dan halangan. Bagaimanapun, ia mampu kita dicapai hasil persefahaman, pengorbanan dan komitmen.

Kepada adik-adik yang masih berada di bangku sekolah dan di institusi pengajian tinggi (IPT) jadikanlah 2008 sebagai tahun untuk menggandakan lagi usaha ke arah kejayaan lebih cemerlang. Janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam, pada awal tahun bagai nak rak menanam keazaman untuk mencatat kejayaan lebih cemerlang, namun bulan demi bulan, akhirnya keazaman semakin pudar dan terus lenyap begitu saja.

Jika kita berusaha sekadar hangat-hangat tahi ayam, maka nasib kita akan hanya setakat 'sehangat tahi ayam' iaitu nasib baik yang sekejap. Tetapi jika kita istiqamah (berterusan) dalam berusaha memperbaiki hidup, maka nasib kita pun akan sentiasa dalam keadaan baik.

Nasib kita tidak akan berubah dengan sendirinya hingga kita sendiri yang mengubahnya. Malah, orang lain pun tidak dapat mengubah nasib kita.

Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'd, ayat 11).

Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Puteri Umno

Pembangunan rohani, jasmani Terengganu biar berjalan seiring

Oleh Wan Ahmad Ismail

HARI ini Kuala Terengganu menjadi Bandar Raya Warisan Pesisir Air yang pertama dan terulung di negara ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, sudah dan akan melakar banyak lagi sejarah bagi membangun serta mencantikkan Kuala Terengganu yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Kuala Terengganu mencipta banyak lagi sejarahnya selepas ini kerana sudah terbukti Terengganu menjadi negeri pertama menerima kedatangan Islam.

Kuala Terengganu pastinya menjadi bandar raya pertama di Malaysia mempunyai banyak warisan yang tertanam untuk dikumpul dan dibangunkan selepas ini.

Yang pasti Terengganu Le Ning atau Kuala Terengganu Le Ning sudah banyak berubah dan akan terus berubah dari segi pembangunan rohani dan batin, yang perlu berjalan seiringan.

Bila berjalan seiring, gandingannya pasti kukuh. Bila ada kekukuhan ditambah dengan keimanan, maka amat payah ditumbangkan. Tidak ada lagi suara sumbang yang kedengaran.

Percayalah, Terengganu dan Kuala Terengganu akan benar-benar mewarisi warisan yang akan ditinggalkan selepas ini dan sudah pun ditinggalkan sebelum ini seperti Kota Duyung.

Menerusi kepemimpinan mantap dan matang Idris, Terengganu khususnya Kuala Terengganu sudah memahat sejarah mencipta tamadun. Datang dan lihat sendiri apa yang sudah berlaku di Terengganu terutama di Kuala Terengganu.

Namun, perjalanan masih jauh dan banyak onak dan durinya. Jika kita kenal akan onak dan duri itu, maka mudah bagi pemerintah untuk mencabutnya iaitu seperti menarik rambut dalam tepung.

Berikut, kita amati mesej Idris menerusi puisinya bertajuk Tidak Pernah Sebelum ini:

Tidak pernah sebelum ini,

Tidak terlintas di fikiran ini,

Tidak tergambar kecuali mimpi,

Kini semuanya terhampar luas,

Menjadi realiti,

Yang pasti!


Slogan ‘Terengganu Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Baik-Baik’ sering disebut dan diperkatakan di mana-mana. Yang jelas pembinaan Taman Tamadun Islam menjadi bukti dan menjadi bertambah kukuh bunyi bandar raya warisan itu dengan terbinanya Gedung Kesenian Terengganu. Melaluinya Generasi Ulul-Albab akan muncul sebagai penanda.

Semoga Kuala Terengganu benar-benar berubah dengan susunan sekelilingnya penuh teratur dan tersusun, tetapi tidak ‘cukang cemakeng’. Rakyat dan penduduknya juga perlu berubah iaitu daripada berfikiran negatif kepada positif.

Jika Idris saja yang hebat, tidak wakil rakyatnya, tidak kakitangan kerajaannya dan tidak juga rakyatnya, maka tidak menjadi warisan ‘orang baiklah‘ jadinya.

Jadilah Terengganu benar-benar mempunyai ‘Budaya Menarik, negeri Cantik dan Orangnya Baik-Baik’. Hidupkan lagu tradisi, lagu rakyat. Rakyat juga perlu diajak menyanyi lagu tradisi dan lagu rakyat itu. Namun, rakyat jangan lupa akan atur dan peraturan dalam hukum al-Quran dan hadis.

Burung kenek-kenek,

Terbang tinggi-tinggi;

Pesanlah datuk nenek,

Menjadi manusia penuh pekerti.



Burung kenek-kenek,

Hinggap di pokok selasih;

Pesanlah datuk nenek,

Jadilah manusia berterima kasih.